Kedah La

Kedah La versi baharu. Menggerak hati nurani dan pemikiran rakyat Kedah untuk melakukan perubahan dalam PRU14 nanti.

Terkini dari Kedah La

Thursday, April 4, 2013

BAHAYA memberi kuasa hanya kepada satu parti, memerintah terlalu lama dan tidak pernah bertukar...


Masa untuk menukar kerajaan...ayuh semua..!!!

Oleh Tommy Thomas (Aliran)

Bayangkan Britain diperintah oleh parti yang sama, katakan Parti Buruh, untuk selama 55 tahun berturut-turut bermula pada 1957. Atau Amerika diperintah oleh Parti Republikan dalam tempoh masa yang sama. Itulah yang terjadi pada Malaysia sejak Merdeka.

Pilihan Raya Umum Ke-13 yang mesti diadakan sebelum 28 Jun 2013, memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk membebaskan diri daripada belengu pemerintahan Umno, yang pada mulanya dengan nama Perikatan dan kemudian Barisan Nasional.

Penguasaan Umno

Tempoh masa lima tahun di antara Pilihan Raya Umum Ke-12 pada Mac 2008 dan Pilihan Raya Umum Ke-13 merupakan tempoh penting bagi Malaysia selepas merdeka kerana dalam tempoh tersebut telah wujudnya sistem dua parti yang benar-benar berfungsi, dengan pembangkangnya cukup kuat sehingga mampu membentuk kerajaan pada masa akan datang.

Tetapi ia mengambil masa setengah abad bagi negara kita untuk mencapai peringkat ini dalam pembangunan demokrasi. Seperti kebanyakan rakyat di negara-negara yang muncul daripada penaklukan kolonial di Dunia Ketiga, rakyat Malaysia sangat terhutang budi pada Parti Perikatan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Tengku Abdul Rahman, kerana mendapatkan kemerdekaan daripada British. Sangkaan baik dan sokongan daripada pejuang-pejuang kemerdekaan dan nasionalis pada peringkat awal banyak membantu Umno.

Bangsa, yang selama ini dieksploitasi oleh kolonial dalam dasar pecah dan perintahnya, kemudian menjadi ciri utama dalam politik Malaysia, seperti yang ditunjukkan oleh gabungan Parti Perikatan, yang terdiri daripada Umno, MCA dan MIC - di mana setiap parti mewakili bangsa tertentu, dan yang diperjuangkan adalah kepentingan bangsa tertentu itu pula. Pada peringkat awal, Umno bertindak sebagai abang, dan dibantu oleh adik-adiknya MCA dan MIC. Pada waktu tidak timbul soal kesamarataaan.

Selepas Majlis Tindakan Kebangsaan (NOC) melalui Pengarahnya, Tun Razak, mengambil kuasa sebenar sewaktu kekacauan 13 Mei 1969 (yang sebenarnya merupakan rampasan kuasa daripada pemerintahan Tengku), pengaruh dan penguasaan Umno tidak pernah dipersoalkan lagi. Di sini kita dapati bahawa realiti sebenar pada awal 70-an itu ialah Barisan itu adalah Umno, dan keputusan penting yang membabitkan negara pada ketika itu dibuat berdasarkan apa yang berlaku dalam Umno, bukan Kabinet.

Kemunculan Ayatollah Khomeini menerusi Revolusi Iran pada 1979, memberi kesan kepada kebangkitan Islam di seluruh dunia. Ia juga mempunyai pengaruh di Malaysia pada pertengahan 1980-an, di mana Perdana Menteri Dr Mahathir cuba mengetepikan PAS dengan mengambil Islam sebagai ideologi politik dan senjatanya.

Barangkali kesan yang paling tidak boleh diterima akibat tempoh pemerintah yang panjang Umno ini ialah penguasaannya terhadap institusi awam seperti media, universiti, perkhidmatan awam dan juga polis. Tempoh pemerintahan yang panjang membuatkan pemerintah merasakan bahawa mereka mempunyai hak 'suci' untuk memerintah - dan ia membuatkan tidak ada lagi perbezaan di antara negara dan parti pemerintah. Justeru, Umno berfikir bahawa apa yang menjadi kepentingan Umno, itulah juga kepentingan negara.

Apabila sokongan yang jujur terhadap Umno semakin hari semakin pudar, satu suasana takut mulai wujud, justeru peristiwa 13 Mei mula digembur-gemburkan semula bagi menakutkan pengundi terutamanya mereka yang telah berusia dan juga orang bukan Melayu.

Kejayaan Pakatan menafikan dua pertiga kerusi di parlimen bagi Barisan, menang 10 daripad 11 kerusi parlimen di Kuala Lumpur dan menawan lima negeri pada Mac 2008 telah berjaya memadamkan mitos untuk selama-lamanya bahawa Umno itu kebal.

Walaupun politik berasaskan kaum memainkan peranan dalam mendapatkan kemerdekaan dan dalam pemerintah buat negara yang baru wujud, namun ia tidak seharusnya kekal lama dan perlu segera diganti. Perubahan seterusnya bagi Malaysia dalam demokrasi ialah menukar kerajaan. Lambat laun ia pasti akan terjadi.

Deepak

Pendedahan Deepakl dalam media internet baru-baru ini jelas menunjukkan betapa kehidupan awam rakyat Malaysia begitu malang sekali. Berjuta rakyat Malaysia kini menjadikan media intermet sebagai media mereka ekoran kecewa dengan laporan memihak akhbar-akhbar sedia ada.

Dalam pendedahan ini, seorang ahli perniagaan yang tidak dikenali, daripada kumpulan etnik minoriti, tanpa sokongan mana-mana institusi, mencemuh Perdana Menteri dan isterinya selama sebulan lamanya tanpa dibela oleh Umno.

Setiap tentu akan berfikir bahawa sebarang kritikan bertalu-lalu terhadap presiden Umno seperti itu, bermakna ia merupakan serangan terus terhadap keseluruhan parti berkenaan, dan dalam masa lalu ia pastinya akan mendapat tentangan hebat daripada Umno dan kemudiannya negara. Semua orang tentu masih ingat apa yang berlaku pada Ambiga Sreenavasan, daripada kumpulan etnik yang sama, yang diancam akan digugurkan taraf kerakyatannya, apabila dia dengan beraninya mengetuai perhimpunan Bersih yang menuntut pilihan raya bersih.

Apa yang perlu kita ingat mengenai pendedahan Deepak itu ialah tentang beratnya dakwaan yang dikemukannya ; iaitu mengenai pembunuhan kejam seorang ibu berbangsa Mongolia yang datang ke Kuala Lumpur untuk bertemu kekasihnya - dan bagaimana kes itu ditutup. Isu penting dalam pembunuhan ini ialah - siapakah yang memberi arahan kepada dua orang anggota polis berkaitan supaya menggunakan bom C4 untuk membunuh perempuan itu - dan mengapakah ia tidak pernah disiasat dan tindakan tidak diambil terhadap pelakunya.

Masyarakat yang tidak membenarkan siasatan terperinci, bebas dan profesional dilakukan sehingga tertangkapnya pembunuh sebenar Altantuya ini tidak boleh mendakwa sebagai masyarakat yang patuh dan menjunjung tinggi undang-undang yang ada.

Ia bukan satu kebetulan apabila peristiwa sebegini berlaku dalam masyarakat di mana pemimpin politiknya telah memerintah lebih separuh abad dan menjadikan negara serta institusinya sebagai harta peribadi, dan tidak lagi mempedulikan pengundi-pengundi. Kebertanggungjawaban, integriti dan kebenaran kini merupakan nilai-nilai yang telah hilang daripada masyarakat kita.

Respons yang diberikan oleh pihak 'establishment' terhadap ugutan Deepak itu agak mengejutkan, bahawa memandangkan Deepak mempunyai hutang peribadi yang perlu dilunaskan, sebuah syarikat yang berkepentingan menjaga hal ehwal anggota pasukan keselamatan telah diarahkan untuk menyelamatkannya. Apa yang langsung tidak dipedulikan di sini ialah persoalan berhubung pentadbiran korporat: bagaimanakah kepentingan syarikat, pemegang saham, dan pemberi kreditnya dipenuhi melalui urusniaga ini? Oleh sebab Umno menguasai pengurusan beratus-ratus buah syarikat, perbezaan di antara kepentingan Umno dan kepentingan syarikat berkenaan amat kabur sekali.

Merujuk kepada sejarah, Lord Action pernah memberikan komen: "Kuasa boleh merosakkan, dan kuasa mutlak menghasilkan kerosakan mutlak" dan ia sangat bertepatan dengan apa yang berlaku di Malaysia saat ini.

Mentadbir Malaysia

Pendokong-pendokong Umno sering menggunakan hujah relatif asas bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang makmur.

Respons yang harus kita berikan ialah: negara manakah yang kita bandingkan? Jika kita membandingkan dengan negara Burma, Nigeria atau Columbia, benar, memang kita makmur. Tetapi, perbandingan yang wajar mestilah dibuat dengan negara yang setaraf dengan negara kita, iaitu pesaing kita. Korea Selatan dan Malaysia merupakan mangsa Krisis Kewangan Asian pada 1997. Malah, Korea Selatan menerima bantuan IMF dalam 1998. Tetapi, 15 tahun kemudian, dengan langkah yang berhati-hati, Korea Selatan telah meninggalkan Malaysia jauh di belakang. Baik dalam industri berat, pembinaan kapal atau teknologi. Teknologi Korea Selatan menjadi teknologi kelas dunia: sebut saja Samsung, LG dan Hyundai. Begitu juga dengan tradisi demokrasinya.

Di sini, cara terbaik untuk melukiskan tentang pengurusan ekonomi Malaysia ialah, walaupun dasar perniagaan di negara ini sangat buruk dan bercelaru, Malaysia masih boleh maju ke hadapan kerana sumber semula jadi dan industri, inistiatif dan kemahiran rakyatnya terutama mereka dalam industri kecil dan sederhana.

Korupsi dan nepotisme mengakibatkan kebocoran berbilion-bilion ringgit. Sekiranya Tan Siew Sin masih kekal menjadi Menteri Kewangan Malaysia selama 55 tahun ini, kecekapan sudah tentu dapat menyelamatkan tidak kurang 1 trilion ringgit.

Aset negara yang paling penting ialah rakyatnya: modal insan. Dasar 'bijaksana' Umno telah mengakibatkan 1.5 hingg 2.0 juta rakyat Malaysia yang berkemahiran tinggi meninggalkan negara ini dan berhijrah ke negara lain. Sebagai timbal balik, kita telah berjaya menarik 4 hingga 5 juta pendatang (secara sah ataupun secara haram), untuk menjadikan Malaysia ini 'murah' dan menekan pendapatan buruh-buruh kita.

Alangkah hebatnya pertukaran itu! Sekadar mahu menjelaskan bagaimana Malaysia akan rugi dan negara lain akan untung: jika sekiranya semua rakyat Malaysia meninggalkan Singapura dengan tiba-tiba, dan kembali ke Malaysia, Singapura akan terjejas teruk.

Kerajaan Pakatan?

Kita seringkali ditanya begini: kita terima kelemahan Umno, setan yang dikenali boleh kita percayai, tetapi bolehkan Pakatan mentadbir lebih baik? Jawapan pendeknya ialah, dalam sistem dua parti yang betul, kita mempunyai peluang dalam masa empat atau lima tahun untuk menyingkirkan mereka melalui Pilihan Raya Umum Ke-14. Sesebuah negara itu akan ditadbir lebih baik sekiranya kerajaan selalu bertukar: bukankah itu makna sebenar pilihan raya yang adil dan bebas?

Tetapi jawapan yang lebih baik ialah dengan menilai rekod pencapaian kerajaan Pakatan di lima negeri yang ditadbirinya sejak 2008. Malah 'musuh' mengakui Lim Guan Eng mentadbir dengan cekap dan perlu diberi tugas yang lebih besar. Begitu juga dengan Selangor.

Pendokong-pendokong "pembagunan besar" mengkritik gaya pimpinan PAS di Kelantan dan Kedah: tetapi apa yang sisihkan dalam analisis ini ialah, gaya pimpinan yang lembut dan berhemah ini mendapat sokongan padu pengundi. Nizar Jamaluddin merupakan Menteri Besar Perak yang hebat, dan gaya kepimpinanya mendapat sambutan hangat dalam tahun pertama, langsung mengakibatkan Umno merencanakan rampasan kuasa.

Melihat kepada persembahan pentadbiran Pakatan Rakyat di negeri-negeri yang ditadbirinya, kita akan dapat bahawa ia lebih adil, bertanggung jawab dan tidak korup. Adakah ia sama dengan negeri-negeri yang diperintah oleh Umno? Jika difikirkan betul-betul, pemimpin-pemimpin politik yang berpengalaman dan kanan seperti Nik Aziz, Hadi Awang, Lim Kit Siang dan Karpal Singh ini jika diberi posisi sebagai menteri Kabinet, negara kita akan selamat.

Anwar Ibrahim akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-7 jika Pakatan diberi mandat. Selama 30 tahun ini Anwar memang mempunyai ramai pengkritik. Tetapi harus diingat bahawa beliau merupakan seorang Menteri Kewangan yang berjaya. malah mendapat pujian daripada Thatcher.

Beliau juga seorang Timbalan Perdana Menteri yang berjaya, malah terlalu berjaya sehinggakan ketuanya memecat beliau dalam 1988! Setelah mengharuingi pahit maung politik selama 15 tahun, pernah menderita kerana dihina, didakwa dan dipenjara, hanya membuatkan dirinya menjadi lebih rendah diri. Dr Mahathir dan Umno terlalu obsessif dan telah mengguna keseluruhan jentera negara untuk menghalang Anwar daripada terus mendapatkan kuasa.

tetapi yang menjadi penimbang tara sebenar ialah pengundi-pengundi Malaysia. Rakyat Malaysia perlu melihat ke depan dan yakin dengan keupayaan Anwar menjadi Perdana Menteri. Kita berharap kerajaan pimpinan beliau membuat keputusan yang betul dengan tidak memihak kepada mana-mana kaum dan agama serta warna kulit.

Satu-satunya orang yang tidak boleh menerima Anwar sebagai Perdana Menteri ialah Mahathir, yang selama ini menilai seseorang hanya menurut standard dirinya sahaja. Beliau merasakan pentadbiran Anwar hanya akan membalas dendam terhadap diri dan keluarganya. Beliau barangkali salah.

Apa yang boleh kita cakapkan ialah, daripada menghabiskan masa. tenaga dan sumber-sumber negara menyiasat dan mendakwa Dr Mahathir dan kuncu-kuncunya - yang boleh disifatkan sebagai dendam politik - Anwar boleh melantik Suruhanjaya Diraja "Mencari Kebenaran dan Perdamaian" seperti yang pernah dilakukan Mandela di Afrika Selatan, dengan mandat untuk mencari kebenaran (bukannya bertujuan untuk menghukum pesalah) sebagai jalan untuk mencari perdamaian dan titik segar untuk negara bergerak ke hadapan berhadapan dengan cabaran.

Sekiranya majoriti rakyat Malaysia menerima bahawa pertukaran kerajaan itu sesuatu yang imperatif dan membuat pengundian yang betul, ia akan terjadi. Orang-orang yang alim perlu turut memohon pertolongan Tuhan. Dengan rahmat Tuhan, Malaysia perlu meninggal belengu pemerintahan satu parti pada pertengahan tahun ini. Berjuta-juta rakyat Malaysia tidak sabar lagi menunggu.

Terjemahan: MUHAMMAD NOR ABD SAMAD

Warta Darul Aman

Arkib