Kedah La

Kedah La versi baharu. Menggerak hati nurani dan pemikiran rakyat Kedah untuk melakukan perubahan dalam PRU14 nanti.

Terkini dari Kedah La

Monday, September 24, 2012

Mengapa Najib makin tersepit dan jiwanya jadi kacau mutakhir ini?



Oleh Shahbudin Husin

Ucapan yang dilafazkan oleh Najib sejak akhir-akhir ini menggambarkan jiwanya yang sedang resah. Beliau kelihatan amat gelisah tentang masa depannya. Kedudukannya selepas pilihanraya akan datang sama ada masih mampu menghuni Seri Perdana atau tidak, masih lagi kabur dan tidak ketentuan.

Dalam ucapannya di perasmian Pusat Transformasi Bandar, sebuah kompleks yang dulunya dikenali sebagai Puduraya, Najib merayu agar beliau diberi peluang sekurang-kurangnya sepenggal lagi untuk menjadi Perdana Menteri.

Selepas itu di Johor Bahru, beliau pula berkata masa depan negara ini terlalu tinggi nilainya untuk diserahkan kepada pihak lain. Beliau juga seakan merayu agar pemerintahan BN terus dikekalkan.

Najib kononnya masih mempunyai banyak perancangan dan transformasi lagi untuk dilaksanakan dan hanya dengan terus memberinya peluang menjadi Perdana Menteri sahaja, semua itu dapat dilaksanakan.

Jika dulu nada ucapan Najib begitu tegas sambil menggariskan pelbagai transformasi yang telah dilaksanakannya, tetapi kali ini nadanya seakan-akan merayu pula. Jika dulu beliau menjerit-jerit dan mengeluarkan perkataan "haramjadah" untuk menempelak orang yang mahu mengamalkan demokrasi, kali ini rayuan dan pujukannya jelas dapat dirasai.

Jika pasangan bercinta atau suami isteri yang sedang menghadapi masalah keretakan hubungan, biasanya usaha memujuk dan merayu adalah pendekatan terakhir untuk memulihkan hubungan supaya pulih seperti sediakala.

Apakah ini menandakan Najib sudah dapat membaca isyarat rakyat yang makin menolak kepimpinannnya, lalu menggunakan usaha pujuk rayu ini dengan harapan beliau dan Rosmah terus dapat tinggal mendakap kuasa di singgahsana Seri Perdana?

Kepada siapakah rayuan itu sebenarnya ditujukan?

Najib sebenarnya bukan sahaja merayu kepada rakyat supaya terus memilih UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang tetapi juga kepada ahli dan perwakilan UMNO agar tidak menyingkirkannya jika dalam pilihanraya nanti keputusan yang mampu dicapai oleh BN lebih buruk daripada keputusan pilihanraya umum 2008.

Rakyat pelbagai lapisan kini umumnya seakan tidak sabar untuk menukar kerajaan berikutan pentadbiran UMNO dan BN selama lebih 50 tahun yang penuh dengan pelbagai masalah, skandal, rasuah dan penyelewengan. Rakyat tidak boleh lagi sekadar berdiam diri melihat hasil kekayaan negara dirompak oleh segelintir elit pemerintah sedangkan rakyat terus terbeban dengan kenaikan harga barang serta kos sara hidup yang semakin meningkat.

Pembaziran, pemborosan serta belanja mewah Najib sekeluarga sebagaimana yang selalu menghiasi dada-dada media juga mahu ditamatkan episodnya oleh rakyat.

Selain Anwar dan PR yang menjanjikan pelbagai pembaharuan dan kesenangan untuk masa depan rakyat, majoriti rakyat kini juga semakin sedar tentang hak dan kedudukan mereka yang sebenarnya. Rakyat tidak lagi boleh diperbodohkan dengan siulan media konservatif yang sering mengalunkan irama palsu untuk membuatkan rakyat terus alpa dan terlena.

Bagi rakyat, PRU 13 adalah penentuan untuk merubah nasib diri dan anak cucu mereka. Jika perubahan dapat dilakukan, suasana dan sistem politik negara akan berubah ke arah yang lebih baik di mana semua pihak yang menjadi pemimpin selepas itu akan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat dan negara melebihi segala kepentingan lainnya.

Tetapi jika perubahan tidak dapat dilakukan dalam pilihanraya ke 13 ini, ia mungkin memerlukan masa 50 tahun lagi untuk melakukan perubahan yang sama. Sebab itu, rakyat kini tidak sabar untuk melakukan perubahan dan menumbangkan BN yang telah memerintah negara lebih 55 tahun ini. Mereka tidak mahu menunggu 50 tahun akan datang untuk melakukan perubahan itu.

Kini segala transformasi dan janji-janji Najib tidak lagi melekat di hati rakyat. Ia hanya ibarat taburan buih-buih sabun yang akan lenyap ditiup angin. Bukan sahaja Najib menyedari hakikat itu, semua kepimpinan UMNO juga menyedarinya. Mahathir yang pernah bertakhta selama 22 tahun juga menyedari hakikat penolakan rakyat terhadap UMNO sekarang ini.

Selain rayuannya itu ditujukan kepada rakyat dan pengundi, Najib juga sebenarnya sedang merayu kepada ahli dan perwakilan UMNO supaya tidak menyingkirkannya jika beliau hanya mampu memberi kemenangan tipis kepada UMNO dan BN. Najib juga secara halusnya sedang merayu kepada timbalannya, Muhyiddin Yassin agar tidak mengambil alih tempatnya meskipun ketika itu nanti desakan ke arah itu begitu kuat.

Najib sendiri menyedari sentimen ahli UMNO sekarang. Oleh kerana Pak Lah dipaksa undur pada 2009 kerana kemenangan hanya 140 kerusi dan hilang majoriti dua pertiga pada piihanraya 2008, nasib yang sama juga bakal menimpanya jika gagal memperbaiki pencapaian itu.

Tinjauan umum banyak mendapati bahawa agak mustahil untuk Najib memperbaiki pencapaian 140 kerusi itu. Dengan segala macam skandal dan penyelewengan berterusan, amalan kronisme dan nepotisme terus diperkukuhkan, di samping Najib sendiri dilihat lebih lemah daripada Pak Lah, hakikatnya apa sedang menunggu beliau ialah sama ada kalah atau pun hanya mampu menang dengan kelebihan yang sangat tipis. Mungkin hanya 5 hingga 9 kerusi Parlimen sahaja.

Jika begitu kedudukannya, masa depan Najb tidak boleh diselamatkan lagi. Ahli dan perwakilan UMNO akan menolaknya dengan cara yang lebih kejam daripada yang dialami oleh Pak Lah.

Sehingga ini pun, sudah banyak kedengaran suara di peringkat akar umbi yang tidak puas hati dengan Najib, terutamanya berkaitan amalan berbelanja mewah, boros serta hobi bergaya mahal yang melibatkan anak-anak dan isteri kesayangannya Rosmah Mansor.

Ramai yang bersungut dengan perbuatan itu kerana sementara ahli dan pemimpin peringkat akar umbi sering diminta berusaha menarik sokongan rakyat tetapi perbuatan yang dilakukan oleh Rosmah dan anak-anaknya jelas menyebabkan rakyat semakin menjauhi UMNO dan BN. Kontradiksi ini menyebabkan jika keadaan memerlukan, Najib pasti akan disingkirkan kerana antara punca sebenarnya penolakan rakyat adalah kelemahan Najib sendiri dalam mengawal perilaku ahli keluarganya.

Oleh sebab itu, andainya UMNO dan BN terus menang dalam piliharaya akan datang tetapi dengan majoriti yang lebih kecil atau gagal mendapat majoriti dua pertiga, Najib sebenarnya mempunyai lebih banyak alasan untuk dipaksa berundur.

Najib memang menyedari hakikat itu. Ia kini diperkatakan di mana-mana. Nama Muhyiddin juga sudah semakin kerap disebut-sebut. Perbandingan watak Najib dengan Muhyiddin juga mulai diperkatakan. Perwatakan isteri kedua-duanya juga sedang diperbualkan. Dan kesimpulan daripada semua itu, keadaan yang sedang berlaku sama-sekali tidak memihak kepada Najib.

Najib kini sedang menggunakan usaha terakhirnya untuk menyelamatkan diri dan masa depan politiknya iaitu memujuk dan merayu. Rakyat dan ahli UMNO akan terus dipujuk dan dirayu untuk memberinya peluang sepenggal lagi sebagai Perdana Menteri.

Rakyat dan ahli UMNO mungkin akan mendengar pelbagai kata-kata mendayu dan menusuk kalbu lagi selepas ini daripada Najib. Inilah usaha terakhirnya untuk menyelamatkan diri.

http://shahbudindotcom.blogspot.com/



at 9/24/2012 09:00:00 PG

Warta Darul Aman

Arkib