Kedah La

Kedah La versi baharu. Menggerak hati nurani dan pemikiran rakyat Kedah untuk melakukan perubahan dalam PRU14 nanti.

Terkini dari Kedah La

Wednesday, February 20, 2013

Aiyaaa.. apa pasat lu tiam ini isu Aliang?

Teng dicabar dedah penyelewengan RM403 juta

Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB 
 
KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang dicabar untuk mempersoal Umno-BN dalam isu kerugian RM403 juta dalam 11 projek awam ketika kerajaan BN memerintah Kedah sebelum dimenangi Pakatan Rakyat dalam PRU13.

Pengerusi Bongkar 403, Mohd Firdaus Jaafar berkata, tindakan Teng mempersoal kononnya kerajaan PAS Kedah berhutang RM2.933 bilion bagi tujuan projek membela rakyat tidak masuk akal.

Sedangkan isu yang jauh lebih besar adalah bagaimana ketika kerajaan negeri ditadbir BN, beberapa projek yang dibuat untuk kroni akhirnya melahirkan kerugian yang besar hingga terpaksa ditanggung oleh kerajaan PAS yang ada sekarang.

Firdaus berkata, isu penyelewengan RM403 juta itu perlu mendapat penjelasan daripada pentadbiran kerajaan Umno-BN ketika itu dan pihak Jabatan Audit Negara perlu membuat siasatan.

Mengulas lanjut, beliau yang ditemui Harakah pada 15 Februari lalu berkata, apa yang disebut Teng mengenai RM2.993 bilion itu memang benar, tetapi ia adalah hutang yang ditinggalkan oleh kerajaan Umno-BN terhadulu.

Teng mendakwa hutang kerajaan PAS Kedah kini berjumlah RM2.933 bilion. Dalam laporan akhbar harian, beliau menyatakan, Kedah berhutang antaranya bagi projek Rancangan Bekalan Air (RM1.9 bilion), Perumahan Awam Kos Rendah (RM152.75 juta), Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (RM372.56 juta) dan pelbagai (RM153.45 juta). Selain itu Teng mendakwa,

kerajaan PAS Kedah juga berhutang dengan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dalam pembinaan Kampus KUIN sejumlah RM330 juta.

Mengulas lanjut, Firdaus berkata, kerajaan PAS Kedah terpaksa menanggung hutang bagi tujuan melaksanakan projek-projek yang membabitkan kepentingan rakyat khasnya dalam pembinaan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) bernilai RM330 juta yang akhirnya berjaya disiapkan.

“Kita nak buat KUIN, pihak kementerian tidak tolong, jadi kita berhutang demi kepentingan rakyat khasnya dalam menyediakan pendidikan kepada rakyat,” katanya.

Tidak seperti semasa Umno-BN memerintah, cadangan untuk menyiapkan KUIN antara RM2 bilion, dan mereka (BN) berhutang untuk kepentingan kroni, katanya.

Dalam beberapa kes lain kata Firdaus, BN berhutang bukanlah untuk kepentingan rakyat, sebaliknya untuk menyediakan projek kepada kroni yang akhirnya projek itu gagal sama sekali.

Firdaus juga mencabar Teng mengemukakan samada pinjaman yang dibuat oleh kerajaan PAS Kedah itu kini gagal dimanfaatkan untuk projek rakyat. “Apakah ada masalah dengan apa yang kita (PAS) buat? Setakat ini projek yang kita laksanakan tidak menjadi gajah putih,” katanya lagi.

Firdaus yang juga Ahli Parlimen Jerai berkata, sebelum ini sebanyak 11 penyelewengan telah dilakukan oleh kerajaan Umno-BN yang mengakibatkan rakyat Kedah terpaksa menanggung hutang sebanyak RM403 juta.

Katanya lagi, penyelewengan yang dilakukan oleh BN termasuklah projek loji air Padang Sanai dan Lubuk Buntar yang melibatkan kerugian RM145 juta.

Tambahnya, kerajaan negeri pada zaman BN telah menolak status geran membina loji pembersihan air di Lubuk Buntar dan Padang Sanai yang diberikan oleh Kerajaan Pusat, dengan memilih untuk mengambil status pinjaman. Pembinaan loji pembersihan air Lubuk Buntar yang berkapasiti 25 juta liter sepatutnya bernilai RM25 juta, tetapi harganya menjadi RM65 juta apabila ditukar status pinjaman.

Sehubungan itu, Firdaus mencabar Teng agar mengetengahkan isu kerugian RM403 juta sewaktu kerajaan Umno-BN menerajui kerajaan Kedah.

Warta Darul Aman

Arkib