Kedah La

Kedah La versi baharu. Menggerak hati nurani dan pemikiran rakyat Kedah untuk melakukan perubahan dalam PRU14 nanti.

Terkini dari Kedah La

Tuesday, November 6, 2012

Fatwa politik songsang: Jangan serang BN apabila Ustaz Azizan pun bersalah...?

(Laporan polis PAS Kawasan Padang Serai isu duit udang Kerpan hilang RM6.15 juta, foto hiasan)
 
Isunya bukan ‘aku pencuri kecil, mereka perompak besar’

Oleh ZULKIFLI YAHAYA

Perlawanan bolasepak adalah contoh terbaik di mana semangat berpasukan sangat diperlukan untuk mengalahkan musuh atau memenangi perlawanan. Kita dan pihak lawan masing-masing akan mencari peluang untuk menjaringkan gol di samping memperkuatkan kubu pertahanan supaya tidak ditembusi pihak lawan.

Ditakdirkan atas kelemahan pihak kita, maka pasukan lawan berjaya menjaringkan satu gol. Di kala itu bijakkah semua individu dalam pasukan saling menyalahkan rakan sepasukan? Misalnya pengurus menyalahkan jurulatih, jurulatih menyalahkan pemain atau pemain menyalahkan ketua pasukan, sedangkan masa perlawanan masih berbaki? Ketika asyik mencari kesalahan rakan sepasukan, sehingga hilang tumpuan terhadap permainan maka pihak lawan akan terus menambah jaringan.

Pilihan yang terbaik ialah bekerja keras untuk menjaringkan gol bagi mengalahkan lawan. Masa terbaik untuk bermuhasabah terhadap jurulatih, pengurus atau pemain hatta mahu menukarkannya sekalipun ialah selepas wisel penamat dibunyikan.

Anologi yang dibuat di atas saya lakarkan bagi menjawab kehairanan terhadap tindakan pihak tertentu yang menempelak balik serangan jentera penerangan negeri Kedah terhadap pelbagai  ‘projek sakit’ tinggalan BN bagi menjawab isu kerugian RM6.4 juta projek pembalakan di Papua New Guinea oleh GLC Kedah iaitu Kedah Corporation Berhad (PKB).

“Umno curi lagi banyak daripada kami. Sama-sama curi tapi kami curi tak sebanyak Umno curi. Itu kurang ajar kepada rakyat.” Itu antara petikan sindiran yang tersiar di media sosial yang ditujukan khas kepada Menteri Besar Ustaz Azizan Razak yang menyerang balik BN dengan empat penyelewengan besar yang berlaku di zaman mereka.

Apabila laporan Ketua Audit Negara mendedahkan kelalaian KCB melabur dalam MAS Corporated sehingga rugi RM6.4 juta (bukan RM13 juta seperti yang dikelentongkan oleh BN) ada pihak yang tidak dapat menerima kenyataan tersebut. Lebih-lebih lagi apabila isu tersebut dimainkan oleh media talibarut BN saban hari. Sedikit sebanyak termakan juga golongan yang segelintir dalam parti ini dengan provokasi media BN. Bagi mereka Menteri Besar atau pegawai-pegawai politik yang berada di keliling kelalang Menteri Besar mesti dipersalahkan. Di media maya golongan tersebut membelasah Ustaz Azizan sama seperti pihak BN melakukannya.

Apabila saya dan rakan-rakan menggerakkan jentera penerangan menyerang balas BN, mereka menyindir, "Tiada beza minum arak segelas dengan sebotol, tak usah nak cerita depa minum arak lebih banyak dari kita." Mungkin maksud golongan segelintir ini, sekali pihak kita tercemar dengan satu kesilapan maka usahlah menyerang BN. Saya ingin menyambung lagi pandangan itu dengan sinis... biar kita salahkan Ustaz Azizan, biarkan saja BN serang kita, biar imej kita terus tercemar, biar kita kalah dalam PRU, biar BN berkuasa balik, biar mereka kembali menyamun khazanah kekayaan negeri...? Saya rasa pandangan itu amat tidak betul, hatta kalau mengikut ajaran syiah sekalipun.

Apabila pihak lawan menjaringkan satu gol, mengapa mesti ada segelintir pemain yang hilang pertimbangan. Walhal yang sepatut dilakukan ialah menyerang balas sehingga waktu perlawanan berakhir. Menyerang balik dengan serangan yang lebih kuat, itulah yang dilakukan oleh Penerangan PAS Kedah. Tindakan itu adalah betul. Ia sama sekali tidak bermaksud mencanangkan “Aku pencuri kecil, mereka pencuri besar.”

Menteri Besar sudah menjelaskan bahawa kehilangan RM6.4 juta adalah kerugian perniagaan. Bukan penyelewengan atau rasuah. Jika mahu juga disabitkan dengan kesalahan maka kesalahannya ialah lalai dan mudah ditipu, bukannya memasang niat untuk menipu atau mencuri. Ia kesalahan melaksanakan sesuatu perkara besar tanpa keputusan berlandaskan amal jamaie. Ianya kifarat atas sikap angkuh, aku saja yang betul. Ia 'kejayaan' MAS Corporated yang dipimpin seorang ahli UMNO menipu KCB. macam-macamlah iktibar boleh diambil kalau bertujuan untuk bermuhasabah.
(Hebat permainan Datuk Manaf sampai bijak pandai KCB pun boleh tertipu... soalnya mengapa main percaya saja dengan UMNO sorang ni, tanpa siasat dulu latarbelakangnya?)

(Inilah gambaran hutan kat Papua yang penuh dengan balak tu, soalnya mengapa CEO KCB  dan pegawai2 berkenaan tak pi siasat dulu sebelum melabur... main percaya bulat-bulat dekat UMNO sorang tu?)

Sedangkan senarai kesalahan yang dilakukan oleh BN itu adalah melibatkan kegiatan menipu, menyeleweng dan mungkin rasuah. Jika tidak kerana serangan Audit RM6.4 juta itu pun maka serangan terhadap salah laku BN wajib didedahkan juga. Takkan bertimbun salah laku BN hendak dibiarkan begitu sahaja dengan alasan ‘jangan kutuk penyamun besar kalau kita pencuri kecil’. Mengapa mesti mengaku kita mencuri sedangkan kita bukan pencuri? Saya sungguh tidak faham cara berfikir orang kita yang segelintir ini.

Selepas BN Kedah bermaharajalela selama beberapa hari menyerang kerajaan negeri berhubung isu kerugian balak, kini mereka pula menerima penangan dari Pemuda PAS yang membuat laporan polis berkala terhadap 10 penyelewengan besar BN yang diwariskan bebanannya kepada kerajaan sekarang.

10 projek yang bermasalah itu ialah:

1) Yayasan Islam Kedah disaman RM11 juta

2) kehilangan RM6.15 juta keuntungan projek udang Kerpan

3) Kegagalan projek 99 East Langkawi dianggarkan RM50 juta

4) Pemaju Taman Antarabangsa Jerai saman kerajaan negeri RM22 juta

5) Kehilangan pendahuluan pembinaan kompleks MPSPK di Sungai Petani sebanyak RM10 juta

6) Perjanjian air Taliworks yang merugikan kerajaan negeri kira-kira RM14 juta setahun (RM70 juta untuk lima tahun)

7) Perjanjian kuari Gunung Jerai dengan syarikat Kemelong yang merugikan

8) Salahguna wang sebanyak RM7.5 juta Seri Temin Development Corporation dan bebanan hutang RM14 juta

9) Skandal pembinaan loji air Padang Sanai dan Lubuk Buntar dengan anggaran kerugian RM140 juta

10) Kehilangan duit balak di jalan Baling-Durian Burung kira-kira RM3 juta.

Keseluruhan ‘biawak hidup’ yang ditinggalkan untuk dipikul oleh kerajaan Pakatan Kedah ialah kira-kira RM350 juta!

Dalam Ijtimak PAS Kedah yang diadakan baru-baru ini terdapat peserta yang bangun bertanya soalan, mengapa sekarang mahu mendedahkan isu tersebut? Jawapannya sebab sekaranglah masa yang sangat sesuai untuk membongkarnya kerana kita sedang hampir dengan PRU. Rakyat Kedah memerlukan masa juga untuk difahamkan satu persatu akan isu berkenaan. Kira-kira cukuplah masanya isu tersebut dimainkan hingga tarikh PRU yang tak dapat diganjakkan lagi selepas bulan April 2013. Jika isu tersebut dimainkan di awal pemerintahan dulu pun tiada guna juga, kerana Melayu mudah lupa. Sekarang biar Melayu ingat sampai hari mengundi bahawa BN adalah penyeleweng wang rakyat.

 

Warta Darul Aman

Arkib