Kedah La

Kedah La versi baharu. Menggerak hati nurani dan pemikiran rakyat Kedah untuk melakukan perubahan dalam PRU14 nanti.

Terkini dari Kedah La

Monday, September 10, 2012

"Toksah tunggu 7 hari, mai saman la ni jugak!" -Mahfuz

Mahfuz cabar Perkasa


KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar bertegas tidak akan meminta maaf kepada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berikutan kenyataannya bahawa kumpulan itu membaling kasut ke dalam masjid.
(Aksi segolongan aktivis yang dikatakan ahli Perkasa di Masjid Al - Hussain baru-baru ini)

Beliau berkata demikian setelah diberitahu bahawa Perkasa memberi tempoh selama tujuh hari kepadanya untuk meminta maaf berikutan kenyataannya bahawa kumpulan itu membaling kasut ke dalam masjid ketika serangan mereka ke atas Masjid Al-Hussain, Seberang Pumpong, Alor Setar baru-baru ini.

"Saya tidak perlu meminta maaf atas perbuatan yang memang dilakukan oleh Perkasa.

"Apa yang saya nyatakan memang berasas dan saya ada saksi-saksi," tegas Mahfuz (gambar).

Beliau juga berkata, Perkasa tidak perlu tunggu tujuh hari untuk mengambil tindakan undang-undang ke atasnya.

"Apa perlu tunggu begitu lama? Hari ini juga Perkasa boleh failkan kes mereka ke mahkamah.

"Mereka banyak duit dan mereka tidak ada masalah untuk melakukan perkara itu," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz sebelum ini menegaskan, tidak ada gambar dan tidak ada rakaman yang disiarkan dalam Youtube tidak boleh menjadi bukti bahawa peristiwa itu tidak berlaku kerana ramai yang menyaksikan kasut dibaling ke dalam rumah Allah itu ketika serangan Perkasa ke atas masjid itu.

"Kalau tak ada rakaman sekalipun, kenyataan saksi-saksi juga diiktiraf oleh undang-undang," kata Mahfuz sambil mengulangi penegasan bahawa beliau tidak akan meminta maaf kepada Perkasa.

Ketua Perkasa Kota Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail sebelum itu memberi tempoh selama tujuh hari kepada Mahfuz untuk meminta maaf berikutan kenyataanya bahawa Perkasa membaling kasut ke dalam masjid tersebut.

Beliau juga menuntut tiga akhbar termasuk Harakah menarik balik laporan mengenai perbuatan itu.

Mohd Yusof yang juga Naib Ketua Umno Bahagian Alor Setar berkata, tindakan undang-undang akan diambil terhadap Mahfuz dan tiga akhbar berkenaan jika mereka enggan berbuat demikian.

Beliau mengulangi dakwaannya sebelum ini kononnya apa yang dinyatakan itu tidak berasas sama sekali semata-mata kerana tidak ada rakaman video yang menunjukkan perbuatan membaling kasut itu berlaku.

Warta Darul Aman

Arkib