Kedah La

Kedah La versi baharu. Menggerak hati nurani dan pemikiran rakyat Kedah untuk melakukan perubahan dalam PRU14 nanti.

Terkini dari Kedah La

Sunday, March 17, 2013

Tidak mustahil PAS kehilangan Kedah dan gagal tawan Putrajaya.. kenapa?




Oleh: ZULKIFLI YAHAYA
(Petikan Nota Utara, Harakah)

Saat tumbangnya BN semakin hampir. Buktinya tampak jelas apabila di mana sahaja himpunan anjuran Pakatan Rakyat, walaupun tanpa upah, rakyat jelata hadir berpusu-pusu. Kehadiran untuk program BN ramai juga tetapi semuanya hadir kerana kerahan tenaga dan paksaan. Setiap program yang melibatkan kehadiran Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri maka semua kakitangan kerajaan dipaksa hadir, sekalipun ia program politik. Inilah kelebihan dan keaslian sokongan untuk Pakatan berbanding BN.

Selepas Parlimen dibubarkan nanti, keghairahan akan lebih terserlah di kalangan para penyokong Pakatan. Semua markaz pilihanraya Pakatan akan dihurung siang dan malam. Kehadiran rakyat dalam apa jua himpunan akan berlipat ganda berbanding sebelumnya. Kekuatan yang paling  meyakinkan Pakatan untuk menang ialah sokongan bukan Melayu, khususnya kaum Cina. Mereka jadi undi penentu terhadap kemenangan Pakatan di banyak lokasi. Waktu itu amat sukar untuk setiap benak sanubari aktivis pembangkang yang telah terdera separuh abad oleh kerajaan memerintah untuk tidak meyakini bahawa 'ini kalilah' Pakatan akan menerajui Putrajaya.


Asas untuk kepercayaan itu ialah; bilangan rakyat yang menyokong Pakatan sudah tampak besar. Hukum demokrasi macam itu, yang ramai mesti menang.

Dalam Pakatan ada tiga komponen parti utama, yang paling ramai ahli dan penyokong ialah PAS. PAS wujud hampir di semua tempat di akar umbi. Di lokasi yang tiada cawangan dan ahli pun sekurang-kurangnya ada penyokong. Ia berbeza dengan DAP dan KeADILan. Di samping ramai bilangan ahli, PAS berbeza dengan rakan tahaluf kerana meletakkan Islam sebagai dasar dan matlamat di peringkat organisasi. PAS ada tarbiyah berasaskan Islam.

Maka di sini, penulis ingin mengingatkan diri sendiri serta seluruh pejuang Islam yang berharap memperolehi kuasa melalui pilihanraya supaya menginsafi bahawa; kita mungkin kalah dalam PRU13 jika meyakini bahawa sokongan rakyat jelata terhadap Pakatan sudah terlalu besar! Maaf kerana kenyataan anti klimaks ini. Menyebutnya sebelum PRU adalah lebih baik dari mengungkapkannya selepas seandainya kalah dalam PRU.

Allah telah memberi iktibar dalam Al-Quran bermaksud, "Dan ingatlah peperangan Hunain iaitu kamu menjadi bongkak kerana banyaknya jumlah kamu, maka jumlah yang banyak tidak memberi faedah kepada kamu sedikit pun dan bumi yang luas terasa sempit oleh mu kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai. Kemudian Allah menurunkan ketenangan kepada RasulNya dan orang-orang yang beriman dan Allah menurunkan bala tentera yang kamu tiada melihatnya dan Allah menimpakan bencana kepada orang-orang kafir dan demikian pembalasan kepada orang-orang kafir “. (al-Taubah: 25 - 26)

PRU13 adalah sebuah 'peperangan' untuk mengalahkan musuh. Kita memerlukan persiapan dari pelbagai segi, bilangan yang cukup, keperluan yang lengkap dan kesediaan fizikal yang mantap. Namun jangan lupa bahawa persiapan dasar yang paling utama iaitu ketaqwaan dan keimanan.

Dalam peperangan Hunain umat Islam dapat lihat akan kesilapan yang telah dilakukan oleh para sahabat kerana merasa yakin dengan bilangan mereka dan merasa hebat dengan kekuatan mereka. Ini ditambah lagi dengan kejayaan umat Islam dalam menakluk dan membuka kota Mekah dari tangan musyrikin.

Perang Hunain ini adalah satu bentuk tarbiyah yang diberikan oleh Allah. Kerana sayangnya Allah kepada hambaNya. Imam Ibn al-Qayyim menyatakan bahawa Allah memberikan kekalahan supaya mereka (tentera Islam) merasa akan kepahitan kekalahan kemudian barulah diberikan kemenangan supaya kepala yang ditegakkan kerana kemenangan menakluk Mekah dapat ditundukkan supaya malu di hadapanNya.

Kita terlalu ghairah dengan kata-kata keramat 'Menawan Putrajaya' sehingga kadangkala alpa akan silibus tarbiyah bahawa ketentuan kuasa terserah kepada Allah untuk memberikan kepada siapa yang dikehendakiNya dan perihal kemenangan yang berasaskan iman dan taqwa yang selalu ditekankan oleh presiden parti.

Dalam kaedah demokrasi, menunjukkan kekuatan besar bagi menarik sokongan rakyat adalah penting, ia perlu dilakukan. Namun jangan tertipu dengan besarnya sokongan maka Pakatan pasti menang.

PAS pernah menang besar 27 kerusi Parlimen dalam PRU 9. Lantas dengan penuh keghairahan yakin akan menawan Putrajaya PRU 11 tetapi kalah teruk. Kini berbekalkan kemenangan cemerlang PRU 12, kita yakin akan menawan Putrajaya. Tidak salah untuk kita bertawadhu di hadapan Allah kali ini dengan tidak mengkesampingkan aspek kerohanian, iman dan taqwa dalam agenda kerja PRU 13 supaya kemenangan benar-benar menjadi kenyataan. Untuk menang, kena berani andaikan kekalahan lalu mengambil iktibar segera sebelum 'peperangan' bermula.

Warta Darul Aman

Arkib