Oleh: Tok Non
Sempena Pesta Fitnah UMNO yang sedang berlangsung di PWTC sekarang ada baiknya jika UMNO diingatkan akan bahaya memfitnah kerana sesungguhnya perbuatan memfitnah seperti yang dilakukan oleh UMNO serta dipanjangkan oleh media mereka adalah perbuatan yang sangat tercela menurut Islam.
Begitu ramai umat Islam di negara ini yang terpedaya dengan berita fitnah yang ditaburkan oleh para pemimpin UMNO dalam Pesta Fitnah tersebut.
Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Banyak pihak yang turut terbabit menyebar fitnah sebenarnya tidak mempunyai sebarang kepentingan berkaitannya. Tetapi, disebabkan amalan menyebar fitnah sudah menjadi kebiasaan, banyak yang turut menyertainya dan seperti mendapat kepuasan daripada perbuatan itu. Fitnah biasanya disebarkan bertujuan memburukkan individu atau kumpulan. Pada masa sama, perbuatan itu dapat menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan lebih layak berbanding orang yang diburukkan itu.
Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama
manusia. Justeru, dosa itu tidak akan diampunkan Allah, melainkan orang yang
difitnah itu memberi keampunan terhadap perbuatan itu. Mungkin ramai menyangka
perbuatan menyebarkan berita fitnah sekadar satu kesalahan kecil. Sebab itu,
perbuatan seumpamanya dilakukan seperti tiada apa merugikan. Hakikatnya, dosa
membuat fitnah menjauhkan diri dari syurga.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak masuk syurga orang
yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Dosa menyebar
fitnah umpama api membakar ranting kering kerana ia cepat merebak dan akan
menjadi abu sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah menyebabkan pahala terdahulu
dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah akan menjadi muflis di akhirat
nanti.
Penyebar khabar angin biasanya menyebut perkataan ‘dengar
khabar’ mengenai berita yang disebarkan. Bagaimanapun, apabila berita tersebar
daripada seorang ke seorang, maklumat yang belum sahih itu sudah hilang dan
kemudian disebarkan seperti berita benar.
Semoga UMNO yang dalam amalan mereka membudaya fitnah seolah-olah fitnah adalah rukun nombor satu UMNO bertauibat dengan taubat nasuha dari terus menerus melakukan dosa fitnah.
