Kedah La

Kedah La versi baharu. Menggerak hati nurani dan pemikiran rakyat Kedah untuk melakukan perubahan dalam PRU14 nanti.

Terkini dari Kedah La

Thursday, April 25, 2013

Calon BN Kedah ramai yang kitar semula dan bermasalah




Senarai calon BN untuk tambah mandat Pakatan sepenggal lagi

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA
(Nota Utara, Harakah)

"Senarai yang dikemukakan adalah untuk beri lima tahun lagi kepada Pakatan," demikian ulas seorang veteran Umno Kedah.

Realiti yang tidak dapat dielak Umno, semua calon yang dikemukakan serta disahkan oleh Datuk Seri Najib  di Kedah mendapat bantahan dari pihak yang tidak berpuashati dalam parti itu. Tidak ada calon yang mendapat sokongan seratus peratus. Sebagai parti tua yang sarat dengan 'penyakit' hal itu adalah perkara biasa, walaupun untuk PRU13 ini suasananya lebih buruk dari PRU12 lalu.

Katakan terdapat tiga tokoh yang tergila-gila nak jadi calon, pilihan terbaik parti ialah memilih calon yang paling besar pengaruhnya serta paling kurang masalah jika tidak terpilih. Umno sering menyebutnya sebagai calon 'boleh menang'. Peliknya untuk PRU13 ini Najib memilih calon yang rata-ratanya bersifat 'boleh kalah' di Kedah. Itu yang luarbiasanya.


Antara calon BN yang tersenarai adalah yang ditolak rakyat dalam PRU lalu. Mereka ialah Datuk Abd Azeez Abd Rahim (Baling), Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir (Kulim Bandar Baharu), Datuk Othman Aziz (Jerlun), Datuk Tajul Urus Md Zain (DUN Tanjung Dawai) dan Hashim Jahaya (DUN Anak Bukit). Datuk Ahmad Lebai Sudin (DUN Bukit Lada) tidak bertanding PRU12 lalu namun kalah pada PRU11. Sewaktu tidak terpilih sebagai calon, Ahmad dikatakan melakukan sabotaj terhadap calon BN DUN Bukit lada, Datuk Ariffin Man. Ariffin kalah hanya 260 undi. Ahmad menerima hukuman gantung sekejap sahaja. 

Mungkin kerana beliau kroni Najib, maka penggantungannya ditarik balik dan dia kembali memimpin Umno Bahagian Pokok Sena. Maknanya dari senarai calon BN, ramai juga yang sudah ditolak rakyat di samping bermasalah.

Terdapat calon yang dianggap sudah boleh bersara dari Umno. Antaranya Datuk Osman Abdul (Pendang), Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah (DUN Bakar Bata) dan Datuk Abu Hasan Sarif (DUN Kota Siputeh) - semuanya sudah empat penggal. Abu Hasan bukan setakat sudah lama sebagai ADUN tetapi telah membuktikan kegagalannya sebagai wakil rakyat apabila ponteng menghadiri Sidang DUN dua kali berturut-turut sehingga terpecat sebagai ADUN mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah. Mujur mahkamah 'menyelamatkan' kedudukannya. Orang macam ini pun BN kekalkan sebagai calon.

Di kalangan yang bersaing menjadi calon Umno, ramai yang lebih berpengaruh dan layak tidak terpilih. Pegawai Khas Perdana Menteri Datuk Lat Shariman yang juga selaku Ketua Umno Bahagian Kuala kedah telah bertungkus lumus dalam bahagiannya, sejak beberapa tahun bergelumang dengan rakyat tetapi tidak terpilih sebagai calon Parlimen Kuala Kedah. Orang yang terpilih ialah Dr. Zaki Zamani yang sumbangannya untuk rakyat Kuala Kedah tidak kelihatan. Datuk Latt yang berimej nasional hanya diberikan kerusi DUN yang tidak selamat iaitu Kubang Rotan. Di situ karier politiknya bakal dikuburkan.

Di Jitra, Datuk Saad Man yang boleh dianggap sebagai 'wakil rakyat contoh' digugurkan sedangkan beliau baru satu penggal berkhidmat, digantikan dengan tokoh yang tidak dikenali pengundi. Lebih mengejutkan Naib Ketua Puteri Umno, Shahanim Mohd Yusoff yang selama ini sinonim dengan DUN Pantai Merdeka diketepikan, sebaliknya diganti dengan Datuk Ali Yahya yang rata-rata menganggap beliau sebagai punca masalah dalaman Umno Bahagian Sungai Petani. Dari segi pengaruh di kalangan rakyat, Shahanim jauh mendahului Ali.

Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Kamilia Ibrahim sebagai orang nombor dua Wanita Umno kecewa tidak dicalon lantas keluar parti dan bertanding bebas. Mujur orang nombor dua Puteri Umno itu penyabar orangnya. Jika Shahanim mengambil langkah yang sama, Umno benar-benar hancur lebur. Kekecewaan yang ditunjukkan oleh para penyokongnya sungguh mengejutkan. Mereka mengangkat sepanduk mengecam Mukhriz dan bapanya Tun Mahathir. Kononnya kedua beranak itulah yang mengatur calon Umno di Kedah. Ramai yang berkata begitu. Tidak mungkin senarai calon Umno yang menampakkan calon-calon yang disukai Mahathir-Mukhriz sahaja terpilih, berlaku secara kebetulan sahaja.

Di DUN Alor Mengkudu, bekas Exco Kerajaan Negeri Kedah Ustaz Fadhil Hanafi yang sangat berpengaruh di DUN Alor Mengkudu diketepikan untuk memberi laluan kepada Ketua wanita Umno Bahagian Alor Setar Syarifah Maznah. Fadhil tidak berpuashati lalu bertanding sebagai calon bebas. Terkedu Datuk Ahmad Bashah dibuatnya. Rupanya Umno di penghujung hayat ini wataknya berbeza dengan Umno lebih lima tahun lalu. Bila mereka tidak berpuas hati dengan keputusan parti, mereka bertindak nekad tanpa rasa takut lagi. Maklumlah dalam benak pemikiran ahli-ahli Umno kini terbayang dua kemungkinan; menang tipus PRU atau kalah dan terus ghuyub dari persada politik. Jadi apa nak ditakutkan lagi.
Datuk Seri Najib barangkali tidak menyangkakan bahawa calon-calon Umno yang disahkannya telah mendapat bantahan menyeluruh dari ahli-ahli parti. Wibawanya benar-benar hilang.

Jika mahu diperincikan semua calon Umno yang terpilih di Kedah, tidak ada yang tidak bermasalah. Jika Najib memilih calon yang disebaliknya pun, masalah bantahan dari pihak tidak terpilih muncul juga. Cuma Najib lebih tersalah dalam membuat pilihan; menyenaraikan calon yang mengumpul lebih banyak masalah. Mungkin bila Allah SWT mengtakdirkan BN Kedah akan kekal sebagai pembangkang maka Najib pun ditakdirkan membuat pilihan yang lebih buruk antara yang buruk.

Warta Darul Aman

Arkib