Kedah La

Kedah La versi baharu. Menggerak hati nurani dan pemikiran rakyat Kedah untuk melakukan perubahan dalam PRU14 nanti.

Terkini dari Kedah La

Thursday, February 14, 2013

Dato' Ahmad Kuah kena cari 'jawapan' lain... hujah tu nampak tak boleh pakai


BN masih mengelak dari menjawab isu 'RM403 Juta'
Oleh: ZULKIFLI YAHAYA
(Nota Utara, Harakah)
Sakit juga BN Kedah dengan penangan 'Bongkar 403 Juta' - sebuah NGO yang dipimpin oleh Ahli Parlimen Jerai, Firdaus Jaafar. 403 ialah angka kerugian yang dialami oleh rakyat negeri Kedah (RM403 juta) akibat kesalahan dan kesilapan kerajaan BN dahulu yang akibatnya terpaksa ditanggung oleh kerajaan kini.
Bongkar 403 Juta (B403J) menganjurkan pelbagai program yang mengajak rakyat memahami isu tersebut seterusnya menolak BN dalam PRU13 nanti. Ia bermula dengan sidang media, cabaran debat, memorandum, himpunan, konvoi, pengedaran risalah serta road show penerangan di setiap kawasan.
Cabaran utama yang dilontarkan oleh B403J ialah mendesak BN Kedah menjawab isu tersebut satu persatu. Sehingga kini tiada pemimpin BN yang berani berbuat demikian. Hujah yang diberi untuk menangkisnya terlalu 'longgar' malah tidak menjawab soalan.
Para pemimpin BN menjawab, jika benar pemimpin BN dahulu melakukan penyelewengan RM403 juta, mengapa polis atau SPRM tidak membawa kes mereka ke mahkamah? Keduanya, isu tersebut sudah basi kerana sudah lama berlalu. Ketiga, mereka persoalkan, mengapa baru sekarang mahu membangkitkannya?
Pihak B403J dalam sidang media dan ceramahnya sudah menjelaskan bahawa angka RM403 juta itu bukan keseluruhannya adalah angka penyelewengan. Ia bercampur; ada penyelewengan, kehilangan, perjanjian berat sebelah yang merugikan kerajaan negeri, membuat pilihan yang tidak cerdik dan kelalaian kerajaan lalu.
Misalnya dalam isu Yayasan Islam Kedah disaman RM11 juta oleh Senisinga Sdn Bhd yang mengambilalih pinjaman tidak berbayar (NPL) Southern Finance Berhad. Mereka menang di mahkamah dan pihak kerajaan negeri kini terpaksa membayarnya, walhal kesalahan dilakukan oleh kerajaan lalu. Sewaktu B403J mengadakan himpunan di bandaraya Alor Setar, Yayasan Islam kalah lagi dengan tuntutan yang dibuat melalui mahkamah. Yayasan Islam terpaksa membayar RM18 juta dalam bentuk hartanah. Sepatutnya angka RM403 bertukar menjadi RM421 tetapi nama NGO sudah diisytiharkan.
Begitu juga 'kehilangan' RM6.15 juta hilang dari akaun bersama Kedah Agro Industries Marketing Berhad (KAIMB) anak syarikat kerajaan negeri dan Kedah Aquaculture Sdn Bhd (KASB) anak syarikat kerajaan Pusat. Mahkamah Tinggi Alor Setar mengarahkan KAIMB membayar KASB sebanyak RM2.16 juta pada 5 Jun 2012 setelah agihan tidak dibuat. Nak cakap mahkamah tak putuskan mereka bersalah apa lagi sebab mahkamah dah jatuhkan hukuman pun.
Kes sebuah syarikat pemaju menyaman pihak kerajaan negeri, iaitu Permodalan Kedah Berhad (PKB) sebanyak RM22 juta juga melalui proses mahkamah. PKB mengadakan perjanjian dengan sebuah syarikat untuk melakukan usahasama membangunkan Jerai International Park di atas tanah seluas 1,145 ekar dengan nisbah 40 peratus PKB dan 60 peratus syarikat tersebut. Bagaimanapun apabila projek raksasa itu dibatalkan kerajaan negeri tidak berunding atau membuat penyelesaian dengan pihak berkenaan. Kerajaan negeri sedang menunggu perbicaraan dan mereka dijangka menuntut gantirugi RM60 juta, dan sebanyak RM22 juta daripadanya adalah melibatkan cadangan tanah untuk projek perumahan.
Hanya satu isu yang cuba dijelaskan oleh bekas Exco BN, Dato' Ir Nawawi Ahmad. Iaitu terma perjanjian yang merugikan kerajaan negeri kerana kerajaan melalui Jabatan Bekalan Air Kedah (JBAK, sekarang SADA) mengenakan caj kepada pengguna hanya sebanyak RM0.40 untuk satu meter padu air (sekarang RM0.50) tetapi terpaksa bayar kepada Taliworks RM1.91 untuk satu meter padu air. Kerajaan terpaksa tanggung setahun RM25 juta, kira-kira RM128 juta untuk lima tahun.
Dato' Nawawi berkata, perjanjian Taliworks tidak berat sebelah kerana termasuk kos pembinaan infrastruktur. Katanya, waktu itu Langkawi tidak cukup air kerana hotel semua dah naik. Menteri Besar, Tan Sri Osman Aroff tawarkan kepada sesiapa yang mampu membiayai infrastuktur di peringkat awal dan kerajaan negeri akan bayar secara ansuran kos awal yang dilaburkan itu. Pembayaran balik (berserta keuntungan) itulah yang diterjemahkan dalam perjanjian yang dianggap berat sebelah itu.
Persoalannya apakah kos terbesar dan berapakah jumlahnya untuk penyediaan infrastruktur tersebut? Biarlah dijelaskan di sini, ianya berupa saluran paip dasar laut dari tanah besar ke Pulau Langkawi sejauh 46.4 km. Juga sebuah logi dan dua buah kolam bekalan air. Semuanya berjumlah RM150 juta tetapi dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Persekutuan; merupakan hutang yang ditanggung oleh kerajaan negeri terhadap Persekutuan! Habis, kos apa yang ditanggung oleh Taliworks yang kononnya terlalu besar sangat sehingga terpaksa dibuat perjanjian berat sebelah, berlangsung kira-kira 25 tahun?
Bagaimanapun dalam isu Taliworks terdapat juga perjanjian walaupun berat sebelah. Dalam kes Projek Feedlot di Pendang langsung tiada perjanjian dengan tuan tanah sehingga menyebabkan Kedah Agro rugi RM3.5 juta. Mereka yang berada di pihak kerajaan negeri waktu itu tidak cerdik atau sengaja khianat?
Manakala isu penyelewengan pula, jelas berlaku dalam kes pembinaan Kompleks Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) dengan harga RM46 juta. Projek belum bermula tapi pendahuluan sebanyak RM10 juta diberi oleh kerajaan pada awal tahun 2007 kepada Permodalan Kedah Berhad (PKB) selaku kontraktor pemaju. Anak syarikat PKB, Pembinaan Sintok subkan kerja kepada Najwa Bina yang tiada dalam daftar PKK. Duit dikeluarkan sebanyak RM10 juta tetapi kerja tidak berjalan. Kerja terbengkalai, menyebabkan kontraktor terpaksa ditukar.
Lagi penyelewengan yang berlaku secara terang-terangan ialah pengambilan balak di laluan projek Trans Eastern Kedah Interland Highway (TEKIH) dari Durian Burung ke Baling. Jelas pembinaan lalauan itu menempuh kawasan hutan berbalak. Nilainya berjuta juga. Semua kawasan itu dilaporkan diserahkan oleh Menteri Besar kepada Kedah Corporation Berhad (KCB). Mustahil KCB tidak menerima sebarang hasil dari pada kawasan balak itu, kerana tiada rekod langsung terhadap hasil balak di kawasan itu apabila Pakatan mengambil alih kerajaan.
Mengapa para pemimpin BN Kedah cuba bermain sandiwara atau buat-buat 'tidak mendengar', mengelak dari menjawab isu RM403 juta ini?

Warta Darul Aman

Arkib