Kedah La

Kedah La versi baharu. Menggerak hati nurani dan pemikiran rakyat Kedah untuk melakukan perubahan dalam PRU14 nanti.

Terkini dari Kedah La

Tuesday, October 2, 2012

Catatan perjalanan Tok Senapi di Negara Seberang - 1


Oleh: Tok Senapi



Kehilangan Tok Senapi dan crew Kedah La beberapa hari lalu kerana mengambil peluang dari ketidakjadian PRU13 untuk meninggalkan sekejap bumi Malaysia. Tidak jauh pun, cuma ke seberang. TS pun dah empat tahun tidak ke luar negara, asyik dengan dunia ‘isu semasa’ Malaysia yang kadangkala sangat membosankan terutama menyaksikan monopoli BN terhadap kuasa dan media. Semuanya berat sebelah, tidak adil lagi disalahgunakan.



Pesawat yang mengangkut kami dari Pulau Pinang tiba di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Jakarta lewat waktu Zohor, jadi singgah sebentar di Masjid ‘Ais Krim’ menunaikan kewajipan kepada Allah. Jakarta adalah kota yang padat dengan manusia. Menurut pemandu pelancong kami, Henry (baru memeluk Islam), kota Jakarta tidak perlukan had laju kenderaan seperti Malaysia. “Kenapa?” kami bertanya. “Lihat saja, di mana-mana macet (jem) tidak ada kenderaan yang boleh memecut,” terang Henry yang beberapa kali pernah datang ke Malaysia.


Di tengah kesesakan jalanraya itu, ramai yang mencari ‘rejki’, menjual akhbar, rokok, mainan dan makanan ringan. Terfikir juga, entah berapa sen atau rupiah sangat yang mereka dapat hasil jualan itu sedang masa dan tenaga yang digunakan agak perit kerana terpaksa berpanas di samping ‘kenyang’ menghirup asap kenderaan. Itulah harga penderitaan yang terpaksa dibayar oleh rakyat Indonesia yang sekian lama kekayaan negara telah dihisap oleh regim Soeharto dahulu. Walaupun regim Soeharto (BN Indonesia) telah tumbang tetapi kesan buruk tetap berlarutan untuk tempoh yang lama. Dalam hati TS berdoa, semoga regim BN di Malaysia juga tidak memerintah terlalu lama sehingga rakyat Malaysia nanti senasib dengan sebahagian rakyat Indonesia itu (wal’iyazubillah).



Bas wisata yang kami naiki menyusur perlahan di ibukota Jakarta yang penuh macet, singgah di sebuah restoran yang sederhana tapi enak sekali hidangannya – mungkin kerana agak lapar. Situasi yang sama, di mana sahaja kenderaan yang membawa pelancong singgah maka para penjaja tanpa kenderaan akan datang memujuk. Barangan yang mereka bawa seperti cincin, kraftangan, barangan kulit, mainan kanak-kanak semuanya dijual dengan pujuk raya “Belilah pak, bagi rejki sama kita...”. Barangan yang dijual bukanlah mahal sangat pun tetapi kesungguhan mereka menjual mengkagumkan. Agaknya di Malaysia kalau ada peniaga yang agresif macam ini, dia sudah mampu mengumpul kekayaan.


Petang yang singkat dihabiskan dengan menjelajah ibukota Jakarta. Walaupun hanya memerhati dari dalam bas, ia sungguh mengasyikkan. Sehinggalah kami singgah di hotel untuk menginap dan astirahat, sementara menanti esok yang padat dengan aturcara.

Ubi rebus dan air mata di Pesantren Anak Yatim



Kami tidak sangka sama sekali diraikan begitu rupa. Kehadiran kami di Pesantren Khusus Yatim, As-Syafiyah, Jakarta disambut oleh ratusan anak yatim yang beratur menyambut kedatangan kami. Paling istimewa kami diraikan oleh pemilik pasentran ini iaitu Prof. Dr. Hajah Tuti Alawiyah. TS dapat rasakan Ibu Tuti adalah seorang yang berjiwa besar, kerana manusia yang sehebat itu sahaja yang mampu menjaga kebajikan anak-anak yatim yang diambil dari seluruh Indonesia. Antaranya anak-anak mangsa Tsunami Acheh dan mangsa pergolakan di Timur Leste. Gigihnya Ibu Tuti memulihkan jiwa anak-anak ini dari trauma yang dialami oleh peristiwa besar dalam kehidupan mereka.

(Ibu Tuti)

Ibu Tuti bersemangat sekali bercerita mengenai kisah suka duka anak-anak yatim ini dan bagaimana beliau membangunkan pesantren ini. Beliau meminta anak-anak itu menunjukkan pelbagai persembahan kepada kami selaku tetamu yang diraikan, dari nasyid, solawat, hafalan ayat dan bacaan puisi.




Enak sekali apabila kami dihidangkan dengan ubi kayu, pisang, keledek, kacang - yang semuanya direbus. Namun bait-bait puisi yang menyentuh nurani dibacakan oleh seorang anak yatim menyebabkan hidangan yang dijamah terlalu sukar untuk melepasi kerongkong. Tanda disedari air mata TS mengalir laju.


Ibu Tuti bukan calang-calang orang. Beliau adalah bekas menteri di zaman Presiden BJ Habibie. Bersebelahan pasentran moden itu, terdapat Universitas Islam As-Syafiyyah di mana beliau adalah pemimpin utamanya. Setiap tahun university itu akan menganjurkan ijtimak ilmuwan yang menghimpunkan pemikir Islam dari seluruh dunia untuk berbicara mengenai wawasan besar mahu membangun dan memartabatkan Islam.



Berakhir program di pasentran anak-anak yatim itu kami dipelawa Ibu Tuti ke mahligai besarnya yang terletak kira-kira 500 meter dari situ. Terkejut besar kami rupanya makanan tengahari pelbagai aneka telah siap terhidang untuk meraikan kami.

Ibu Tuti menunjukkan sebuah buka karangannya bercerita mengenai pengalaman berjalan seantero dunia. Antara yang tercatat ialah Kedah – juga menjadi lokasi yang beliau pernah sampai. Keramahan Ibu Tuti bercerita rupanya ‘mengancam’ jadual perjalanan kami seterusnya, apabila disedarkan oleh pemandu pelancong, Henry.

Ohh, sepatutnya kami menghabiskan lebih banyak masa di sini... sekurang-kurangnya dapat ‘masuk’ Universitas As-Syafiyah tapi masa sangat mencemburui.

(Bersambung kalau rajin nanti)





Warta Darul Aman

Arkib