Kedah La

Kedah La versi baharu. Menggerak hati nurani dan pemikiran rakyat Kedah untuk melakukan perubahan dalam PRU14 nanti.

Terkini dari Kedah La

Monday, July 29, 2013

100 peniaga Pekan Rabu bantah tindakan kerajaan UMNO Kedah

UMNO ternyata gagal dalam mengurus rakyat berniaga!



ALOR SETAR - Kira-kira 100 peniaga Pekan Rabu, dekat sini, mengadakan demonstrasi aman kira-kira sejam di pekarangan kompleks perniagaan berkenaan kerana mendakwa kewujudan tapak niaga di kawasan parkir menyulitkan mereka.

Peniaga, Abdul Hamid Muhammad, 59, berkata, sejak kompleks perniagaan itu beroperasi kira-kira 35 tahun lepas, perniagaan mereka tidak pernah terjejas.

“Bagaimanapun, sejak awal Ramadan ini apabila kawasan parkir dijadikan tapak niaga, sambutan diterima kami agak hambar dan kurang memberangsangkan.

“Ia turut mengakibatkan masalah meletakkan kenderaan berlaku apabila hampir 60 tapak parkir dijadikan lot tapak niaga, yang mana ia turut menyukarkan kami untuk membawa masuk stok ke dalam kedai,” katanya.

Abdul Hamid berkata, mereka dikenakan saman apabila meletakkan kenderaan untuk memasukkan stok, walaupun beberapa kali mengemukakan aduan namun, pihaknya menerima maklum balas mengecewakan apabila pihak majlis bertegas untuk membenarkan perniagaan dijalankan.

Menurutnya, dia mengalami kerugian agak banyak kerana hanya memperoleh sekitar RM50 sehari berbanding lebih kurang RM300 hingga RM 400 sebelum ini.

“Selepas ini, mereka berharap Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) tidak meneruskannya pada masa akan datang,” katanya.
Manakala, peniaga, Mohd Abdullah Kadir, berkata, kebanyakan peniaga mengalami kerugian walaupun berada di kawasan agak strategik, jadi mereka merasakan tindakan menukar kawasan parkir menjadi tapak niaga ini tidak adil.

Katanya, kadangkala dia tidak memperoleh pendapatan langsung kerana orang ramai sukar meletakkan kenderaan masing-masing hingga menyebabkan mereka enggan memasuki kompleks perniagaan itu.

Sementara itu, Datuk Bandar MBAS, Datuk Mat Noh Ahmad, berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan dakwaan dikemukakan kebanyakan peniaga Pekan Rabu bahawa perniagaan mereka hambar berikutan kawasan parkir dijadikan tapak niaga.

Bagaimanapun, beliau mengakui berlakunya masalah kekurangan kawasan parkir berikutan satu kawasan meletakkan kenderaan di Pekan Rabu ditutup untuk memberi laluan kepada operasi perniagaan sepanjang Ramadan.

“Peniaga tapak karnival jualan Ramadan memaklumkan jualan mereka juga tidak menggalakkan dan tidak ramai yang keluar membeli lagi buat masa ini. Jadi, saya berpendapat bahawa sambutan hambar disebabkan penduduk masih belum mendapat gaji.

“Masih ramai penduduk tempatan yang belum pulang untuk berhari raya, jadi selepas ini jualan mereka tak kira sama ada peniaga Pekan Rabu mahupun peniaga tapak karnival jualan Ramadan pastinya akan meningkat,” katanya.

Warta Darul Aman

Arkib