Kedah La

Kedah La versi baharu. Menggerak hati nurani dan pemikiran rakyat Kedah untuk melakukan perubahan dalam PRU14 nanti.

Terkini dari Kedah La

Friday, December 14, 2012

Tiada kuasa manusia yang kekal di dunia ini...


BN tidak lebih kuat dari kerajaan Firaun


Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Kunjungan ke bumi Mesir lantas mengingatkan penulis kepada kerajaan Firaun yang sangat berkuasa lebih tiga ribu tahun dahulu. Buah tangan kehebatan Firaun iaitu piramid dan beberapa binaan lain masih tersergam hingga ke hari ini namun kerajaan Firaun yang sangat kuat itu tidaklah kekal sampai ke hari ini. Salah seorang Firaun yang sangat terkenal bertembung dengan nabi Musa, sanggup mengaku dirinya tuhan. Semasa hayatnya barangkali dia juga pernah beritahu rakyat bahawa hanya dia yang layak memerintah bumi Mesir. Jika Mesir diperintah oleh bukan Firaun maka negara akan hancur kerana orang lain tidak pandai memerintah.


Hari ini jika kita berkunjung ke Mesir hampir di mana-mana terdapat simbol keagungan Firaun. Bahkan replika patung berhala tinggalan Firaun dijual dengan meluas kepada pelancong. Gambaran kehebatan Firaun itu seolah-olah masih dikenang oleh rakyat Mesir hingga ke hari ini. Namun Firaun yang mengaku tuhan itu hancur lebur juga kekuasaannya. Firaun terkenal yang disebut oleh Allah dalam Al-Quran kalah bukan kerana kekuatan fizikal pengikut Nabi Musa tetapi Allah menciptakan sebab yang lain untuk memusnahkannya iaitu air.

Firaun adalah simbol terbaik tinggalan sejarah yang boleh dikaitkan dengan kerajaan yang memerintah terlalu lama. Adakah dinasti Firaun dapat berkuasa dengan lama kerana kezalimannya semata-mata? Sudah tentu dakwaan ini sangat meleset kerana tamadun kerajaan Firaun dibangunkan oleh rakyatnya sendiri yang bebas berfikir, merancang dan menggerakkan pembangunan dalam negeri. Tamadun tidak boleh dibina oleh para hamba abdi. Firaun hanya zalim terhadap para penentangnya atau pihak yang dianggap mahu menentangnya, sekalipun bayi lelaki yang baru lahir. Di samping terdapat kelompok rakyat yang bencikan Firaun, terdapat juga yang menyayangi serta mengagungkannya.

Firaun adalah bahan sejarah dari catatan sejarah Mesir purba. Sejarah kewujudan Firaun sama sekali bukan mitos kerana ianya tercatat dalam Al-Quran. Dalam sejarah moden Mesir juga kewujudan kerajaan ala Firaun tetap wujud. Mesir pernah diperintah oleh Raja Farouk yang merupakan talibarut penjajah Barat. Raja Farouk telah tenggelam dalam kemabukan, rasuah, penyelewengan dan pembiakan budaya hedonisme yang amat teruk.

Lagenda Syeikh Hasan Al-Banna bersama rakan-rakannnya mewujudkan Ikhwanul Muslimin bagi menegakkan semula kesyumulan Islam yang terpinggir menjadi ancaman besar kepada Raja Farouk. Akhirnya Hassan Al-Banna dibunuh pada 1949 dan Ikhwanul muslimin ditekan.

Semua regim yang muncul selepas Farouk juga tidak pernah bersimpati dengan perjuangan Islam yang dibawa Ikhwanul Muslimin. Tekanan yang paling dahsyat diterima di zaman Presiden Anwar Sadat dan Hosni Mubarak. Para pejuang Islam keluar masuk penjara serta dihadapkan dengan penderaan mental dan fizikal yang dahsyat. Tokoh Muslimah seperti Zainab Ghazali dihadapkan dengan anjing-anjing garang dalam penjara, apatah lagi para pejuang lelaki. Seksaannya tentu lebih ganas.

Allah mentakdirkan regim Sadat dan Mubarak tetap berkuasa dengan lama sekalipun zalim. Tentu ada penjilat pemerintah yang berkata, regim Sadat dan Mubarak adalah 'kerajaan pilihan Allah SWT' sebab itu mereka berkuasa jadi kerajaan. Penilaian mereka, siapa yang menang maka ia di pihak yang benar. Mujur golongan penjilat seperti ini tidak tinggal di negara Israel yang sentiasa menang dalam peperangan dengan Palestin.

Ikhwanul Muslimin mengambil masa kira-kira setengah abad sebagai pembangkang di Mesir. Di masa Hosni Mubarak beliau sentiasa mendapat sokongan 90 peratus setiap kali pilihanraya diadakan. Pilihanraya Mesir ketika itu penuh dengan penipuan, penyalahgunaan jentera kerajaan untuk memenangkan regim Mubarak serta ketidakadilan media akibat kongkongan pemerintah. Semuanya adalah demokrasi kuno ala-ala Malaysia dan Zimbabwe.

Kini Mesir diterajui oleh Dr. Muhammad Morshi dari Ikhwanul Muslimin, situasi yang dianggap mustahil untuk berlaku suatu masa dahulu oleh golongan yang tidak beriman dengan ayat Allah 'Kunfayakun'.

Regim Sadat-Mubarak tidak lebih kuat dari mana-mana Firaun tapi bila sampai saat kejatuhannya yang ditetapkan oleh Allah maka berlakulah ia tanpa dapat dihalang oleh sesiapa. Di Malaysia adakah kerajaan Umno BN lebih kuat dari rejim Sadat-Mubarak? Tentu tidak. Jauh sekali dari mengatasi kekuasaan Firaun.

Maka janganlah Umno terlalu takbur untuk mendakwa dapat terus menguasai majoriti dua pertiga di Parlimen, dapat terus berkuasa 100 tahun lagi dan pihak lain tidak sehebat BN. Malah tanda-tanda bahawa Umno dan BN akan kojol dalam PRU13 ini semakin jelas. Marilah kita berdoa semoga Allah mempercepatkan kematian parti tua itu supaya mereka tidak terlalu lama sangat merasai derita nazak.

Warta Darul Aman

Arkib