Kedah La

Kedah La versi baharu. Menggerak hati nurani dan pemikiran rakyat Kedah untuk melakukan perubahan dalam PRU14 nanti.

Terkini dari Kedah La

Tuesday, November 13, 2012

Beberapa pesanan untuk para pejuang maya PAS dan PR


 
 
Assalamu'alaikum wmt wbr kepada para pembaca Kedah La. Apa khabar?

Alhamdulillah akhirnya dapat juga Tok mendisiplinkan diri untuk menjengah blog yang Tok pugar bersama rakan-rakan ni iaitulah Kedah La, sekurang-kurangnya dua hari sekali. Kira oklah tu di saat perlu melakukan banyak perkara untuk menghadapi PRU13 di dunia luar sana. Berperang di alam maya ini pun satu kerja yang penting juga tapi memandangkan semua anak buah Tok dah dapat berperanan dengan baik sekali, maka Tok serahkan atas bijak laksamana kalian untuk berpencak. Umumnya Tok dah puas hati... cuma terkadang ada juga yang pada hemat Tok perlu diperbaiki. Maaflah ada satu dua artikel yang Tok delete, tajuk-tajuk yang Tok perbetulkan dan isi kandungan yang Tok edit.

1. Pertama sekali bila kita menulis biar menulis dari hati yang tulus ikhlas untuk mencari keredhaan Allah. Lumrahnya manusia akan mendapat hasil apa yang dia semai. Jika kita semaikan kebenaran, fakta, mendedah penyelewengan demi maslahah ummah, membongkar kezaliman untuk menyelamatkan manusia dari dianiayai, melakukan islah maka insyaAllah kita akan memperolehi sokongan, penolakan terhadap kebatilan dan kesedaran untuk melakukan perubahan. Tetapi jika niat kita berperang di alam maya untuk memuaskan nafsu serakah dengan membelasah musuh, menyindir, menghina apatah lagi memfitnah maka apa yang kita tuai ialah kemarahan dan kebencian yang tiada hujung pangkal. Mendedahkan kejahatan seseorang atau sesuatu kelompok demi untuk menyelamatkan masyarakat terbesar dari terus tertipu adalah diharuskan tapi ingat, betulkan niat terlebih dahulu dan jangan menyerang mengatasi keperluan.

2. Dalam Islam terdapat adab dalam berperang dengan musuh. Tentera Islam tidak boleh menggunakan 'manjanik' atau lastik gergasi yang sekarang boleh diibaratkan dengan bom nuklear, sebab senjata itu tidak mengenal musuh sebenar dan membunuh apa saja sekalipun mereka tidak terbabit dengan peperangan. Orang tua, wanita, kanak-kanak, haiwan, bangunan dan tumbuhan turut musnah walaupun mereka bukan sasaran. Berperang di alam maya juga begitu, jangan babitkan sasaran yang salah kerana ia adalah zalim.

3. Saidina Ali berhenti beradu kekuatan dengan musuh seorang Yahudi kerana Si Yahudi itu meludah Saidina Ali. "Mulanya aku berlawan kerana Allah, selepas Yahudi meludahiku maka jika aku terus berlawan maka aku berlawan kerana melayan kemarahanku." Kita tidaklah sehebat Saidina Ali cuma iktibar yang boleh diambil ialah jangan berperang di alam maya kerana melayan provokasi, membalas maki hamun, carutan dan sindiran. Sebab itu Tok dah lama tak berFB dan tak membaca blog-blog tertentu sebab kelemahan iman Tok 'tak mampu' mengelak provokasi.

4. Setiap amalan kita hatta sebesar zarah pun akan dihitung di akhirat, maka setiap butiran perkataan yang terhidang di alam maya hasil tulisan kita, semuanya akan dihisab di akhirat. Kita harus berbeza dengan musuh kerana mereka tiada konsep halal, haram, dosa, pahala. Fitnah, maki hamun, melucah, mencarut dan menghina peribadi. 'Pahala' mereka hanya upah yang diterima sebagai cybertrooper. Mungkin ada ketikanya sindiran dan tempelakan terhadap musuh boleh dijadikan senjata mengikut keperluan tetapi yang penting jangan keterlaluan.

5. Sebaiknya berperang di alam maya dengan fakta dan hujah. Apabila kita mendedahkan 10 'ekor biawak hidup' tinggalan BN, maka tiada siapapun dari kalangan pemimpin BN Kedah dapat menjawabnya. Ia adalah satu kemenangan besar maka isu tersebut hendaklah digunakan habis-habisan sebab angka RM350 juta kerugian atau penyelewengan bukan angka yang kecil, ia mampu menelan mentah-mentah kerugian RM6.4 juta balak di Papua.

6. Akhirnya, ingat siapa sasaran kita. Sasaran kita ialah golongan rasional yang membuat keputusan berdasarkan fakta dan hujah. Di kalangan mereka adalah golongan beragama dan wanita. Mustahil mereka kekal menjadi pembaca jika saban hari mereka dihidangkan dengan 'perkataan kotor', jadi elakkan. Sasaran kita bukan cybertrooper BN atau Umno tegar jadi jangan tumpukan perhatian kepada mereka, hanya membuang masa. Sasaran kita ialah golongan manusia yang berakal dan berfikir.

7. Mungkin apa yang Tok catatkan di sini terlalu ideal untuk golongan yang bernama 'insan' seperti kita. Kita adalah manusia yang lemah segalanya, dipagar dengan nasihat oleh orang lain dan oleh diri sendiri pun sering terbabas juga. Yang penting kita ada azam dan tekad untuk melakukan yang terbaik demi keredhaan Allah. Setiap hari kena perbaharui niat dan tindakan. InsyaAllah.

Alhaqirwalfaqir... Tok Senapi.
Sintok, Kedah.

Warta Darul Aman

Arkib