Kedah La

Kedah La versi baharu. Menggerak hati nurani dan pemikiran rakyat Kedah untuk melakukan perubahan dalam PRU14 nanti.

Terkini dari Kedah La

Thursday, October 4, 2012

Jika seluruh rakyat Malaysia tahu & SEDAR akan 7 strategi media BN ini, maka parti rasuah itu wajib dah bungkuihhh


Mengenal tujuh strategi utama media BN

Oleh ZULKIFLI YAHAYA

Kaedah penting yang diguna BN untuk mengekalkan kuasa sejak 12 PRU lalu ialah 3M, itu semua orang tahu. Dengan media penting (media) yang dikuasai sepenuhnya oleh mereka, jentera (machinery) kerajaan yang disalahgunakan dan duit (money) kerajaan yang banyak, dihamburkan untuk ‘merasuah’ rakyat – BN mempunyai kelebihan untuk mengekalkan kekuasaan.




Elok kalau rakyat difahamkan pula dengan tujuh strategi utama yang dimanipulasi BN dengan menggunakan media. Jika rakyat faham akan permainan media BN ini, maka apa saja perkara yang cuba dimanipulasi pihak mereka akan menjadi sia-sia. Ia semacam kefahaman yang terpasak kemas di kalangan ahli dan penyokong tegar PAS bahawa; apa saja yang datangnya media pro BN seperti TV3, Utusan Malaysia dan Berita Harian mengenai PAS adalah karut. Kejayaan tarbiyah PAS selama beberapa dekad berhubung sikap mereka terhadap media penipu itu menyebabkan PAS tidak pernah risau dengan manipulasi jahat untuk memecahbelahlan PAS dengan isu dalaman (kononnya).

Para penyokong Pakatan (tetapi tidak tegar) dan golongan atas pagar perlu didedahkan strategi BN dalam menangani isu ini supaya mereka juga kalis propaganda BN. Biar lepas ini tiada siapa lagi yang boleh diperbodohkan BN dan hanya penyokong tegar BN akan percaya akan propaganda mereka. Maka perlulah terlebih dahulu segolongan rakyat ini didedahkan strategi yang diguna BN dalam memanipulasi isu.

1.       Bohong

Bohong ialah bercerita perkara tidak benar. Jika perkara yang dibohongkan itu ialah rekaan cerita buruk terhadap seseorang atau sesuatu pihak maka ia bernama fitnah. Bohong menjadi kaedah wajib yang dimainkan saban hari oleh media BN. Antara pembohongan oleh media pro BN ialah Mohamad Sabu anggap pengganas komunis sebagai pejuang, kerajaan Kelantan tidak pernah bina masjid, Pakatan terima dana asing, kerajaan Kedah mahu roboh surau dan sebagainya. Bohong dengan media BN macam masin dengan garam.

 

2.       Ancaman

Menimbulkan rasa bimbang dan takut di kalangan rakyat jika Pakatan berkuasa merupakan agenda media BN yang tidak kurang pentingnya. Rakyat diancam jika Pakatan menang maka akan mengundang campurtangan kuasa asing, DAP akan tindas Melayu, negara tidak stabil dan sebagainya. PRU 1990 rakyat Kelantan diancam jika PAS menang maka negeri huru hara, kaum minoriti tiada tempat, tidak mampu bayar gaji dan macam-macam lagi ugutan. Namun 22 tahun berlaku tanpa satu pun dari ancaman tersebut berlaku.

 

3.       Adu domba

BN sedaya upaya mahu meyakinkan rakyat bahawa pihak lawan (Pakatan) bermasalah, tidak bersatu dan bertelagah. Isu yang agak berjaya mereka gunakan ialah hudud, bagi melagakan PAS dengan DAP. Tindakan pemimpin Pakatan tidak melayan isu tersebut dan menyerahkan kepada pemimpin tertentu sahaja untuk mengulas hudud adalah langkah bijak. Namun mereka akan adu domba dengan isu lain pula seperti pembahagian kerusi bertanding, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang ‘membidas’ DAP, peranan PAS diketepi di Pulau Pinang, peranan DAP diketepi di Kedah serta pelbagai adu domba lagi. Walaupun berusaha keras setakat ini mereka belum berjaya memecahbelahkan Pakatan.

 

4.       Racis

Isu racis atau kebencian terhadap pihak yang berlainan kaum menjadi hidangan wajib mereka untuk disajikan kepada rakyat. Api perkauman sangat mudah untuk dinyalakan, justeru BN mengeksploitnya habis-habisan dalam versi berbeza mengikut kaum. Di hadapan orang Melayu mereka dakwa DAP anti Melayu, nasib Melayu akan terabai jika Pakatan memerintah. Di hadapan orang bukan Melayu pula, PAS dituduh kumpulan ekstrimis agama yang tidak menghormati hak-hak bukan Islam. Isu kenyataan pemimpin DAP Ngeh Koo Ham mengenai bantahan hina Nabi adalah contoh terbaik bagaimana media BN mengeksploit isu perkauman.

 

5.       Pakatan ‘hilang sokongan’

Berita wajib akan muncul dengan banyaknya menjelang pilihanraya ialah kononnya ahli-ahli parti komponen Pakatan meninggalkan parti untuk menyertai BN. Modus operandi yang mereka gunakan ialah mengenalpasti seorang dua bekas ahli atau penyokong Pakatan lalu menggabungkan dengan kumpulan leih besar yang kononnya adalah ahli Pakatan yang berpaling tadah, walhal mereka semua itu adalah penyokong BN yang menyamar. Apa yang berlaku biasanya ialah ‘ahli UMNO masuk UMNO’.

 

6.       Sokongan ‘kuat’ untuk BN

Di samping sokongan terhadap Pakatan berkurang, BN digambarkan mendapat sokongan besar dari rakyat. Propaganda ini dimainkan oleh media BN dengan licik. Jurugambar akan merakam kehadiran Datuk Seri Najib dari sudut yang menampakkan khalayak yang padat, walhal ia cuma manipulasi lensa kamera. Jika foto seperti itu gagal didapatkan maka mereka akan mengubahsuai gambar asal (kaedah copy paste) seperti yang dilakukan oleh sebuah akhbar harian pro BN baru-baru ini.

 

7.       Mengalih isu

Mencipta isu baru untuk mengalih isu panas sentiasa dipraktikkan media BN menggunakan kelebihan mereka menguasai media utama dalam negara. Apabila muncul isu penyelewengan NFC mereka cipta isu LGBT, apabila muncul isu tuntutan Bersih mereka alihkan kepada isu ‘keganasan’ Bersih. Apabila timbul isu keganasan polis di Bersih mereka cetuskan isu skandal sex Azmin. Mereka memaksa rakyat untuk melupakan isu yang dimainkan Pakatan dengan menimbulkan isu remeh yang dibesarkan ciptaan mereka sendiri.

Apabila anda menyelak laman akhbar atau menatap televisyen setiap hari, jika terdapat isu politik Pakatan yang dimainkan, maka ingatlah bahawa isu tersebut mesti terkandung dalam mana-mana satu dari tujuh strategi utama BN berhubung isu dalam media.

Jika seluruh rakyat Malaysia difahamkan dengan tujuh strategi yang digunakan oleh BN dalam media itu, maka apa saja isu yang berbangkit selepas ini maka tidak perlu lagi pihak penerangan pakatan berhempas pulas memberi penjelasan. Rakyat sendiri akan menangkisnya dengan kefahaman bahawa itu memang strategi jahat media BN.

 

Warta Darul Aman

Arkib