Satu kajiselidik oleh Merdeka Centre mendapati bahawa 42 peratus responden percaya bahawa Pakatan Rakyat perlu diberi peluang untuk mentadbir negara.

Sebaliknya, 41 peratus mengatakan hanya BN boleh memerintah negara ini. Tiga belas peratus responden tidak pasti dan empat peratus enggan menyatakan pendirian mereka.

Kajiselidik itu melibatkan temubual telefon dengan 1,600 responden dari Semenanjung yang dipilih melalui persampelan rawak berlapis.

Responden luar bandar dan wanita lebih cenderung untuk mempercayai bahawa hanya BN boleh memerintah Malaysia, sedangkan responden lelaki dan pengundi bandar lebih cenderung kepada Pakatan.

Responden lebih tua didapati lebih cenderung untuk menyokong BN. Bagaimanapun, tahap sokongan akan turun seiring dengan kumpulan umur. Bagi Pakatan adalah sebaliknya.
Trend terbalik ini juga jelas dari segi umur pendapatan isirumah. Ia menyatakan bahawa golongan berpendapatan rendah lebih cenderung kepada BN, manakala golongan berpendapatan tinggi pula menyebelahi Pakatan.

BN juga boleh bergantung kepada sokongan kakitangan kerajaan dan mereka yang berkerja tidak secara rasmi, manakala Pakatan mendapat sokongan mereka yang bekerja di sektor swasta dan yang bekerja sendiri.

Di samping itu, mereka yang tidak mempunyai akses Internet juga lebih cenderung menyokong BN, dan keadaan sebaliknya bagi  mereka yang mempunyai akses internet.

Sementara itu, mereka yang pernah mengundi sebelum ini pula sama banyak sokongannya, tetapi pengundi kali pertama lebih cenderung kepada Pakatan.