Mukhriz Mahathir
Mukhriz Mahathir
ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir enggan ulas desas desus mengenai penjualan Kolej Universiti Insaniah (Insaniah) yang kini tersebar di blog-blog ketika ini.
Sebaliknya Mukhris berkata, Kerajaan Negeri Kedah akan terus mengutamakan kebajikan dan kepentingan pelajar di kolej tersebut.
“Kalau dilihat dari segi kewangan, pembinaan kampus induk itu sahaja menelan belanja sebanyak  RM350 juta dan menyebabkan kerajaan negeri terpaksa membayar hutang sebanyak RM46 juta setahun.
“Perbelanjaan tersebut belum termasuk gaji pekerja dan sebagainya yang mencecah lebih RM50 juta setahun. Tanggungan kewangan itu memang tinggi.
“Bagaimanapun, kita telah berjaya membuatkan Insaniah sebagai satu badan berkanun,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, hari ini.
Sebelum ini, Mukhriz dilaporkan berkata, Kerajaan Kedah sedang menilai semula kewajaran Insaniah Holdings Sdn Bhd dan anak-anak syarikatnya dalam usaha kerajaan negeri menyelesaikan masalah Kolej Insaniah.
Mukhriz berkata, menerusi penilaian semula itu kerajaan negeri antara lain mempertimbang langkah untuk memperkemaskan pengurusan anak syarikat berkenaan.