Kedah La

Kedah La versi baharu. Menggerak hati nurani dan pemikiran rakyat Kedah untuk melakukan perubahan dalam PRU14 nanti.

Terkini dari Kedah La

Monday, November 2, 2015

APA RAKYAT KEDAH DAPAT DARI BAJET NAJIB




Agaknya bergembira sakanlah rakyat Kedah kerana dihadiahkan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak sebuah Bandaraya Getah yang bernilai RM320 juta. Perkara itu terkandung dalam intisari Bajet 2016 yang dibentangkan di Parlimen baru-baru ini.
Bandaraya Getah tidak tersenarai dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) yang diumumkan oleh Perdana Menteri sebelum ini tetapi muncul dalam Bajet 2016. Projek yang tersenarai dalam RMK11 ialah Hospital Pendang, namun ia tiada pula dalam Bajet kali ini. 

Ura-ura kewujudan Hospital Pendang diperkatakan sejak tahun 2006 lagi apabila tapaknya telah disediakan oleh Kerajaan Negeri. Hampir satu dekad, ia belum jadi kenyataan. Hospital Pendang dianggap satu keperluan kerana ia adalah sebuah daerah yang luas, berpenduduk ramai tetapi tiada kemudahan hospital. Mereka terpaksa bergantung kepada Hospital Sultanah Bahiyah yang agak jauh bagi sebahagian besar penduduk Pendang.
Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pernah melahirkan rasa kecewa dalam titah perasmian Sidang DUN Kedah 2011, kerana rancangan untuk membina hospital bagi Daerah Pendang dan Bandar Baharu belum dilaksanakan.

"Rakyat beta di daerah tersebut menghadapi kesukaran kerana perlu banyak bergerak jauh untuk mendapatkan rawatan di hospital di luar daerah tersebut," titah baginda. Baginda berharap tindakan susulan hendaklah diambil bagi membina kedua-dua hospital itu memandangkan kesihatan merupakan elemen penting dalam meningkatkan taraf hidup.
Empat tahun selepas teguran baginda, hospital belum juga jadi kenyataan. Jika teguran seorang raja pun tidak dipedulikan oleh Najib, maka apalah yang hendak diharapkan oleh rakyat biasa dari Kerajaan BN.

Berbanding Pendang, hospital di Bandar Baharu Kedah tidak sangat menjadi keperluan memandangkan terdapat hospital berdekatan di Parit Buntar, Perak dan Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Daerah Bandar Baharu agak terpisah dari Bandar-bandar utama Kedah yang lain. Cuma masalah besar yang dihadapi oleh penduduk Bandar Baharu ialah pendaftaran kelahiran anak. Jika anak mereka dilahirkan di Perak maka kod kelahiran yang tercatat dalam MyKid “08” dan jika di Pulau Pinang “07”. Untuk seumur hidup kod itu tidak boleh ditukar dalam MyKad.

Mereka akan menghadapi masalah untuk sebarang urusan yang melibatkan keutamaan untuk anak negeri Kedah sahaja. Umpamanya urusan kebajikan, biasiswa, zakat dan sebagainya.

Cadangan yang paling munasabah untuk dibuat ialah membina pusat bersalin semata-mata di Daerah Bandar Baharu. Kosnya tidaklah terlalu tinggi, berbanding membina sebuah hospital. Anak yang dilahirkan di isu akan didaftarkan sebagai anak jati Kedah.Cadangan yang semudah itu pun tidak mampu untuk ditunaikan oleh Kerajaan BN.

Walaupun dari segi keperluan, pembinaan hospital adalah lebih utama tetapi Najib memilih Bandaraya Getah. Kenapa? Kerana Bandaraya Getah terkandung dalam Manifesto BN Kedah untuk PRU13 lalu, sedangkan hospital tiada dalam manifesto.

Dalam manifesto BN, Bandaraya Getah dicadang untuk dibina di Kota Perdana, Padang Terap. Kononnya ia akan membuka 13,000 peluang pekerjaan. Sehingga kini, tiada seorang pun pemimpin BN boleh menerangkan secara terperinci konsep Bandaraya Getah yang akan dibina itu.

Di Sidang DUN, apabila didesak, Exco berkaitan Dato’ Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail mendedahkan bahawa mereka hanya mula melakukan kajian terhadap Bandaraya Getah selepas jadi kerajaan. Bukannya sebelum merangka manifesto.
Pengakuan jujurnya; selepas meneliti kawasan Kota Perdana, ianya didapati tidak sesuai untuk pelaksanaan projek besar itu memandangkan ia kawasan bercerun. Lalu cadangan dialihkan ke Ladang Bukit Ketapang.

Padang Terap bukan daerah yang pesat membangun. Ciri-ciri untuk dibangunkan sebuah bandaraya langsung tidak ada. Sehingga kini BN tidak mampu menunjukkan model bandaraya getah yang pernah wujud di dunia ini. Lebihkurang sama saja situasinya sewaktu BN menjanjikan Padang Terap mahu dijadikan kawasan yang terbabit industri gula yang membuka peluang pekerjaan yang banyak suatu masa dahulu.

Sebahagian rakyat Padang Terap tidak akan mudah lupa, kerana mereka pernah ‘terkena’ dengan projek besar kilang Gula Padang Terap yang menjanjikan peluang pekerjaan dan pendapatan lumayan.

Syarikat Gula Padang Terap yang dianggap hebat suatu ketika, bertukar tangan kepada satu demi satu pihak, sehingga akhirnya kawasan ladang gula yang saujana mata memandang dahulu kini tinggal kenangan. Apa yang penduduk Padang Terap dapat? Tanah yang mereka teroka berpindah milik kepada pihak lain. Kali terakhir (sebelum kerajaan PAS), tanah tersebut berpindah tangan kepada Tradewinds (M) Sdn Bhd merupakan anak syarikat milik Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary. 

Dahulu projek ‘bulan bintang’ untuk mengubah taraf hidup rakyat namanya Syarikat Gula Padang Terap. Kini namanya Bandaraya Getah. Rakyat kekal tidak terbela.

Warta Darul Aman

Arkib