Kedah La

Kedah La versi baharu. Menggerak hati nurani dan pemikiran rakyat Kedah untuk melakukan perubahan dalam PRU14 nanti.

Terkini dari Kedah La

Wednesday, November 21, 2012

UCAPAN BAJET KEDAH 2013



UCAPAN BAJET TAHUN 2013




OLEH

YANG AMAT BERHORMAT

DATO’ SERI DIRAJA MENTERI BESAR

KEDAH DARUL AMAN



PADA

20 NOVEMBER, 2012

2.30 PETANG





BERTEMPAT DI

DEWAN UNDANGAN

NEGERI KEDAH DARUL AMAN



Assalamualaikum Warohmatullahhi Wabarakatuh dan salam sejahtera.



Alhamdullillahirobbil alamin Wassolatuwassalamu ala asyrabil anbiyaiwalmurssalin Waala alihi Wasohbihi ajmain.



Yang Berhormat Dato’ Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat,



Marilah sama-sama kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin dan limpah rahmatnya dapatlah saya dan semua ahli-ahli Yang Berhormat menghadiri persidangan dewan pada petang ini.



Kita juga bersyukur di atas nikmat keharmonian, kedamaian dan kesejahteraan yang kita kecapi selama ini.



Sesungguhnya nikmat yang kita kecapi adalah terlalu luas dan tidak mampu untuk dihitung.







Firman Allah SWT









Maksudnya:

“Dan dia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu berhajat kepadanya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat tuhannya.” (Surah Ibrahim Ayat 34)



Semoga dengan nikmat yang kita miliki ini, kita gunakan untuk jalan kebaikan sepertimana perintah Allah Subhanahu Wata’ala di dalam surah al-Hajj ayat 41 seperti berikut:











Maksudnya:

“Iaitu mereka (umat islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan ingatlah Allah jualah kesudahan segala urusan.”



Pada petang yang berbahagia ini, InsyaAllah saya akan membentangkan Bajet Negeri Kedah tahun 2013. Bajet ini digubal melalui proses perbincangan terperinci dengan semua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri. Bajet ini meliputi semua aspek bagi meningkatkan kualiti kehidupan dan kesejahteraan rakyat negeri ini.



Setelah mengkaji agenda dan program-program yang dianjurkan selama ini kerajaan negeri telah mengenalpasti beberapa kelemahan masa lalu sama ada dalam bidang sosial atau ekonomi dan lain-lain yang perlu diberi perhatian. Berdasarkan kepada fakta inilah kerajaan menyediakan bajet untuk mengatasi kelemahan tersebut.



Kerajaan sedar bahawa sejak tahun 2008 ketika mengambilalih pentadbiran negeri Kedah, kita telah berusaha sedaya upaya untuk merealisasikan objektif kerajaan untuk menjadikan Kedah sebagai negeri Sejahtera.



Dalam melaksanakan matlamat ini, kita dapati bahawa ada perkara yang dapat dilaksanakan sepenuhnya dan ada juga yang masih dalam proses perlaksanaan.



Ini memerlukan kepada satu penambahbaikkan dan digarapkan melalui bajet serta susunan kerja yang komited dari kerajaan untuk memberi keselesaan kepada rakyat.



Sesungguhnya, kerajaan meletakkan kesejahteraan rakyat pada tahap yang paling utama. Kita bekerja dengan bersungguh bagi memenuhi apa yang diperlukan oleh rakyat.



Kerajaan telah berusaha dengan sedaya upaya yang termampu untuk memberi kebaikan kepada rakyat.



Kita mengharapkan bahawa sepanjang lima tahun mentadbir, rakyat berpuashati dengan dasar dan perancangan kerajaan, diharapkan bajet ini akan memberi keselesaan kepada rakyat dan ianya dapat dilaksanakan dengan baik.



Rakyat akan menilai apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan kepada mereka.



Lima tahun pentadbiran tentu tidak akan sama dengan 50 tahun pentadbiran sebelumnya, walaupun baru lima tahun memerintah kita dapati banyak program dan perancangan kerajaan yang diperkenalkan dan dilaksanakan.



Kebaikan lima tahun mentadbir dalam perkara tertentu mungkin dapat mengatasi pentadbiran 50 tahun kerajaan terdahulu, jadi biarlah rakyat menilaikannya.



Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana sepanjang lima tahun ini, adalah begitu sedikit bantahan dari rakyat terhadap polisi dan dasar kerajaan.



Saya mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang memahami apa yang telah dirancang untuk kebaikan semua lapisan rakyat.



Ada dasar yang baru diperkenalkan dan ada dasar sedia ada yang telah diberi penambahbaikkan bagi memacu negeri Kedah dalam acuan mensejahterakan rakyat.



Saya juga berterima kasih kepada kakitangan kerajaan Negeri di semua peringkat yang selama ini bekerja dalam ketaqwaan dan iltizam yang tinggi bagi memastikan perpaduan dan keharmonian terus terpelihara jika dibandingkan dengan beberapa negeri lain yang dapat kita ikuti terdapat kacau ganggu di kalangan masyarakat di negeri tersebut.



Kerajaan Negeri tetap meneruskan agenda pembangunan di bawah tema ‘Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’ yang dimulakan pada tahun 2008. InsyaAllah, pada tahun hadapan Kerajaan akan terus melaksanakan semua program yang telah dirancangkan di samping memperkenalkan beberapa projek baru bagi memantapkan lagi program-program pembangunan demi kesejahteraan rakyat.



Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua ketua Jabatan, pihak GLC, Badan-badan Berkanun, dan NGO  yang telah bertungkus lumus melaksanakan projek atau aktiviti yang ditetapkan oleh kerajan negeri. Kerajaan berpuashati dengan komitmen semua pihak di dalam menjayakan perancangan yang di susun. Semangat kerjasama yang dijalinkan di antara pelbagai pihak telah memudahkan pelaksanaan apa yang dirancang. Semangat ini menepati Firman Allah SWT







Maksudnya :

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah amat berat azab siksaannya (bagi sesiapa yang melanggar perintahnya)”. (Surah Al-Maidah Ayat 2)



Dasar ini akan terus digalakkan untuk menjamin kesejahteraan rakyat negeri Kedah.



Saya berdoa jasa baik dan keikhlasan yang telah ditunjukkan oleh semua pihak akan diberi ganjaran oleh Allah Subhanahu Wata’ala.



Saya berharap setiap pegawai berasa selesa dalam menjalankan tugas masing-masing, kerajaan memberi hak sepenuhnya kepada penjawat awam seperti yang dijamin oleh perlembagaan.



​Sejak hari pertama mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri saya telah menegaskan kita akan bekerja dengan menghormati amalan demokrasi, justeru saya berharap semua pihak dapat meneruskan komitmen mereka dan meningkatkan mutu kerja masing-masing demi menghormati karier dan jawatan yang disandang.



Kerajaan begitu berharap agar setiap pihak dapat menunaikan tanggungjawab dan amanah yang ditetapkan kerana setiap amanah itu akan disoal oleh Allah Subhanahu Wata’ala.



Sabda Rasulullah SAW





maksudnya :

“Sesungguhnya Allah akan bertanya kepada setiap mereka yang bertanggungjawab samada ia menjalankan tugasnya dengan baik atau mengabaikannya”.



Firman Allah SWT dalam Surah Al-Ahzab Ayat 72





Maksudnya :

“Sesungguhnya kami telah kemukakan tanggungjawab amanah kami kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan”.



Juga Firman Allah SWT dalam Surah Al-Anfal ayat 27







maksudnya :

“Wahai orang-orang yang beriman, jangalah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasulnya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu sedang kamu mengetahui (salahnya)”.



Sudah menjadi lumrah dan amalan di negara-negara di dunia , kerajaan datang dan kerajaan pergi, akan tetapi pegawai dan kakitangan kerajaan akan kekal, jadi jika kita gagal menghayati prinsip tugas sebagai seorang penjawat awam, ia sesuatu yang malang kerana kita telah dilatih untuk menghormati perkara tersebut.



Dalam masa yang sama, kerajaan negeri sentiasa memberi kerjasama penuh dengan semua pihak bagi meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat.



Kerajaan negeri sama sekali tidak mengamalkan sikap pilih kasih atau diskriminasi ketika menghulurkan bakti kepada rakyat dan amalan ini hendaklah diteruskan pada masa-masa yang akan datang.



Di samping itu juga, saya amat berpuashati tentang kerjasama yang telah diberikan oleh jabatan dan agensi kerajaan, namun kita dapati masih terdapat rungutan di sana sini tentang kurangnya kerjasama dari pihak tertentu, akan tetapi perkara itu masih dapat di atasi dan ditingkatkan lagi mutu perkhidmatannya di masa yang akan datang.



Saya turut mengambil kesempatan mengucapkan syabas serta tahniah kepada pihak GLC yang dapat membantu kerajaan selama ini. Dalam masa lima tahun, kesungguhan meraka telah dapat merubah wajah GLC dari negatif kepada positif, walaupun begitu, kita tetap akur dan mengakui ada beberapa GLC yang tidak mencapai apa yang kita sasarkan.



Kita sentiasa memastikan bahawa GLC tidak akan menemui kegagalan. Sungguhpun demikian, kita masih dapati GLC yang gagal dan mengalami kerugian. Kepada GLC yang telah berjaya dan berkembang maju, mereka telah memberi sumbangan besar terhadap kemajuan dan pembangunan di negeri ini. GLC-GLC berkenaan selayaknya mendapat pujian sewajarnya dari kita semua.



Dalam memastikan rakyat turut mendapat faedah dari pembangunan ekonomi dan nikmat yang ada, adalah menjadi dasar kerajaan negeri menggalakkan setiap pihak berlumba-lumba untuk membuat kebajikan kepada rakyat termasuk GLC.



Prestasi Tahun 2013.



Yang Berhormat Dato’ Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat,





Alhamdulillah, sepanjang tahun 2012 kerajaan negeri telah berjaya mengekalkan iklim pelaburan dan suasana perniagaan yang memberangsangkan.



Kerajaan sentiasa memantau keadaan ini bagi memastikan semua pihak dapat menjalankan urusan harian dengan aman dan selamat.



Para pelabur dari dalam dan luar negeri semakin meningkat berminat untuk melabur di negeri ini. Namun selain daripada mereka akan berdepan dengan prosedur tertentu dari sudut pentadbiran yang terlibat, kerajaan begitu cermat dalam menerima pelaburan ini demi untuk kepentingan kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan pelabur. Kerajaan juga mengambil langkah lebih berhati-hati untuk mengelakkan kerugian dan kegagalan yang pernah berlaku sebelum ini. Kerajaan juga telah mengambil langkah perlu untuk memudahkan semua urusan-urusan tertentu dari sudut pentadbiran sehingga tidak menyulitkan pihak pelabur yang ingin melabur di Kedah.



Di samping itu, kerajaan juga memastikan setiap pelaburan yang masuk dapat memanfaatkan setiap lapisan masyarakat di negeri ini. Kita tidak mahu limpahan nikmat dari pelaburan itu hanya berlegar di kelompok masyarakat tertentu sahaja, biarlah ia dapat dirasai bersama oleh rakyat terbanyak demi untuk memastikan kestabilan sosial dan keharmonian rakyat.



Firman Allah SWT











yang bermaksud :

“Apa yang Allah kurniakan kepada Rasulnya dari harta musuh penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasul) dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu dan apa juga suruhan yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka ambillah akan dia serta amalkan dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhi larangannya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat berat azab siksanya (bagi orang-orang yang melanggar perintahnya)”. (Surah Al-Hash Ayat 7)



Kerajaan sama sekali tidak membenarkan apa-apa perkara negatif berlaku di negeri ini yang boleh menjejaskan kehidupan rakyat.



Keamanan dan keharmonian penduduk yang berbilang kaum terus dipelihara sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaan dan ia juga adalah dasar yang dipegang oleh kerajaan Pakatan Rakyat.



Walaupun pertumbuhan ekonomi dan perdagangan dunia berada di paras sederhana, Kerajaan Negeri terus berusaha menarik masuk pelaburan swasta sama ada pelaburan asing ataupun pelaburan tempatan. Kemasukan pelaburan di bidang perkilangan sehingga bulan Julai berjumlah 300juta ringgit.



Daripada jumlah ini sebanyak 180juta adalah pelaburan asing. Kesemua pelaburan ini bakal menghasilkan 1500 peluang pekerjaan baru kepada penduduk negeri ini. Kerajaan yakin jumlah pelaburan akan meningkat apabila beberapa syarikat yang berminat memuktamadkan keputusan mereka pada akhir tahun ini.



Bagi menggalakkan kemasukan pelaburan tempatan, Kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal bagi memproses dan menilai cadangan pelaburan yang melibatkan tanah milik Kerajaan Negeri. Sehingga kini sebanyak 35 projek telah diberi pertimbangan.



Kerajaan menjangkakan senario pertumbuhan ekonomi yang sederhana akan berterusan pada tahun 2013. Keluaran dalam Negeri Kasar diunjurkan berkembang pada paras 5 peratus. Sektor perkhidmatan dijangka memberi sumbangan utama kepada ekonomi negeri ini.



Untuk memastikan arus kemasukan pelabur sentiasa berterusan dan berkembang serta tidak tertangguh, kerajaan akan terus melaksanakan dasar mesra pelabur dalam pentadbiran serta agenda pembangunan ekonominya.



Dalam pada itu kerajaan turut memberi ingatan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan agenda ini, agar tidak mengamalkan amalan yang tidak sihat seperti rasuah dan lain-lain tindakan negatif.



Peruntukan Bajet tahun 2013



Yang Berhormat Dato’ Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat,



Bajet tahun 2013, akan menyediakan peruntukan berjumlah 1.1bilion ringgit bagi melaksanakan semua program dan projek yang disusun rapi bagi memajukan Negeri Kedah demi meningkatkan kesejahteraan rakyat. Jumlah peruntukkan yang dirancangkan ini adalah berasaskan tahap kemampuan kewangan Kerajaan Negeri.



Daripada jumlah tersebut, 657juta ringgit untuk perbelanjaan mengurus, 369juta  ringgit untuk perbelanjaan pembangunan dan 57.5juta ringgit untuk bekalan air.



Di bawah perbelanjaan mengurus, sejumlah 231.5juta ringgit adalah untuk bayaran emolumen, 121.2juta ringgit untuk perkhidmatan dan bekalan, 230.4juta pemberian dan kenaikan tetap, 13.8juta pembekalan aset, dan 6.8juta ringgit untuk lain-lain perbelanjaan.



Bagi peruntukkan pembangunan pula, sebanyak 61.17% atau 225.24juta ringgit untuk sektor infra, 11.65% atau 43juta ringgit untuk pentadbiran, 19.78% atau 73juta ringgit untuk sosial, 6.84% atau 25.24 juta ringgit untuk sektor pertanian, 0.34% atau 1.26juta ringgit untuk sektor pelancongan dan 0.22% atau 0.8juta untuk pembangunan sukan.



Kerajaan menjangkakan kutipan hasil Negeri pada tahun 2013 akan meningkat daripada 550juta ringgit pada tahun 2012 kepada 640juta ringgit pada tahun 2013. Jumlah peningkatan sebanyak 105.6juta ringgit bakal disumbangkan oleh hasil premium tanah di Langkawi, Alor Setar dan Bandar Baharu, serta bayaran jualan air mentah kepada SADA dan Kerajaan Pulau Pinang.



Kerajaan yakin kutipan hasil yang dianggarkan akan dapat dicapai berdasarkan dasar yang diamalkan oleh Kerajaan dan kesungguhan bekerja dikalangan semua kakitangan Kerajaan.



STRATEGI BAJET TAHUN 2013



Yang Berhormat Dato’ Speaker dan ahli-ahli yang berhormat,



Bagi menjayakan hasrat meningkatkan kesejahteraan rakyat, Kerajaan akan terus berusaha menggembeling sumber yang ada, meningkatkan kecekapan dan keberkesanan tadbir urus pentadbiran negeri dan semua GLC. Rakyat di semua peringkat akan diberikan perkhidmatan terbaik melalui strategi-strategi Bajet tahun 2013 seperti berikut:



Strategi Pertama: Meningkatkan Pertumbuhan Ekonomi.

Menjadi Hub Pengeluaran Makanan



Pada bajet yang lalu, Kerajaan merancang untuk melaksanakan pertanian berskala besar demi mencapai hasrat menjadi Jelapang Makanan. Anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu Kedah Agro Sdn. Bhd telah diberi amanah untuk meneraju perkara ini.



Alhamdulillah, Kedah Agro Sdn. Bhd telah mengusahakan penanaman secara komersial di Bukit Tangga dengan tanaman Nanas seluas 200 ekar, telah menghasilkan 263ribu biji Nanas, tanaman Betik seluas 600 ekar dengan hasil pengeluaran 630ribu kilogram dan Kelapa Pandan seluas 700 ekar.



Usaha-usaha sedang dibuat untuk menanam Pisang Berangan di kawasan seluas 100 ekar di Bukit Perangin. Sebuah GLC iaitu Kedah BioCorporation telah di amanahkan untuk menghasilkan benih tanaman khasnya pisang berangan secara tisu kultur bagi memastikan hasil pengeluaran yang tinggi.



Inisiatif ini telah dimulakan dan Kerajaan yakin peladang dapat manfaat dari segi kualiti benih, tempoh penanaman dan hasil pengeluaran yang lebih singkat.



Kerajaan memberi galakan  kepada usahawan tani untuk mengusahakan tanaman Nanas secara besar-besaran. Sehingga kini, terdapat usahawan tani yang menanam Nanas dengan kaedah kepadatan tinggi yang memberi hasil yang lumayan.



Hasil pengeluaran nanas yang tinggi diperlukan untuk menampung permintaan pasaran tempatan, eksport dan kilang mengetin Nanas di Sungai Petani.



Bagi memajukan pengeluaran seperti Nanas, Jagung, Sayuran dan Buah-buahan, Kerajaan memperuntukkan 12.6 juta untuk projek-projek pembangunan pertanian.



Suka saya nyatakan di sini bahawa pihak PKNK melalui anak syarikatnya Kumpulan Ladang-Ladang Perbadanan Kedah Sdn. Bhd., sedang membangunkan tanah seluas 1000 ekar di Genting Bunga bagi tujuan estet buah-buahan.



Semua jenis buah-buahan akan ditanam di situ termasuk buah-buahan tempatan yang hampir pupus. Projek ini adalah merupakan projek Agro Tourism. Adalah diharapkan projek ini akan menarik lebih ramai pelancong ke Kedah apabila ia siap kelak. Di samping itu ia dapat memenuhi pasaran buah-buahan tempatan dan luar negara.



Projek Sawah Gemilang



Usaha memajukan sawah padi diluar kawasan MADA telah giat dijalankan. Pada tahun 2012, Kerajaan melancarkan Projek Sawah Gemilang di kawasan seluas 203 hektar yang melibatkan 196 peserta. Jabatan Pertanian dan JPS telah berganding bahu menjayakan projek ini. Projek ini akan diperluaskan lagi pada tahun 2013.



Melalui peruntukkan sebanyak 8.5juta tahun hadapan, Jabatan Pertanian dan  Jabatan Pengairan dan Saliran akan digembeling bersama pesawah-pesawah yang terlibat bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi melebihi 5 tan sehektar. Antara projek yang akan dijalankan ialah:



i. Meningkatkan kemudahan pengairan dan saliran di kawasan sawah terbabit.

ii. Memberi input pertanian kepada pesawah.

iii. Mempelawa usahawan tani melaksanakan projek secara perladangan.



Kerajaan menyeru pemilik sawah agar bekerjasama dengan Jabatan dan Usahawan Tani yang berkenaan untuk menjalankan penanaman secara perladangan.



Ternakan Ayam Daging



Di bidang ternakan, Kedah telah berjaya menjadi pengeluar utama ayam daging di Utara tanah air. Bilangan penternak semakin bertambah. Kemasukan pelaburan swasta semakin meningkat khasnya dalam perladangan ayam secara tertutup.



Baru-baru ini Kerajaan meluluskan projek  perladangan ayam baka oleh sebuah syarikat swasta dengan nilai pelaburan sebanyak 50juta ringgit di kawasan seluas 47 hektar di Kuala Ketil.



Syarikat ini akan mengeluarkan 100,000 ekor anak ayam sehari. Kerajaan yakin projek seperti ini sangat berpotensi mengembangkan industri ayam daging. Sehubungan itu, Kerajaan memperuntukkan 4.7juta kepada Jabatan Veterinar untuk pembangunan industri ternakan.



Akuakultur



Kerajaan Negeri dengan kerjasama Jabatan Perikanan memajukan ternakan ikan dalam sangkar. Kawasan yang sedang dimajukan ialah di Zon Industri Akuakultur di Langkawi yang melibatkan GLC dan beberapa syarikat swasta.



Pada tahun hadapan Kerajaan Negeri akan memperkemaskan industri ini dengan mengambil tindakan seperti berikut:



Memperkemaskan garis panduan ternakan ikan dalam Zon Industri Akuakultur di Langkawi dan kerajaan juga akan kemukakan garis panduan dari segi proses-proses permohonan, kadar bayaran lesen menumpang sementara dan aspek kawalan.

Menarik masuk syarikat-syarikat swasta untuk menjalankan ternakan ikan dalam sangkar.



Memajukan Industri Pelancongan



​Hutan semulajadi telah memberikan sumber hasil kepada hasil Negeri. Untuk itu, Kerajaan memberi penekanan kepada pengurusan hutan yang baik, sejumlah 7.3juta disediakan kepada Jabatan Perhutanan pada tahun 2013. Selain itu, Kerajaan memutuskan beberapa kawasan hutan dimajukan sebagai kawasan tarikan pelancongan.



InsyaAllah, Negeri Kedah akan mempunyai Taman Negeri yang pertama di Ulu Muda seluas 30ribu hektar bakal digazetkan bagi tujuan pemuliharaan, pelancongan, pendidikan dan penyelidikan flora dan fauna yang sedia ada.



Strategi Kedua: Meningkatkan Kesejahteraan Rakyat



a. Kerajaan Negeri akan melaksanakan  Projek Tebatan Banjir di beberapa kawasan sebagai usaha pencegahan. Peruntukkan sebanyak 3.0juta ringgit disediakan untuk projek seperti berikut:



i. Menaiktaraf peralatan mekanikal di pintu air dan rumah pam.

ii. Projek tebatan banjir di Sungai Air Mendidih, Sungai Petani, Sungai Iboi, Baling dan Alor Merah, Alor Setar.

iii. Program pemuliharaan Sungai dan pengindahan sungai di Sungai Anak Bukit dan sungai-sungai disekitar Alor Setar dengan peruntukkan sebanyak 1.7juta ringgit.



b. Kerajaan menyediakan 2.0juta ringgit bagi membantu keluarga miskin yang berdaftar di bawah e-sinar. Antara projek yang dimaksudkan ialah:



i. Bantuan membina dan membaiki rumah.

ii. Skim latihan kemahiran kepada ahli keluarga miskin iaitu isteri atau anak dalam bidang jahitan, masakan dan pendawaian elektrik.

iii. Bantuan peralatan untuk menjalankan perniagaan kecil-kecilan

iv. Bantuan Skim Kafalah dengan peruntukkan sebanyak 4juta bagi membantu meringankan kos pengurusan jenazah ahli dan ahli keluarga miskin.



c. Kerajaan juga memperuntukkan 2.0juta ringgit iaitu tambahan sebanyak 1.0 juta kepada bayaran rawatan hospital kepada pesara-pesara kakitangan Kerajaan.



d. Kesejahteraan sesebuah keluarga berkaitrapat dengan tahap ilmu, akhlak dan kedudukan pendapatan. Sehubungan dengan itu, Kerajaan terus berusaha membangunkan keluarga melalui pelbagai program iaitu:



i. Peningkatan ilmu dan kefahaman mengenai undang-undang kekeluargaan.

ii. Keusahawanan.



Pada tahun 2012, Kerajaan telah melaksanakan 17 program yang melibatkan 3000 kaum wanita yang terdiri daripada golongan miskin dan ibu tunggal. Program latihan di bidang jahitan dan masakan bakal membantu mereka menambah pendapatan keluarga. Pada tahun hadapan, program seperti ini akan diteruskan bagi membolehkan mereka yang telah berkursus memasuki sektor perniagaan .



Naiktaraf Rumah Awam Kos Rendah



Kehidupan penghuni di beberapa buah rumah awam kos rendah khususnya rumah pangsa adalah tidak begitu selesa dan menyenangkan kerana kerosakan bangunan dan prasarana seperti sistem bekalan air, sistem kumbahan, kebocoran bumbung dan persekitaran yang tidak bersih. Kerajaan mengambil langkah untuk menaiktaraf rumah pangsa Tongkang Yatt dan Paya Nahu Satu bagi meningkatkan kualiti kehidupan para penghuni. Adalah diharapkan semua pihak dapat memberikan kerjasama bagi mengatasi perkara ini.



Menaiktaraf Jalan Raya Negeri



Jalan raya yang berkualiti adalah diperlukan untuk pengangkutan barangan dan pergerakan penduduk. Kerajaan memberi keutamaan kepada aspek ini bagi memastikan jalan-jalan negeri diselenggara secara berkala untuk menyediakan kemudahan awam yang berkualiti kepada rakyat. Pada tahun 2013, Kerajaan menyediakan 128juta ringgit bagi kerja-kerja menaiktaraf dan membaikpulih jalan dan jambatan di seluruh negeri. Manakala 14juta ringgit diperuntukkan kepada JKR bagi membina beberapa batang jalan dan jambatan.



Kerja-kerja membina jalanraya ini akan diberi keutamaan kepada GLC Kedah yang berpengalaman dan berkeupayaan untuk mengendalikan pembinaan jalan ini.



Di samping itu kerajaan juga akan mempertimbangkan permohonan dari syarikat-syarikat swasta yang layak dan berpengalaman untuk mengendalikan pembinaan jalan ini.



Strategi Ketiga: Meningkatkan Modal Insan



a. Kampus Tetap KUIN di Kuala Ketil

Kerja-kerja pembinaan Kampus Tetap KUIN di Kuala Ketil telah hampir siap dan bakal dirasmikan pada awal tahun 2013.



Sejak 53 tahun negara mencapai kemerdekaan, inilah kali pertama kerajaan negeri memiliki sebuah universiti yang tersendiri.



Semestinya ia akan menjadi kebanggaan rakyat, sekalipun KUIN terpaksa menghadapi pelbagai kekangan termasuk kewangan, tetapi akhirnya berjaya biar pun tidak mendapat sebarang bentuk bantuan dari kerajaan Pusat.



Kejayaan ini adalah pertolongan dari Allah SWT kerana KUIN dibina di atas ketaqwaan.







Firman Allah SWT







yang bermaksud :

“Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhannya dan menjauhi segala larangannya) nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala yang menyusahkannya serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya). Dan (ingatlah) sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah maka Allah cukupilah baginya (untuk) menolong dan menyelamatkannya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara-perkara yang dikehendakinya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu)”. (Surah Al-Thalaq Ayat 2 dan 3)



Saya mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan setinggi -tinggi terima kasih kepada pihak Bank Islam Malaysia Berhad dan Affin Bank Berhad yang tampil memberikan kemudahan pinjaman kewangan atas prinsip untuk sama-sama melihat kejayaan dalam dunia pendidikan yang seterusnya mampu merangsang perkembangan sosial dan ekonomi negeri Kedah ini.



KUIN lahir di tengah-tengah segitiga strategik di antara bandar Sungai Petani, Baling dan Kulim. Kita bakal melahirkan sebuah pusat pertumbuhan yang baru di Kuala Ketil. Kita menjangkakan, dalam masa 10 hingga 20 tahun akan datang Kuala Ketil akan berubah wajah sepertimana yang berlaku di Bangi, Selangor.



Sebelum wujudnya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi hanyalah sebuah kampung yang kecil, tetapi sekarang Bangi adalah sebuah bandar ilmu dan bandar industri sederhana yang semakin pesat membangun selain ia terletak berdekatan dengan Putrajaya.



Tempiasan ilmu yang berkembang di KUIN ini insyaAllah akan memanfaatkan rakyat di negeri ini yang selama ini agak tidak diberi perhatian dalam perkembangan dunia pendidikan.



Seperkara yang harus difikir secara lebih jauh adalah, lahirnya kampus KUIN ini, kita telah dapat mengelakkan berlakunya pengaliran wang rakyat Kedah ke negeri-negeri luar.



Selepas ini akan berlaku pengaliran tunai dari luar yang mencurah dan ia secara tidak langsung mewujudkan pelbagai peluang pendapatan bagi rakyat terbanyak.



Turut membanggakan kita adalah kejayaan KUIN memberi kursus Perbankkan Islam kepada hampir 3,000 kakitangan kaunter Islam daripada bank-bank di negara Thailand.



Lebih dari itu, Timbalan Gabenor Bank Negera Nigeria adalah antara individu yang datang belajar di KUIN setelah KUIN memberi khidmatnya kepada Bank Negara Nigeria dalam bidang Perbankkan Islam. Telah ada dua kumpulan lain dari Nigeria yang mengikuti langkah Timbalan Gabenor Bank Negara tersebut.



Suka juga saya maklumkan di sini bahawa Kampus Induk KUIN pada peringkat ini belum didirikan lagi bangunan asrama. Bangunan asrama untuk para pelajar akan dibina pada perancangan fasa ke dua.



Ini tidak bermakna KUIN tidak memikirkan akan keperluan asas kepada pelajar tersebut.



Bagi mengatasinya, kita telah berbincang dengan pihak GLC untuk menggunakan bangunan yang mereka bangunkan sekitar KUIN bagi dijadikan asrama.



Tidak keterlaluan jika saya katakan, Kampus KUIN di Kuala Ketil ini adalah bertaraf lima bintang atau “Five Star University”, .



InsyaAllah, KUIN akan dirasmikan pada awal 2013 yang bakal disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong.



KUIN akan berpindah ke kampus ini pada bulan Mac, manakala pelajar akan menggunakan kampus baru untuk sesi pengajian pada Jun 2013. Mulai tahun 2013, Kerajaan perlu membuat bayaran tertangguh kepada kontraktor sebanyak 46juta ringgit setahun.



Dengan berlakunya perpindahan ke kampus baru serta peningkatan mendadak jumlah pelajar, Kerajaan akan menambah pemberian kepada KUIN mengikut keperluan bagi memartabatkan pendidikan kepada anak bangsa ini.



b. Maktab Mahmud.



Kemudahan di Maktab Mahmud yang sedia ada akan ditambahbaik.  Kerajaan Negeri sedang membina bangunan kelas dan Makmal Sains di Maktab Mahmud Kulim. Manakala bangunan asrama pelajar lelaki di Maktab Mahmud Langgar akan dimulakan awal tahun hadapan. Bagi memperkasakan institutsi ini, Kerajaan menyediakan 37 juta ringgit kepada pengurusan Maktab Mahmud.



c. Maahad Tahfiz Sains Darulaman di Pulau Tuba, Langkawi



Pembinaan Maahad Tahfiz Sains Darulaman di Pulau Tuba, Langkawi bakal dimulakan pada awal tahun hadapan. Pada masa ini, para pelajar sedang mengikuti pengajian di bangunan sementara di Kulim. Kerajaan memperuntukkan sebanyak 20juta ringgit bagi tujuan pembinaan kampus tetap di Pulau Tuba. Kerajaan berharap projek ini bakal mencetus pelbagai projek lain bagi memajukan Pulau Tuba.



Bagi melengkapkan program pendidikan kepada generasi muda, Kerajaan turut memberi sumbangan sebanyak 3.0juta kepada Maahad Tahfiz yang diuruskan oleh Yayasan Islam.



d. Lain-lain projek

i. Sejumlah 1.8juta pula disalurkan kepada Jabatan Agama bagi membiayai pengurusan kelas Taska dan Tadika untuk memajukan pendidikan pra sekolah.



ii. Manakala 1.0juta bakal disalurkan kepada sekolah-sekolah persendirian, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil mengikut keperluan.



iii. Peruntukkan sebanyak 4.0juta ringgit disalurkan kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah bagi menyediakan bahan bacaan berkualiti di semua perpustakaan sedia ada. Sejumlah 2.5juta ringgit diperuntukkan kepada Lembaga Biasiswa Negeri Kedah bagi membantu pelajar dari keluarga yang berpendapatan rendah melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara.



Strategi Keempat: Memperkasa Tadbir Urus Kerajaan Negeri



Jentera pentadbiran yang cekap dan amanah sangat penting di dalam menjayakan semua dasar dan program pembangunan yang dirancangkan.



Kakitangan kerajaan perlu memastikan mereka memberikan khidmat bakti dengan ikhlas dan penuh ketaqwaan. Prestasi terbaik dan taat setia yang diberikan selama ini amat-amat dihargai. Mereka hendaklah melaksanakan tugas dengan cemerlang dan memahami konsep Islam iaitu memberikan ketaatan kepada Gorverment of the day bagi tujuan keselesaan rakyat.



Kerajaan Negeri berpuashati dengan komitmen dan kerjasama erat yang ditunjukkan oleh semua kakitangan Kerajaan Negeri. Seperti yang di umumkan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri turut menerima pakai dasar pemberian bonus sebulan setengah gaji kepada semua kakitangan Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan Berkanun. Harapan Kerajaan ialah agar semua kakitangan akan meningkatkan prestasi perkhidmatan masing-masing.



Di samping itu juga, kerajaan terus memberi penghargaan kepada kakitangan kerajaan untuk membuat lawatan ke luar negara, sebagai menghargai keringat yang telah mereka curahkan kepada negeri ini.



Kerajaan akan terus melaksanakan inisiatif untuk menyediakan kemudahan yang selesa kepada semua kakitangan jabatan Negeri di dalam menjalankan tugas .



Pada tahun hadapan beberapa projek membina dan menaiktaraf Pejabat seperti Pejabat Tanah Langkawi, Pejabat Tanah Pokok Sena, Pejabat Agama Daerah Pendang dan Padang Terap, Mahkamah Syariah Pendang dan Padang Terap serta beberapa buah Pejabat JKR Daerah akan di laksanakan.



Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak 20juta ringgit bagi tujuan tersebut.



Majlis Ketua Kampung atau MKK merupakan jentera pentadbiran negeri di peringkat akar umbi. Mereka telah memainkan peranan yang penting di dalam memelihara keharmonian dan menerajui aktiviti kemasyarakatan kawasan masing-masing. Untuk itu Kerajaan menyediakan 12.7 juta ringgit sebagai pemberian elaun bulanan kepada semua MKK terlibat.



Kerajaan berharap MKK akan lebih aktif dan cekap dalam melaksanakan dasar dan agenda kerajaan di peringkat akar umbi.



Di dalam mencapai tadbir urus yang baik, Kerajaan menggalakkan setiap Jabatan untuk meningkatkan tahap prestasi agar mencapai standard yang ditetapkan.



Program latihan kepada seluruh kakitangan bagi memastikan semua kakitangan mematuhi peraturan sediada dan menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan dengan ikhlas akan dijalankan mengikut jadual yang ditetapkan.



Tadbir urus yang baik juga dilaksanakan di semua GLC bagi memastikan mereka dapat menerajui bidang-bidang yang ditetapkan di samping mengelakkan daripada terlibat dengan urusniaga yang merugikan di masa hadapan.



Sehingga kini, semua GLC telah menunjukkan kemajuan dan bakal memberi sumbangan kewangan kepada Kerajaan sebanyak 16 juta ringgit pada tahun 2013.



Saya berdoa semoga Allah Subhanahu Wata’alla memberikan taufik dan hidayahNya kepada kita semua yang berada di dalam Dewan yang mulia ini agar sentiasa mengutamakan amanah dan tanggungjawab yang perlu di laksanakan dengan jujur dan ikhlas.



Semoga Allah Subhanahu Wata’alla membantu kita semua mengatasi segala masalah yang bakal kita tempuhi.



Firman Allah SWT







maksudnya :

”Wahai Tuhan kami janganlah engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami janganlah engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami janganlah engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan mengampunkanlah kesalahan kami serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah penolong kami, oleh itu tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”. (Surah Al-Baqarah Ayat 286)







Yang Berhormat Dato' Speaker



Saya mohon mencadangkan.



Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warohmatullahi Wabarokatuh

Warta Darul Aman

Arkib