Kedah La

Kedah La versi baharu. Menggerak hati nurani dan pemikiran rakyat Kedah untuk melakukan perubahan dalam PRU14 nanti.

Terkini dari Kedah La

Sunday, October 7, 2012

Sampai peringkat meratoih dekat rakyat, teruk sangat dah Najib nii...

Najib merayu untuk peribadi, bukannya untuk UMNO atau BN



Oleh ASPAN ALIAS
Najib merayu lagi. Dalam ucapan beliau di Expo Malaysiaku semalam Najib memohon dari rakyat untuk memberikan beliau mandat untuk meneruskan perjuangan transformasinya dan dengan mandat itu program yang dirancang untuk masa depan negara tidak terganggu.

Persoalannya sekarang apa yang membuatkan beliau terayu-rayu kerana beliau telah dengan bangga dan takburnya memberitahu semua pihak yang UMNO serta BN akan memenangi pilihanraya ini dengan majoriti yang meyakinkan. Beliau selalu berkata yang Pakatan Rakyat tidak ada pengalaman dan adalah terlalu tinggi risikonya jika rakyat memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat.

Najib membuat rayuan ini kerana beliau merasakan yang kali ini merupakan pilihanraya yang paling sengit yang akan di hadapi oleh BN tetapi berlainan seperti yang beliau katakan semalam. Najib selalunya bercakap besar dengan takbur yang keterlaluan. UMNO yang sekarang beliau pimpin telah terlajak jalan terlalu acap, kerana UMNO sebenarnya ibarat orang yang tersesat jalan kerana tidak tahu jalan yang sebenar dan sebaiknya untuk parti itu lalui untuk keluar dari kesesatan itu.

Baru sekarang UMNO menyedari yang rakyat tidak boleh dipermainkan seperti yang selalu mereka lakukan terutamanya setiap pilihanraya datang. Tetapi bak kata perbidalan kita, ‘nasi sudah menjadi bubur’. Tidak usah kita ulangi semuanya itu kerana rakyat sudah pun memahami keadaan sebenarnya. Najib pun faham ‘sequence of events’ dalam politik selepas ini jika di dasarkan kepada apa yang sedang berlaku pada hari ini.

Dalam perkembangan lain Najib berkata beliau mahukan pelan-pelan pembangunan yang telah digubal oleh Dr Mahathir mesti dilaksanakan dan beliau mempunyai ‘obligations’ untuk melaksanakannya penuh setelah Abdullah Badawi melaksanakan sebahagian dari nya.

Dengan kata-kata ini ia menunjukkan ada peralihan kepada segala perancangan beliau ialah untuk melaksanakan dasar-dasar oleh Mahathir dan bukannya transformasi yang beliau telah rancang dalam banyak perkara yang beliau umumkan sejak mengambil alih kepimpinan negara. Apakah perbezaan di antara Najib dengan Dr Mahathir jika begitu kata-katanya dalam bualbicara tersebut, sedangkan beliau telah mengumumkan Pelan Transformasi Ekonomi (PTE) dan banyak lagi perancangan yang canggih-canggih. Yang lain masih tidak nampak perlaksanaannya.

Beliau telah berusaha dengan segala kudrat yang ada untuk membuat perbezaan dengan pemimpin yang sebelum beliau dengan mengumumkan satu lepas satu program transformasi beliau. Semuanya adalah untuk membezakan beliau dengan pimpinan sebelumnya. Tetapi sekarang beliau berkata adalah giliran beliau untuk melaksanakan program yang dirancang oleh Dr Mahathir pula. Entah yang mana satu di antara kata-kata beliau yang benar, tidak pula dapat diketahui. Tetapi beliau merayu untuk mendapatkan mandat yang kuat dari rakyat dalam pilihanraya ini.

Tetapi Najib masih tidak memahami apa masalah yang beliau dan kerajaan pimpinan beliau dalam menghadapi PRU kali ini. Rakyat tidak nampak lagi perlaksanaan program pembangunan yang besar-besar dan ‘ambitious’ yang beliau telah laksanakan. Rakyat hanya nampak beliau telah melonggokkan projek-projek infrastruktur yang dicadangkan oleh kroni-kroninya untuk dilaksanakan dan ini dianggap sebagai transformasi ekonomi oleh Najib. Contoh-contohnya projek MRT dan LRT serta menaikkan taraf pengangkutan keretapi dengan membina ‘double tracking’ dari utara ke selatan, tetapi tidak mengambil kira pembangunan moral yang lain seperti rasuah, yang terlibat dengan projek-projek tersebut.

Lagi besar projek pembangunan yang diumumkan oleh Najib lagi besar perasaan was-was rakyat terhadap kejujuran dam perlaksanaan projek-projek tersebut. Pendeknya setiap perkara yang dilakukan dan diumumkan oleh Perdana Menteri akan mengaitkan isu rasuah bersama ke semua projek-projek yang dirancang itu. Rakyat mahukan ketelusan tetapi Najib samasekali gagal untuk membuang ‘stigma’ buruk yang terlekat kepada pimpinan kita itu.

Rakyat sekarang adalah rakyat yang bertanggungjawab dan Najib mesti dengan cara apa sekali pun menghilangkan tanggapan buruk rakyat terhadap UMNO dan kepimpinannya. Tanggapan buruk ini pula bukannya timbul dengan tidak bersebab. Ianya timbul setelah rakyat telah mendapat bukti melalui pengalaman dan pencarian yang begitu lama yang telah membuktikan UMNO sudah rosak hingga ke ususnya seperti yang dikatakan oleh Dr Mahathir sendiri. Dr Mahathir telah mengatakan yang pimpinan UMNO adalah pimpinan yang rasuah dari atas hingga ke bawah-bawahnya.

Tetapi rakyat telah mempersoalkan Dr Mahathir sendiri sekarang ini. Rasuah yang dilakukan oleh pimpinan hari ini adalah hasil dari sikap Mahathir yang tidak bertindak terhadap pemimpin rasuah semasa beliau berkuasa dahulu. Beliau hanya membuat tuduhan terhadap pimpinan selepas beliau semasa beliau telah bersara dari jawatan PM itu. Beliau telah membidas Abdullah Badawi kerana tidak bertindak kepada pemimpin-pemimpin sejurus beliau meletakkan jawatan yang di ambilalih oleh Abdullah.
Beliau sendiri tahu yang menteri-menterinya melakukan rasuah tetapi beliau enggan mengambil tindakan terhadap mereka dan mengharapkan Abdullah untuk melakukannya. Itulah cara Mahathir. Beliau mahu tindakan ke atas perasuah-perasuah oleh orang lain.

Sehingga hari ini menteri-menteri rasuah itu tidak mahu dan enggan mengisytiharkan harta mereka kepada rakyat jelata. Saya diberitahu oleh seorang rakan saya, seorang bekas menteri yang ramai diantara menteri-menteri kabinet seperti Hishamuddin dan yang lain tidak bersetuju untuk mengisytiharkan harta mereka.

Lim Guan Eng telah meminta semua menteri-menteri termasuk perdana menteri mengisytiharkan harta mereka dan saranan Lim Guan Eng itu adalah bertepatan dengan semangat negara demokrasi yang kita pilih sebagi cara mentadbir negara persekutuan ini. Kita mesti ingat yang LGE adalah Ketua Eksekutif kepada sebuah negeri dalam persekutuan ini dan saranan beliau itu wajar dihormati untuk kepentingan rakyat yang ramai. Kepentingan rakyat ialah yang harta benda mereka tidak diselewengkan oleh pimpinan seperti yang ditanggap oleh mereka selama ini dan itu adalah hak mutlak rakyat.

Najib dan UMNO bukannya mempunyai hak mutlak terhadap kepimpinan kerajaan dan negara. Apa yang ada kepada sesiapa yang menduduki Putrajaya itu hanyalah ‘Temporary Occupancy License’ (TOL) dan rakyat mempunyai hak untuk menolak mereka keluar jika mereka tidak amanah menjaga harta rakyat itu dan memberikan TOL itu kepada pihak lain.

Pendeknya apa sahaja yang dilakukan oleh Najib dan BN tidak lagi memberi apa-apa kepada rakyat. Yang rakyat mahu ialah dilakukan apa-apa bentuk ‘audit’ terhadap isu rasuah kepada pemimpin BN sekarang ini dan ia tidak boleh kurang dari itu.

Selesai isu ini maka barulah Najib boleh menagih dan merayu mandat rakyat dan biarkan rakyat menimbangkannya. Lagi pun Najib bukannya merayu untuk partinya tetapi mandat untuk peribadi beliau.

Warta Darul Aman

Arkib