Kedah La

Kedah La versi baharu. Menggerak hati nurani dan pemikiran rakyat Kedah untuk melakukan perubahan dalam PRU14 nanti.

Terkini dari Kedah La

Saturday, November 3, 2012

Catatan kejayaan BN Kedah yang diwariskan kepada Pakatan Rakyat


Senarai projek di mana Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah ‘pikul biawak hidup’ akibat onar yang dibuat kerajaan BN dahulu


1) Yayasan Islam disaman RM11 juta

Akibat penyelewengan yang berlaku semasa pemerintahan kerajaan sebelum ini, maka Yayasan Islam Negeri Kedah (YIKed) di bawah kerajaan negeri Kedah kini diperintahkan mahkamah membayar sebanyak RM11 juta kepada Syarikat Senisinga Sdn. Bhd.

YIKed di bawah pemerintahan yang lepas gagal menyelesaikan masalah tanah yang telah dipersetujui bersama, dalam projek besar yang dimulakan di zaman Tan Sri Osman Aroff menjadi Menteri Besar.

Long Island Development Sdn Bhd (syarikat bersama YIKed + Long Island Properties) bertanggungjawab tebus tanah yang digadai kepada Southern Bank Berhad, tapi gagal tebus lagi 16 keping tanah.

Atas ‘arahan politik’ walaupun tanah tersebut belum dimiliki Pejabat Tanah Galian dah keluar surat hakmilik dan ubah syarat, dengan kelulusan Majlis Mesyuarat Exco. Jadi, satu tanah ada dua hak milik. Maka Syarikat Senisinga Sdn Bhd yang merupakan sebuah syarikat yang mengambilalih pinjaman tidak berbayar (NPL) Southern Finance Berhad pun menyaman YIKed RM11 juta dan mereka berjaya di mahkamah.

YIKed dilaporkan telah membayar sebanyak RM300 ribu bermula 27 Ogos 2012 lepas dan bakinya akan diselesaikan secara ansuran sehingga 15 Ogos 2013.


2) Kehilangan RM6.15 juta projek udang Kerpan

Projek ternakan udang di Kerpan, Ayer Hitam yang melibatkan beratus-ratus ekar tanah petani pada tahun 1993 telah berlaku penyelewengan di mana hasil keuntungan projek tersebut tidak dimasukkan ke dalam akaun.
Satu Perjanjian Pengurusan Projek Ternakan Udang bertarikh 27 Disember 2007 ditandatangani antara Kedah Agro Industries Marketing Berhad (KAIMB) dan Kedah Aquaculture Sdn Bhd (KASB), sebuah syarikat yang ditubuhkan secara bersama antara Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dan Perbadanan Menteri Besar Kedah (PMBKed) dengan pegangan nisbah keuntungan 40:60.

Hasil keuntungan projek tersebut tidak diagihkan seperti yang dipersetujui bersama. KASB tidak dibayar satu sen pun keuntungan. Rupanya duit itu juga tidak dimasukkan ke dalam akaun khas yang diwujudkan. Ke mana duit keuntungan sebanyak RM6.15 juta itu pergi? Inilah baru penyelewengan namanya dan polis mesti siasat ke mana perginya duit itu. Adakah ia masuk ke dalam kantung dana politik UMNO?

Pada 5 Jun 2012 Mahkamah Tinggi Alor Setar mengarahkan KAIMB membayar KASB sebanyak RM2.16 juta. Nama kerajaan negeri Kedah tercalar dalam laporan Audit 2011, sedangkan ia adalah angkara ‘pencuri’ yang bermaharajalela dalam kerajaan terdahulu.


3) Kerajaan negeri akan disaman RM60 juta

Sebuah syarikat besar dalam proses menyaman kerajaan negeri Kedah sebanyak RM60 juta ekoran kegagalan projek Jerai International Park pada masa Tan Sri Osman Aroff menjadi menteri besar. Syarikat itu dikatakan mendapat pembiayaan dari pihak tertentu di Qatar untuk projek JIP.

Kerajaan pada masa itu melalui Permodalan Kedah Berhad (PKB) telah mengadakan perjanjian dengan sebuah syarikat untuk melakukan usahasama membangunkan Jerai International Park di atas tanah seluas 1,145 ekar dengan nisbah 40 peratus PKB dan 60 peratus syarikat tersebut. Bagaimanapun apabila projek raksasa itu dibatalkan kerajaan negeri tidak berunding atau membuat penyelesaian dengan pihak berkenaan.

Kerajaan negeri sedang menunggu perbicaraan dan mereka dijangka menuntut gantirugi RM60 juta, dan sebanyak RM22 juta daripadanya adalah melibatkan cadangan tanah untuk projek perumahan.


4) Kegagalan Projek 990East Langkawi

Projek 990 East Langkawi bermula sejak 15 Januari 2007 di mana perjanjian usahasama dan perjanjian saham ditandatangani oleh KCB dengan Terra Monda Pte Limited iaitu sebuah syarikat yang berpangkalan di England. Ketua Pegawai Esekutif KCB pada masa itu ialah Datuk Tajul Urus Md Zain yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Merbok. Terma perjanjian berat sebelah, di mana PKB perlu menyediakan tanah seluas 360 ekar di Bukit Malut tetapi hanya mendapat 20 peratus saham, sedangkan Terra Monda yang membiayai projek memegang 80 peratus saham. Mengapa benarkan pihak asing kuasai pemilikan sampai 80 peratus?

Isu besarnya ialah tanah yang dimasukkan dalam perjanjian itu bukan milik KCB. Terpaksa buat pengambilan terhadap tanah pihak lain yang bukan milik kerajaan negeri, termasuk individu. Terpaksa membayar pampasan pertanian, bangunan dan sebagainya yang melibatkan kos yang terlalu besar sedangkan tidak semua kos tersebut dinilai semasa penilaian agihan saham. KCB juga dikatakan akan membina ‘mahligai’ bernilai RM5 juta untuk pihak tertentu (terdapat dalam terma perjanjian). Nilai untuk semua kos, termasuk kos luarjangka yang sangat besar itu, KCB hanya mendapat 20 peratus saham.

Sekarang kerajaan negeri sedang berunding dengan Terra Monda untuk membatalkan perjanjian tersebut. Namun penamatan perjanjian juga mempunyai kos yang besar kerana nilai projek sahaja sudah mencecah RM1.2 billion.


5) Tanggung beban hutang Seri Temin RM14 juta sampai gulung tikar

Syarikat Seri Temin Development Corporation (STDC)  di masa BN telah membuat pembayaran di bawah item ‘sumbangan’ sebanyak RM8 juta. Daripada jumlah itu RM7.5 juta tidak mendapat pengecualian cukai kerana sumbangan kebanyakannya dibuat untuk membiayai aktiviti politik UMNO. STDC di bawah PR kena jelaskan cukai RM3.1 juta dan penalty RM1 juta kerana pengurusan lama lambat bayar cukai tanpa rebat pengecualian. Dibebankan pula dengan tuntutan hutang oleh pihak pembekal lebih RM14 juta sehingga memaksa syarikat tersebut gulung tikar.


6) Kerajaan negeri tanggung beban hutang, tolak geran bina logi air

Kerajaan negeri di zaman BN menolak status geran membina loji pembersihan air di Lubuk Buntar  dan Padang Sanai oleh kerajaan Pusat, sebaliknya mahu status pinjaman.

Pembinaan logi pembersihan air Lubuk Buntar yang berkapasiti 25 juta liter sepatutnya bernilai RM25 juta. Tetapi harganya RM65 juta. Logi pembersihan air Padang Sanai yang sepatutnya bernilai RM50 juta untuk kapasiti 50 juta liter air tetapi dengan sentuhan tangan BN, harganya melonjak menjadi RM155 juta. Ia mungkin menjawab persoalan mengapa kerajaan lalu beriya-iya menolak geran peruntukan Pusat. Mereka menerima pinjaman yang memberi peluang menentukan siapa kontraktornya serta tidak terikat dengan harga berasaskan spesifikasi dari Kementerian.


7) Perjanjian dengan Syarikat Taliworks Langkawi merugikan

Di zaman BN, Taliworks dilantik sebagai operator air Langkawi dengan kontrak sehingga 2020. Terma perjanjian sangat merugikan kerajaan negeri kerana kerajaan melalui Jabatan Bekalan Air Kedah (JBAK, sekarang SADA) mengenakan caj kepada pengguna hanya sebanyak RM0.40 untuk satu meter padu air (sekarang RM0.50) tetapi terpaksa bayar kepada Taliworks RM1.80 untuk satu meter padu air. Kadar bayaran terhadap Taliworks itu semakin meningkat setiap tahun seperti tercatat dalam perjanjian.


8) Kemusnahan alam projek kuari Gunung Jerai

Terma perjanjian berat sebelah (menguntungkan pemaju) dibuat antara kerajaan negeri dengan Syarikat Kemelong Sdn Bhd yang mengusahakan kuari di Gunong Jerai. Sewaktu jadi pembangkang PAS bersama dengan NGO yang memperjuangkan alam sekitar membantah projek tersebut kerana di samping merosakkan sistem ekologi, memusnahkan kawasan tadahan air, ia juga membawa bencana dan kemudharatan kepada penduduk tempatan.

Malangnya apabila PAS memegang tampuk kuasa, kerajaan terpaksa membayar sebanyak RM40 juta jika mahu membatalkan projek. Jumlah tersebut terlalu besar jika ditukarkan dalam bentuk kebajikan untuk rakyat.

9) Skandal pembinaan Kompleks MPSPK

Kerajaan BN pimpinan Mahdzir Khalid telah meluluskan pembinaan Kompleks Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) dengan harga siling RM40 juta, dinaikkan menjadi RM46 juta oleh Pegawai Kewangan Negeri pada masa itu. Projek belum bermula tapi pendahuluan sebanyak RM10 juta diberi oleh kerajaan pada awal tahun 2007 kepada Permodalan Kedah Berhad (PKB) selaku kontraktor pemaju. Anak syarikat PKB, Pembinaan Sintok subkan kerja kepada syarikat rakan MB, Najwa Bina yang tiada dalam daftar PKK. Duit dikeluarkan sebanyak RM10 juta itu hanya mampu menyiapkan kerja sekitar RM1 juta. Kerja terbengkalai, menyebabkan kontraktor terpaksa ditukar. Kerajaan kini yang menanggung kerugian yang dibuat oleh BN.

10) Projek balak jalan ke Durian Burung lesap

Dalam projek Trans Eastern Kedah Interland Highway (TEKIH) dari Durian Burung ke Baling, terdapat beberapa jajaran jalan baru yang menempuh kawasan hutan berbalak. Nilainya berjuta juga. Semua kawasan itu diserahkan oleh MB BN kepada KCB. Datuk Tajul Urus Md Zain dan menantunya yang bertugas di KCB menguruskannya. KCB tidak menerima sebarang hasil dari pada kawasan balak itu. Di hujung cerita (apabila PR mengambilalih Kedah Mac 2008), sebuah site office kontraktor jalan dibakar bersama sebuah kereta dan semua dokumen berkaitan kawasan balak yang sudah menjadi jalan itu. Sehingga ini rekod pembalakan yang dianggarkan lebih RM3 juta itu hilang.

Warta Darul Aman

Arkib