Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali mendakwa Umno sudah terdesak sehingga sanggup melemparkan pelbagai fitnah untuk menjatuhkan beliau dari arena politik tanahair. 
    
Ketika berucap di satu majlis di markas PAS Kampung Molek di Dungun malam ini, beliau berkata Umno bertanggungjawab terhadap fitnah melalui media.  
    
"Ini adalah kebiasaan Umno, mereka sanggup guna taktik kotor dengan menyebarkan fitnah... saya adalah mangsa terbaharu fitnah Umno," katanya.
    
Mustafa berkata beliau menyerahkan kepada dua peguamnya, iaitu Asmuni Awi dan Hanifah Maidin, untuk membawa isu itu ke muka pengadilan. 
    
Beliau turut menafikan telah meletak jawatan selepas isu penyebaran gambar dan video seks yang dibuat oleh pemfitnah yang dipercayai pecacai upahan UMNO.

"Saya malas layan kat media ini sebab pelawok (penipu), ada pula antara blog yang kata bahawa saya letak jawatan sebagai setiausaha agung kerana isu video ini.
    
"Saya hidup lagi ni, (masih) setiausaha agung PAS lagi. Tidak jadi kudis gatal pun dengan perkara itu. Saya dah faham surat khabar," katanya.