PAS mahukan perubahan ke arah kebaikan bukan mahukan kuasa semata-mata tanpa perubahan
Umno sudah memerintah 55 tahun melakukan
banyak sangat penyelewengan, rasuah, kronisme, penindasan terhadap hak rakyat,
sekat kebebasan bersuara, menzalimi rakyat dan yang paling dahsyat ialah
melakukan pengkhianatan terhadap Islam dan Melayu. Semua itu perlu ditamatkan.
Apakah dalam Umno tiada 'orang baik'
untuk membetulkan Umno dari dalam seterusnya membetulkan kebobrokan yang telah
berakar umbi dalam kerajaan? Memang ada! tetapi mereka tidak mampu untuk
melakukannya lantaran segala kemungkaran politik itu sudah sebati dengan sistem
yang ada.
Bukan setakat dalam kerajaan, dalam Umno
itu sendiri rasuah sudah jadi budaya yang mustahil untuk dihapuskan. Para
pemimpin atasan parti yang mempamerkan kononnya mereka menentang rasuah juga menaiki
hairaki parti melalui wang.
Seandainya PAS memilih untuk bersama
Umno dengan alasan kononnya untuk memperkuatkan Melayu, PAS mungkin boleh
membentuk kuasa bersama Umno tetapi tidak mungkin membetulkan segala
kepincangan yang berakar umbi itu. Melayu tidak akan mendapat apa-apa kekuatan
serta Malaysia tidak akan merasai apa-apa perubahan ke arah kebaikan hasil
kerjasama itu. Andaian yang lebih parah ialah, ia bukan setakat tidak dapat
membaiki Umno dan kerajaan sebaliknya akan merosakkan PAS.
Justeru jalan terbaik ialah dengan
menumbangkan Umno dan BN sebagai pemerintah di Pusat, barulah segala kebejatan
itu dapat ditamatkan. Dalam realiti politik di Malaysia tiada sebuah parti berasaskan
bangsa atau agama mampu berkuasa secara bersendirian. PAS memilih DAP dan
KeADILan sebagai rakan kerjasama (tahalluf siyasi) kerana perlukan undi bukan
Melayu untuk menumbangkan BN. DAP adalah parti yang kuat dan lebih berintegriti
berbanding semua parti dominasi Cina yang lain.
Dakwaan bahawa DAP adalah kafir harbi
adalah tidak tepat kerana kafir harbi merujuk kepada golongan yang menentang
sebuah kerajaan Islam, sedangkan Malaysia adalah sebuah negara sekular bukan
negara yang berasaskan perlembagaan Islam. Dalam realiti politik di Malaysia
MCA adalah paling lantang menghina elemen Islam berbanding DAP. Ia dibuktikan
dengan jelas dari kenyataan yang dibuat oleh para pemimpin MCA sejak dahulu dan
belum pernah berakhir sehingga kini. Jika tuduhan 'kafir harbi' boleh
diputuskan tanpa kewujudan negara Islam maka pihak yang tepat untuk dilabelkan
ialah MCA, bukan DAP.