Kedah La

Kedah La versi baharu. Menggerak hati nurani dan pemikiran rakyat Kedah untuk melakukan perubahan dalam PRU14 nanti.

Terkini dari Kedah La

Thursday, September 20, 2012

Ahli UMNO wajib tinggalkan parti itu kerana syaitan sangat jahat untuk didampingi

Oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang

Kenyataan Tun Dr Mahathir, mantan Perdana Menteri dan mantan Presiden UMNO, supaya menjadikan syaitan yang dikenali sebagai rakan yang didampingi lebih baik daripada berkawan dengan malaikat yang tidak dikenali perlu dilihat secara positif, khususnya oleh pendokong UMNO. Kata-kata itu bersumberkan pepatah barat yang  diucapkan oleh mendiang Winston Churchil, mantan Perdana Menteri British ketika perang dunia kedua. Apabila sangat terdesak di peringkat  awal menghadapi kemaraan tentera Jerman, lalu beliau mengizinkan bersahabat dengan negara pernah bermusuh dengan Britain seperti Perancis dan lain-lain..


Mengikut kaedah Usul Feqh Islam, sesuatu dalil itu perlu dilihat dalam dua aspek. Mantuq (yang dilafazkan atau diucap) dan Mafhum (yang difahami). Kadang-kadang diambil mafhum yang berlawanan dengannya..

Saya berpendapat secara positif daripada kenyataan yang jelas itu memberi mafhum, supaya ahli UMNO yang beragama Islam meninggalkan UMNO dan menjadikan PAS sebagai gantinya, sekiranya tidak mampu melawan syaitan yang ada dalam UMNO  atau menghapuskannya bagi menyelamatkan UMNO. Ini kerana bersama syaitan akan membawa akibat buruk di dunia dan akhirat bagi seseorang Islam..

PAS adalah parti manusia bukan parti malaikat dan bukan parti syaitan. Manusia yang diajar dan ditarbiyah oleh Allah sejak bapa dan ibu yang pertama-tamanya iaitu Adam dan Hawa. Allah mengajar Adam mengenal Tuhannya Allah sahaja dan tidak ada sekutu baginya. Beliau turut diajar mengenali para malaikat dan mengenali iblis yang menjadi ketua syaitan seluruhnya..

Tujuan manusia diciptakan supaya beribadat kepada Allah seperti makhluk yang lain dan dikurnia keistemewaan ditugaskan menjadi Khalifah di bumi, kerana sesuai dengan fitrahnya. Terpenting daripada khalifah itu ialah berpolitik, mentadbir urusan dunia dengan agama Allah (Al Din)..

Iblis adalah pemimpin syaitan, makhluk jahat yang telah melakukan kekacauan di bumi sebelum manusia diletakkan mengikut keputusan Allah. Iblis ditawan oleh para malaikat dan menjadi tawanan bersama mereka dan diminta berlaku baik bersama para malaikat. Tetapi Iblis hanya berlakon dan berpura-pura baik, tanpa diketahui oleh para malaikat segala yang tersirat dan tersembunyi dalam dirinya. Allah memperkenalkan para malaikat kepada Adam dan Hawa, bahawa mereka adalah makhluk paling baik menjadi contoh dan kawan, kerana sangat taat kepada Allah dan tidak sekali-kali menderhakai Allah. Begitulah tabiat para malaikat makhluk yang mulia itu. Allah juga mendedahkan kejahatan yang tersirat dalam diri Iblis dan begitulah juga pengikutnya yang ada di bumi. Mereka adalah bakal pencabar kepada makhluk manusia yang beriman dan budiman..

Al Quran mengesahkan betapa para malaikat itu sangat mentaati Allah, sehingga menawarkan diri bertugas di bumi bukannya manusia. Menunjukkan sikap berlumba mentaati Allah. Apabila  Allah mendedahkan kelebihan Adam  kepada para malaikatnya, Adam makhluk manusia yang diberi ilmu bertugas dibumi dengan sifat kejadiannya yang berbeza dengan kejadian malaikat. Banyak perkara yang tidak ada kepada malaikat. Maka para malaikat menunjukkan sifat tawadu’ dihadapan Allah serta memuji dan bertasbih. Allah mengesahkan dengan firmannya:.

وَعَلَّمَ آَدَمَ الْأَسْمَاءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلَائِكَةِ فَقَالَ أَنْبِئُونِي بِأَسْمَاءِ هَؤُلَاءِ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ (31) قَالُوا سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا إِنَّكَ أَنْتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ (32) قَالَ يَا آَدَمُ أَنْبِئْهُمْ بِأَسْمَائِهِمْ فَلَمَّا أَنْبَأَهُمْ بِأَسْمَائِهِمْ قَالَ أَلَمْ أَقُلْ لَكُمْ إِنِّي أَعْلَمُ غَيْبَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَأَعْلَمُ مَا تُبْدُونَ وَمَا كُنْتُمْ تَكْتُمُونَ (33).

(Dan Allah mengajar kepada Adam nama-nama semuanya, kemudian dibentangkan kepada para malaikat. Lalu mereka berkata :”Maha Suci Engkau. Tidaklah kami ketahui malainkan sekadar apa yang Engkau ajarkan kepada kami “. Allah berfirman kepada Adam :” ceritakan kepada mereka nama-nama semuanya “. Setelah Adam menyebut nama-nama semuanya. Allah berfirman :” Tidakkah aku katakan kepada kamu, bahawa aku mengetahui apa-apa yang tersembunyi di langit dan bumi dan aku mengetahui apa-apa yang kamu nyata dan kamu sembunyikan?). (Al-Baqarah: 31-33)..

Allah tidak dengan segera menghantar  Adam dan Hawa ke bumi, tetapi lebih dahulu mereka diajar dan ditarbiyah di syurga, menikmati sifat–sifat yang ada pada diri manusia dan menyatakan sempadan halal dan haram apabila tiba di bumi nanti. Adanya perkara bagi makhluk yang lain, bukan untuk manusia, kalau melampauinya membawa mudarat. Allah juga mengajar dan tarbiyah Adam dan Hawa dengan melakukan dosa kesalahan secara mendedahkan sifat jahat yang tetap ada pada Iblis dan pengikutnya dikalangan syaitan, jin dan manusia,  yang akan dihadapi oleh manusia ketika menjalankan tugas mereka di bumi nanti..

Pendedahan dilakukan, bermula dengan secara bersama mengadap Allah. Apabila Allah memerintah mereka sujud kepada makhluk Adam bagi meraikan kejadian dan tugasnya. Tiba-tiba para malaikat sahaja yang sujud menunaikan perintah Allah. Iblis pemimpin syaitan pula tidak mahu sujud.  Mendedahkan sifat buruk yang ada pada dirinya dan begitulah juga pengikutnya. Ketiga-tiga sifat itu ialah: enggan (derhaka), takabbur (sombong) dan kufur (ingkar melawan Tuhan). Seterusnya Allah memberi tahu Adam, dengan mendedahkan sifat yang keempat pada diri Iblis dan pengikutnya, iaitu menipu  dengan apa cara sahaja, termasuk cara menggoda. Ternyata selepas diletakkan dalam syurga, Adam dan Hawa tertipu dengan godaan Iblis pemimpin syaitan itu, sehingga dihalau ke bumi bagi melaksanakan tugas mereka dengan  segala cabarannya. Allah memberi hidayah kepada Adam dan Hawa  kerana menyesal setelah berfikir dengan akal yang betul, sehingga bertaubat. Ada pun Iblis dan para syaitan bersamanya, dikalangan jin dan manusia tidak bertaubat sehingga mati, kerana sifat angkuh dan sombong. yang merasakan diri mereka terlalu bijak sehingga tidak perlu bergantung kepada Allah..

Adam dan para Rasul yang dilantik membawa petunjuk Allah yang dinamakan Islam diperintah supaya beriman kepada malaikat disamping  beriman kepada Allah dan rukun-rukun iman yang lain. Beriman kepada para malaikat termasuk dalam rukun iman, bukan sahaja menganalinya sebagai makhluk yang tidak derhaka dan tidak berdosa, bahkan malaikat itu sentiasa bersama orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh. Sesiapa yang memusuhi para malaikat bermakna  memusuhi Allah dan Rasulnya. Kita wajib juga beriman kepada adanya syaitan, termasuk dalam beriman kepada perkara yang ghaib. Wajib percaya bahawa syaitan itu makhluk paling jahat dan menipu. Mengikut syaitan dan menjadi penolongnya atau bersamanya bermakna ditipu dan menempah celaka dunia dan akhirat..

UMNO diakui oleh Tun Mahathir ada syaitan yang dikenali. Rosaknya hingga ke usus, dilanda rasuah dalaman di semua peringkat dalam pemilihan  daripada cawangan, bahagian, sehinggalah tertinggi. Namun tidak bersedia dirawat atau berundur bagi mengislahkan diri saperti semua parti dalam negara demokrasi tulen. Sebaliknya tetap mempertahankan kuasa dengan apa sahaja termasuk meggoda pengundi dengan rasuah pilihanraya, menaikkan pangkat kepada jentera kerajaan yang membantu  kemenangannya, menipu undi demi kemenangan dan menggunakan media menutup kebatilan. Ia hanya menyatakan apa yang benar dilakukan secara menggoda. Sehinggalah rakyat tidak mampu menjadi hakim yang adil ketika mengundi..

Al Marhum Tunku Abdul Rahman, Presiden pertama UMNO dan Bapa kemerdekaan meninggalkan UMNO. Oleh kerana usianya panjang, beliau sempat melihat tanda-tanda awal penyakit yang ada pada UMNO, diikuti oleh ramai lagi para pemimpin yang sedar dan peka. Tun Mahathir pula sudah dua kali keluar masuk UMNO. Semuanya sudah cukup bagi ahli UMNO membuat keputusan untuk tidak bersama syaitan yang sudah dikenali dan berusaha bersama manusia PAS memohon pertolongan Allah dan para malaikat yang nyata baiknya bagi menyelamatkan negara dan bangsa bersama Islam yang termaktub dengan nyata dalam kitab Allah dan huraian Rasulullah S.A.W. dalam Sunnahnya yang nyata. Inilah panduan tertinggi PAS, dicatat dalam undang-undang tubuhnya..

Apabila wajib beriman kepada malaikat  dan mereka adalah makhluk paling baik kerana taat dan tidak berdosa. Wajib pula beriman adanya makhluk Iblis dan para pengikutnya dikalangan manusia dan jin, yang dinamakan syaitan, makhluk paling jahat, menipu dan menggoda, sehingga mati tidak bertaubat. Maka jadikan kenyataan Tun Mahathir mengikut mafhumnya adalah nasihat dan amaran. Ini kerana kalau difahami secara nasnya, sangat bercanggah dengan nas Al Quran. Hadis Rasulullah S.A.W. yang lebih daripada ucapan yang lain tidak boleh bercanggah dengan Al Quran. Allah berfirman dalam surah Yasin yang dibaca oleh kebanyakan umat Islam, termasuk dianjurkan oleh Umno, maksudnya:.

60. "Bukankah Aku telah perintahkan kamu dengan perjanjian,wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!.

61. "Dan (aku perintahkan): hendaklah kamu menyembahKu; Inilah jalan Yang Lurus..

62. "Dan Sesungguhnya syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu; (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dengan akal yang insaf?. (Surah Yaasin: 60-62)..

Allah juga mendedahkan diantara godaan syaitan itu tidak melaksanakan Islam seluruhnya, tetapi sebahagian sahaja daripada ajaran dan meninggalkan sebahagian yang lain. Firman Allah, maksudnya:.

208. Wahai orang-orang Yang beriman! masuklah kamu ke dalam agama Islam semuanya (dengan mematuhi segala hukum-hukumnya;) dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu Yang terang nyata. (Al Baqarah: 208)..

Allah juga memberitahu bahawa syaitan mengugut dengan kemiskinan kalau melawannya, maksudnya:.

268. Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan, dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji; sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadanya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha luas limpah kurniaNya, lagi sentiasa meliputi pengetahuanNya.) (Al Baqarah: 268).

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,.

Presiden PAS

Warta Darul Aman

Arkib