Kedah La

Kedah La versi baharu. Menggerak hati nurani dan pemikiran rakyat Kedah untuk melakukan perubahan dalam PRU14 nanti.

Terkini dari Kedah La

Tuesday, January 22, 2013

‘Listen, listen… Perkasa akan berhimpun lagi di Tasik Pedu.. bantah BN dulu tebang balak’



BN tebang balak Tasik Pedu, bina padang golf dan resort…pastu tutup, rugi juta-juta... awat tak bising??


Pembangunan Charok Genting Bunga, Pedu yang melibatkan seluas kira-kira 1000 ekar dengan projek ladang buah-buahan tiba-tiba penarik perhatian pembangkang di Kedah untuk dijadikan isu menyerang Kerajaan Negeri.

Isu yang dimainkan, kononnya pembangunan berkenaan melibatkan penggondolan tanah pembalakan yang mengakibatkan air di Tasik Pedu tercemar. Projek Ladang Buah-buahan itu juga dikatakan hanya sekadar berselindung untuk mengkaburi mata rakyat. Kerajaan Kedah diserang kononnya tidak peka kepada alam sekitar dan rakus untuk mendapatkan hasil balak tanpa memikirkan kesan-kesan mendatang.

Amat tidak wajar, isu murahan seperti itu digembar-gemburkan, apatah lagi media-media arus perdana juga cuba ‘tumpang toi’agar isu berkenaan ‘hidup’di samping menggunakan peranan pelakon-pelakon upahan yang langsung tidak professional.

Projek Ladang Buah-Buahan di Charok Genting Bunga tersebut merupakan cadangan Jabatan Perhutanan dan kedudukannya bersesuaian untuk dijadikan projek berkenaan. Masalah alam sekitar tidak wujud kerana bukit yang digondolkan itu akan hijau semula dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang. Malahan pencemaran Tasik Pedu juga mustahil akan terjadi kerana kedudukan Tasik Pedu lebih tinggi dari kawasan projek.

Tetapi seperti kata bidalan, “pelanduk lupakan jerat tetapi jerat tidak pernah lupakan pelanduk”, pembangkang Kedah lupa bahawa suatu ketika dahulu, sewaktu mereka menerajui Kerajaan Kedah, mereka telah melakukan penebangan pokok di kawasan yang sama yang melibatkan hampir 1000 ekar semata-mata untuk membuat padang golf dan resort. Sedangkan kerajaan sekarang, menebang pokok untuk ditanam semula tetapi kerajaan dahulu menebang pokok untuk padang golf.

Resort yang terdapat di Tasik Pedu itu, semuanya sudah ditutup kini. Tasik Pedu mendapat suntikan kerajaan sebanyak RM8.5 juta untuk dimajukan sebagai pusat pelancongan. Pada 1994, Holiday Inn Pedu Lake Resort beroperasi dan selepas itu dikenali sebagai Pedu Golf and Lake Resort pada 1999. Pada 2001 ditukar kepada Mutiara Pedu Lake Resort. Desa Utara Resort pula beroperasi pada 1995, namun ditutup pada Januari tahun ini. Resort yang begitu cantik dan lengkap dengan pra sarana kini terbiar macam tongkang pecah. Tiada kawalan keselamatan menyebabkan barang-barang yang tinggal lesap entah ke mana. Kedua-dua resort itu dikatakan mengalami kerugian RM1 juta setahun akibat kehilangan pelanggan

Sementara itu semasa pemerintahan Syed Razak, demi menyelamatkan padang golf dari ditenggelami banjir, kerajaan mahu melepaskan air dari Empangan Pedu dan secara tidak langsung mengakibatkan kerosakan penanaman padi yang sedang dituai.

Amat malang sekali, ketika itu tiada demontrasi, tiada laungan kononnya berlaku pencemaran alam sekitar dan tiada pula bantahan kononnya hak-hak anak cucu rakyat Kedah tergadai. Pembangkang cuba menjadi “hero”dan hasilnya umpan makan tuan.

Kesannya sekarang, pokok-pokok di kiri kanan jalan di Tasik Pedu semuanya masih rendah akibat penebangan dahulu dan padang golf yang dibuat, terbiar begitu sahaja. Akhirnya, kerajaan sekarang terpaksa melakukan pemilihan tasik. Selain itu, semasa kerajaan dahulu membina laluan Tekih juga tiada sembarang bantahan dibuat, sedangkan kawasan berkenaan telah diwartakan sebagai kawasan tadahan hujan. Nampaknya sekali lagi pembangkang Kedah cuba bermain api tetapi terbakar jarinya sendiri.

Dalam mereka meraih simpati murahan, mencipta isu mengikut andaian mereka sendiri, pembangkang hampir terlupa apa yang terjadi dengan projek balak laluan TEKIH dari Durian Burung ke Baling yang mengakibatkan kehilangan RM3 juta.

Laluan berkenaan melibatkan beberapa jajaran jalan baru yang menempuh kawasan hutan berbalak. Semua kawasan yang nilainya berjuta-juta itu diserahkan kepada KCB di bawah Tajul Urus Md Zain berserta menantunya oleh Menteri Besar BN ketika itu. Tetapi amat malang sekali KCB tidak menerima sebarang keuntungan dari hasil balak berkenaan. Di penghujung episode apabila Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan Kedah maka sebuah ‘site office’kontraktor jalan dilaporkan telah dibakar bersama sebuah kereta dan semua dokumen berkaitan kawasan balak yang sudah menjadi jalan. Sehingga kini rekod pembalakan yang dianggarkan lebih RM3 juta itu hilang.

Warta Darul Aman

Arkib