Kedah La

Kedah La versi baharu. Menggerak hati nurani dan pemikiran rakyat Kedah untuk melakukan perubahan dalam PRU14 nanti.

Terkini dari Kedah La

Thursday, May 2, 2013

Tukar kerajaan Pusat selepas 56 tahun merdeka... Mari kita melakar sejarah!



Jangan lupa pergantungan kepada Allah!

Oleh ZULKIFLI YAHAYA

Satu-satunya perkara besar yang pernah berlalu di semua negara demokrasi tetapi tidak pernah berlaku di Malaysia ialah pertukaran parti politik yang mentadbir kerajaan. Sejak PRU pertama Malaysia pada tahun 1955 sehingga PRU 12 tahun 2008, BN yang dahulunya Perikatan, tidak pernah kalah.

Terlalu lama berkuasa adalah subjek yang mengunjurkan akibatnya yang pelbagai. Hampir kesemuanya negatif. Terlalu lama berkuasa menyebabkan kerajaan yang ada bersikap angkuh, besar kepala dan mereka sentiasa betul. Terlalu lama berkuasa menyebabkan 'sistem' rasuah berakar dan berumbi dalam kerajaan, khazanah kekayaan negara teragih di kalangan juak-juak mereka yang berkuasa melalui pelbagai projek kerajaan. Terlalu lama berkuasa menyebabkan peranan parti politik yang memerintah tidak dapat dibezakan dengan kerajaan, perkakas hak milik kerajaan menjadi harta meredak parti dan jentera kerajaan dipergunakan tanpa batasan untuk mempertahankan parti yang berkuasa.

Aspek yang paling jahanam akibat terlalu lama berkuasa ialah kewujudan golongan yang mengabdikan diri kepada manusia serta lebih takutkan manusia (dan segala ugutannya) berbanding takutkan Pencipta manusia. 

Demokrasi meletakkan manusia sebagai 'raja' dalam membuat pilihan dan keputusan. Dalam amalan demokrasi tulen, kumpulan yang menawarkan diri untuk diangkat sebagai pemimpin sangat berhati-hati dengan rakyat bawahan - bakal pemimpin takutkan rakyat bawahan. Namun di Malaysia yang songsang demokrasinya terdapat golongan rakyat yang ditarbiyah untuk takutkan kerajaan. Mereka takut untuk tidak bersama parti yang memerintah, khuatirkan tindakan dari pihak pemerintah. Orang miskin dari kalangan tersebut takutkan rezeki terbantut. Manakala kakitangan kerajaan takutkan tindakan tatatertib.

Ketakutan yang tidak kurang buruknya ialah bayangan senario negatif jika kerajaan bertukar. Takut Cina berkuasa, DAP jadi Perdana Menteri, raja-raja dihapuskan, negara bangkrap, huru hara, Kristian ganti Islam sebagai agama rasmi, pelabur lari dan negara muflis. Kemuncak dari segala ketakutan ini ialah golongan penakut itu akan terus memberi undi untuk mengekalkan kerajaan perasuah berkuasa.

Ayat yang paling popular dari mulut para pemimpin BN ialah 'jangan lakukan percubaan' atau 'jangan gadaikan masa depan'. Di samping rakyat diumpan dengan pelbagai ganjaran yang senang disebut rasuah politik. Mereka mampu memberi kerana mereka adalah kerajaan Pusat yang mengutip pelbagai cukai dari rakyat. Umpan yang diberikan kepada rakyat hakikatnya masih kecil berbanding 'ganjaran' yang mereka akan dapat jika terus berkuasa. Semua projek kerajaan diletakkan harga yang tinggi untuk disalurkan untung besar itu kepada para penyamun berlesen. Lebihan harga itu dinamakan ketirisan. Dianggarkan ketirisan yang berlaku setiap tahun ialah sebanyak RM20 billion. Nampaknya kerajaan, bagi BN, sudah menjadi komuniti dagangan. Ada modal dikeluarkan untuk memperolehi untung lebih besar.

Selain modal umpan berbentuk BR1M atau seumpamanya, modal yang tidak silu digunakan oleh para pemimpin BN ialah agama dan bangsa. Merekalah kononnya pejuang agama, bangsa dan negara. Semua elemen agama dan bangsa dieksploit sepenuhnya, bahkan sehinggakan nama 'Allah' juga turut jadi bahan dagangan politik Umno. Mereka bercakap perihal perjuangan Umno yang tegas mempertahankan prinsip Islam dalam keadaan anak pinak masing-masing bergelumang dengan budaya hidup sesat.

Demi mempertahankan kekuasaan juga, mereka mencipta pelbagai fitnah jahat terhadap para pemimpin Pakatan. Video lucah yang dulunya agak terasing dalam masyarakat kini dibiasakan melalui pengedaran dan pertunjukan secara terbuka kepada semua golongan masyarakat. Mereka tidak pernah melihat kepada kesan jangka panjang akibat dari penyebaran tersebut kerana bagi mereka 'matlamat menghalalkan cara'.

Semua kepincangan itu wajib ditamatkan dan sekarang adalah masa terbaik untuk melakukannya. Semua petunjuk membayangkan Pakatan akan mengambilalih Putrajaya. Kebangkitan rakyat kini lebih luarbiasa berbanding PRU12. Sokongan pengundi Cina terhadap Pakatan menghampiri maksimum. Semua jentera Pakatan bergerak bersama, tidak seperti PRU12 yang berasingan dan pakatannya agak longgar. Maklumat di alam maya boleh diakses dengan meluas oleh sesiapa sahaja sehingga setiap penipuan Umno boleh dibetulkan dalam tempoh tidak sampai lima minit.

'Masalah besarnya' ialah semua itu berlaku dalam keadaan BN turut sedar bahawa mereka akan kehilangan Putrajaya. Gergasi tua itu tidak akan biarkan segalanya berlaku. Dengan kuasa dan wang yang masih di tangan mereka akan melakukan secara habis-habisan.

Maka peranan semua pendokong dan penyokong Pakatan di minit-minit terakhir ini ialah menggagalkan usaha BN untuk menggagalkan Pakatan. Percayalah bahawa BN akan menggunakan senjata terakhir yang bakal memberi impak besar terhadap Pakatan. Persiapkan kekuatan mental aktivis, penyokong serta rakyat keseluruhannya untuk menghadapi semua itu. 

Akhir sekali perkara paling penting dalam usaha menawan Putrajaya ialah pergantungan kita kepada Yang Maha Penentu Keputusan. Ingat Peran Hunain di mana umat Islam yakin dengan kekuatan sendiri hingga lalai akan pergantungan kepada Allah maka Allah kalahkan di peringkat awal sebagai pengajaran. 

Tiada pesanan yang lebih penting dan utama dari; pertingkatkan pergantungan kepada Allah SWT, bermunajat, berdoa dan perbanyakkan ibadah - Insya Allah kemenangan Pakatan berpihak kepada rakyat.

Warta Darul Aman

Arkib