Kedah La

Kedah La versi baharu. Menggerak hati nurani dan pemikiran rakyat Kedah untuk melakukan perubahan dalam PRU14 nanti.

Terkini dari Kedah La

Thursday, January 31, 2013

Syeikh Harussani, tolong beri penjelasan...! kami nak tau depa ni kapiag ke tak?




Antara maksud 'meredhai' dan 'membenarkan'... 
Harussani tidak faham atau tidak tahu? Sila jawab...


Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Bernama melaporkan kenyataan Mufti Perak, Syeikh Harussani Zakaria memberi amaran kepada umat Islam di negara ini bahawa mereka akan menjadi kafir sekiranya membenarkan pihak lain menggunakan kalimah Allah.

Beliau menjelaskan jika umat Islam membenarkan kalimah Allah digunakan oleh agama lain, bermakna mereka bersetuju dengan tindakan pihak berkenaan mempersekutukan Allah.

"Maka persetujuan itu juga menjadikan kita (umat Islam) kafir. Justeru kita mesti bersatu mempertahankan aqidah kita. Kita tak boleh terima dan tidak boleh berkompromi dengan orang yang mempersekutukan Allah," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian pejabat Damara Care and Herbs Sdn Bhd di Ipoh. Harussani berkata hanya umat Islam jahil sahaja yang sanggup berkompromi dalam isu berkenaan.

Kenyataannya itu tersebar luas dalam hampir semua media di negara ini. Tiada pula terdengar penafian dari pihaknya yang membayangkan bahawa beliau memang bertanggungjawab terhadap kenyataannya itu.

Bukan semua umat Islam alim (berilmu) secara mendalam mengenai Islam namun dalam ilmu aqidah umat Islam wajib memahaminya sekalipun dia bukan ulamak. Memahami Islam bukan hak eksklusif ulamak, Cuma ulamak lebih mendalam pengetahuannya mengenai Islam lantas mereka bertanggungjawab mengajarkan ilmu tersebut.

Batas iman dan kufur adalah wajib diketahui oleh setiap umat Islam sekalipun individu berkenaan bukan ulamak. Justeru seorang Muslim mesti memahami bahawa meredhai agama selain dari Islam akan menyebabkan jatuh murtad atau jadi kafir. Persoalannya adakah hanya dengan membenarkan tanpa meredhai ajarannya, akan menyebabkan seseorang Muslim jadi murtad, sedangkan ‘meredhai’ dan ‘membenarkan’ adalah dua perkara yang berbeza.

Lagu Negeri Kedah, seperti juga di beberapa buah negeri lain di negara ini, memilih ‘Allah’ dalam lirik lagu. Ia dinyanyikan oleh semua pelajar Non Muslim di Kedah setiap kali perhimpunan sekolah. Jabatan Pendidikan dan pihak sekolah bukan setakat membenarkan Non Muslim (yang mempersekutukan Allah) menggunakan kalimah Allah tetapi mewajibkan mereka menyanyikannya. Adakah pegawai Jabatan Pendidikan dan Pengetua jatuh kafir kerana membenarkannya? Harussani tolong jelaskan.

“Menteri sebelum saya tidak sepatutnya mengharamkan perkataan Allah daripada digunakan di Gereja Katolik,” kata Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Hishamuddin Hussein di Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar Malaysia ke-4 di Kuala Lumpur pada 1 Ogos 2010. Perkara tersebut dilaporkan oleh portal berita The Malaysian Insider. Nampaknya menteri Umno itu tidak setuju kalimah Allah diharamkan dari digunakan oleh Non Muslim. Adakah Hishamuddin sudah jatuh kafir? Harussani tolong jelaskan.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Seri Nazri Aziz dalam satu wawancara eksklusif  yang dipetik oleh Utusan Malaysia pada 16 Januari 2010 berkata, penganut agama Kristian di Sabah dan Sarawak dibenarkan menggunakan kalimah Allah dalam upacara keagamaam mereka. Beliau juga mengumumkan bahawa kalimah ‘Allah’ boleh digunakan di Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan (Labuan, Kuala Lumpur, Putrajaya), Sabah dan Sarawak kerana ketua negeri bukan seorang sultan. Menurut Nazri, hanya di negeri-negeri di mana terdapatnya enakmen hal ehwal Islam adalah dilarang dari mengguna kalimah ‘Allah’. Beliau bercakap dari aspek perundangan negara yang aktanya digubal oleh UMNO/BN. Adakah orang yang menggubal akta itu sudah jatuh murtad? Adakah Nazri Aziz yang membenarkan itu jadi kafir? Harussani tolong jelaskan.

Mesyuarat kabinet BN Pusat membenarkan pengimportan kitab Bible dari Indonesia yang mengandungi kalimah Allah? Hal ini diumumkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala pada 2 April 2011. Bible bahasa Indonesia guna kalimah Allah. Secara tidak langsung kabinet yang terdiri dari orang Umno yang benarkan. Adakah semua menteri beragama Islam yang berada dalam kabinet itu boleh jatuh murtad? Harussani tolong jelaskan.

Seterusnya akhbar The Star pada 19 Mac 2011 melaporkan kenyataan ulamak muda Umno, kenyataan Fathul Bari Mat Jahaya Ulamak yang berkata bahawa, “Ia juga telah sempurna diterima oleh orang Kristian untuk menggunakan kalimah Allah,” Kenyataan itu adalah lanjutan dari sikapnya terhadap penggunaan Bahasa Melayu dalam Bible yang disifatkannya sempurna dari kacamata Islam dan Perlembagaan Persekutuan. Jika benarlah laporan akhbar tersebut mengenai kenyataan Fathul Bari, maka adalah beliau juga sudah jatuh kafir? Harussani tolong jelaskan.

Kata Harussani, membenarkan kalimah Allah digunakan oleh agama lain, bermakna mereka bersetuju dengan tindakan pihak berkenaan mempersekutukan Allah. Amboi, mudah sungguh buat kesimpulan. Bagaimana pula dengan tindakan pihak berkuasa tempatan, kerajaan Negeri atau Pusat yang membenarkan kewujudan tokong, gereja dan kuil serta membenarkan upacara keagamaan mereka? Semua premis tersebut adalah tempat mempersekutukan Allah. Adakah membenarkan kewujudan premis itu bermakna bersetuju mereka mempersekutukan Allah, lalu jatuh murtad? Harussani tolong jelaskan.

Harussani adalah ulamak besar di negara ini. Beliau menjadi sumber rujukan dalam banyak perkara. Cakapnya akan jadi bahan rujukan sebahagian anggota masyarakat Muslim. Jika apa yang dicakapkannya itu diterima bulat-bulat oleh mereka serta diyakini dengan bersungguh-sungguh maka ramai sungguhlah kiranya ‘orang kafir’ di negara ini. Amanat Haji Hadi dikatakan kononnya punca umat Islam jadi kalut. Amanat Haji Harussani ini nampaknya lebih kalut. Hanya beliau yang mampu jelaskan kekeliruan ini.

Warta Darul Aman

Arkib