ALOR SETAR - Kira-kira 50 peniaga premis perniagaan Taman Bandar Baru Mergong, dekat sini, merayu agar pihak berkenaan pertimbangkan semula lokasi bazar Ramadan yang didakwa mengganggu kawasan parkir.

Peniaga, Zulkifli Mahat, 41, berkata, kedudukan khemah bazar berkenaan didapati terlalu dekat dengan premis mereka sehingga berlakunya masalah meletakkan kenderaan.

“Kami tidak jangka khemah akan dipasang di tempat meletak kenderaan, berikutan itu laluan jadi sempit akibat ketiadaan tempat parkir dan pelanggan enggan memasuki premis kami.

“Perniagaan kami juga terjejas disebabkan masalah itu. Pelanggan sukar untuk membeli belah dan meletakkan kenderaan. Malah, kami juga mengalami kesulitan untuk mendapatkan stok kerana lori tidak dapat masuk," katanya.

Menurutnya, perkara itu sudah berlarutan selama tiga tahun apabila tibanya bulan Ramadan.

Peniaga, Ooi Aik Meng, 31, berkata, perniagaan aksesori keretanya juga terjejas dek kerana masalah berkenaan.

Aik Meng berkata, akibat ketiadaan parkir dan laluan yang sempit, pelanggannya pasti akan ke premis lain.

“Bayangkan, jualan saya pada bulan biasa boleh mencecah hingga RM10,000 sebulan, tapi berdasarkan pengalaman pada tahun sebelumnya setiap kali bulan Ramadan saya hanya peroleh hasil jualan sekitar RM2,000 sahaja.

"Perkara ini yang membuatkan kami bimbing dan runsing sedangkan kebanyakan peniaga perlu membayar sewa sekitar RM3,000 sebulan,” katanya.

Hakimi Makhsin, 35, berkata, masalah itu ditambah pula dengan adanya peniaga lain yang turut berniaga di hadapan kedai mereka.

Katanya, mereka tidak menghalang jika ada peniaga lain menjalankan perniagaan, bagaimanapun meminta  pihak itu memahami keadaan mereka yang bakal menanggung kerugian besar.

Hakimi berkata, pihaknya mendapati terdapat dua lokasi alternatif boleh digunakan sebagai tapak baru bagi peniaga terbabit, iaitu di jalan besar ke kawasan perindustrian dan di bangunan belakang premis perniagaan mereka.

Lokasi alternatif berkenaan didapati lebih luas, selesa dan tidak menimbulkan kesulitan kepada mana-mana pihak, sebaliknya hanya memerlukan sedikit pemantauan, pengubahsuaian dan penguatkuasaan daripada pihak berkenaan sahaja.

Justeru, katanya, dia dan peniaga lain merayu kepada pihak bertanggungjawab agar  prihatin dan mengatasi isu terbabit segera sebelum ketibaan Ramadan beberapa hari lagi.