• Hilmi Yahaya  

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan mendapat kelulusan membina 11 hospital baru di seluruh negara tahun ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata ia melibatkan Hospital Parit Buntar di Perak, Hospital Shah Alam (Selangor), Hospital Tampin dan Hospital Rembau (Negeri Sembilan) serta Hospital Bera dan Hospital Rompin (Pahang).

Yang lain ialah Hospital Kuala Krai dan Hospital Bachok (Kelantan) serta Hospital Lawas, Hospital Petra Jaya dan Hospital Sri Aman (Sarawak).

"Berbanding 140 hospital yang ada sekarang, 14 termasuk Hospital Kuala Lumpur dikategorikan sebagai hospital negeri, masing-masing 26 hospital berpakar major dan minor, 66 hospital tanpa pakar dan lapan institusi perubatan khas," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Abdul Rahman Bakar berhubung jumlah hospital daerah yang ada sekarang, bilangan yang akan dibina tahun ini dan bila sebuah hospital akan dibina di daerah Marang, Terengganu.

"Kementerian mendapati belum ada keperluan mendesak buat masa ini untuk membina hospital baharu di Marang. Ini kerana perkhidmatan rawatan pesakit bagi penduduk daerah itu telah diliputi Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, kira-kira 20 kilometer dari Bandar Marang," jelas Dr Hilmi.

Selain itu, beliau berkata statistik kesihatan penduduk sedia ada juga mendapati tidak ada justifikasi keberkesanan kos agak kukuh untuk membina sebuah hospital daerah baru.

Bagaimanapun, beliau berkata sebuah projek klinik kesihatan di daerah itu dijangka mula dibina pada 2014 dengan anggaran kos RM25 juta.

Kepada soalan tambahan, beliau berkata kementerian berhasrat mengurangkan nisbah doktor berbanding penduduk kepada 1:400 menjelang 2020 berbanding seorang bagi setiap 700 sekarang. - Bernama