Kedah La

Kedah La versi baharu. Menggerak hati nurani dan pemikiran rakyat Kedah untuk melakukan perubahan dalam PRU14 nanti.

Terkini dari Kedah La

Sunday, October 14, 2012

Rasli didakwa jatuhkan air muka Yang DiPertuan Agong


 
 
Laporan oleh ENGGANG QADHA
Ahli-ahli majlis kerajaan tempatan lantikan politik dari tiga parti iaitu PAS, PKR dan DAP bersatu tenaga mengadakan demonstrasi di hadapan Wisma Darul Aman bagi mendesak Datuk Rasli Basir meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah.

 

Ia adalah ekoran tindakannya membelakangkan kuasa Pihak Berkuasa Negeri dan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) di dalam proses berkaitan perlantikan dan pertukaran Yang DiPertua Majlis Kerajaan Tempatan.

Menurut seorang Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu, Nordin Ahmad, Rasli telah banyak kali melakukan penyalahgunaan kuasa, antaranya menukar Tuan Haji Ahmad Fisol Mohd Nor sebagai Yang DiPertua Majlis Daerah Kubang Pasu dan lain-lain Yang DiPertua Pihak Berkuasa Tempatan daerah di Negeri Kedah Darul Aman sesuka hati walaupun pihak berkuasa negeri (Majlis Mesyuarat Exco) telah membuat keputusan tertentu.
Rasli juga telah didakwa menyalahgunakan kuasa dalam proses pelantikan Setiausaha Majlis Daerah Kubang Pasu, Mohd Rezal bin Datuk Paduka Rasli, anak kandungnya.

“Kami berpandangan bahawa tindakan SUK yang tidak mengikuti kehendak undang-undang sehingga menjatuhkan air muka dan kedaulatan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Almu’tasimu billahi Muhibuddin Tuanku Al Haj Abdul Halim Muadzam Shah Ibni Al Marhum Sultan Badlishah yang amat dihormati, disayangi dan disanjungi oleh sekalian rakyat di Negeri Kedah khasnya dan Malaysia amnya kerana Seri Paduka Baginda telah memperkenankan melantik Datuk Rasli sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah bagi menjalankan hal ehwal pentadbiran.
"Tidak sepatutnya berlaku bagi seorang Ketua Pegawai Pentadbiran Negeri yang amat dipercayai oleh Seri Paduka Baginda Tuanku membuat tindakan yang boleh mencemarkan maruah baginda. Bagi kami hal ini perlu di beri perhatian serius oleh Pihak Berkuasa Negeri Kedah Darul Aman,” ujar Nordin.
Menurut Nordin lagi, Rasli telah menganggu  perjalanan pentadbiran MDKP selaku Pihak Berkuasa Tempatan yang berkepentingan secara langsung kepada rakyat.

Pada 12 September 2012 – MDKP terpaksa membatalkan Mesyuarat OSC secara tergesa-gesa sekitar jam 8.30 pagi pada hari 12 September 2012 (Rabu) yang akan diadakan jam 9.00 Pagi, bertempat di Bilik Mesyuarat MDKP.
“Ia adalah kerana protes kami kepada Setiausaha MDKP bahawa kedudukan Yang DiPertua, Datuk Abd Aziz Bin Abd Ghani adalah tidak sah.

“Bagaimana pula jika perkara ini berlarutan sehingga beberapa minggu lagi, maka semua Mesyuarat Jawatankuasa Tetap dan Mesyuarat Penuh Majlis pastinya tidak boleh dijalankan, sekali gus telah melanggar kehendak Akta 171 yang menetapkan wajib menjalankan mesyuarat pada setiap bulan,” ujarnya.
Beliau berharap supaya Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman dapat memberi perhatian serius dan mengambil tindakan sewajarnya dalam isu berkaitan.

 

Warta Darul Aman

Arkib