Kedah La

Kedah La versi baharu. Menggerak hati nurani dan pemikiran rakyat Kedah untuk melakukan perubahan dalam PRU14 nanti.

Terkini dari Kedah La

Sunday, April 29, 2012

Segalanya bermula dengan tembakan gas di tengah-tengah himpunan manusia yang padat


Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Semuanya berjalan dengan lancar, harmoni dan aman. Masyarakat berbilang bangsa boleh bersama dalam satu himpunan besar di bandaraya Kuala Lumpur berslogan, menyanyi dan menunjukkan rasa masing-masing.

Saya berada di tengah lautan manusia berhampiran masjid Jamek, tidak pasti di mana penghujungnya sebab di mana-mana saja manusia yang bersesak dan padat. Dari segenap penjuru, semuanya mahu menuju ke Dataran Merdeka tapi DM telah 'dijajah' buat sementara waktu sehingga rakyat tiada merdeka untuk ke sana.

Di tengah-tengah kepadatan manusia itu tiba-tiba kelongsong gas ditembak bertubi-tubi. Bayangkan bagaimana hendak melarikan diri di tengah-tengah kepadatan manusia. Asap yang menyembur keluar membuak-buak sangat memedihkan mata, menyesakkan nafas, perit dan pedih sekali sedangkan ruang untuk lari sudah tiada akibat kesesakan manusia. Tolak-menolak berlaku sebab masing-masing berusaha menyelamatkan nyawa sendiri. Masing-masing terbatuk-batuk, mengalir air mata dan air hidung, berlenja air liur dan ada yang termuntah-muntah. Setiap yang merasai keperitan ketika itu pastinya sangat membenci anggota polis yang bertindak ganas itu - termasuk saya yang berusaha melarikan diri mengikut arus tolakan manusia.
Tembakan gas diikuti dengan gerakan bersepadu FRU menyerang dan berusaha menangkap peserta Bersih. Ada yang ditangkap dan dibelasah. Di situlah bermulanya provokasi terhadap rakyat yang tidak berdosa.

Saya tidak mahu mempertahankan tindakan segelintir pihak yang menyerang kenderaan polis, tindakan itu ganas... tetapi ia bermula dengan provokasi pihak polis sendiri yang mula menggunakan kekerasan terhadap pihak yang tidak bersenjata dan tidak ganas.

Segelintir anak-anak muda (60 peratus peserta peserta bersih adalah anak muda) yg dianggap ganas yang bertindak selepas 'provokasi' polis itu tidak lebih dari 50 orang berbanding kehadiran lebih 500 ribu peserta Bersih 3.0 semuanya. MEREKA CUMA 0.0001 PERATUS dari keseluruhan peserta Bersih yang mampu menahan kesabaran, tetapi tindakan 0.0001 peratus itu yang dijadikan bahan sensasi di semua media utama bagi menunjukkan Bersih adalah 'ganas dan kotor'. Itulah media-media Malaysia yang tidak pernah bebas walaupun selepas 12 kali PRU. Kebebasan media inilah adalah antara yang rakyat Malaysia perjuangkan melalui Bersih.

Kesimpulannya punca peristiwa 'keganasan' ialah apabila pihak polis mula menembak gas, menyembur air kimia dan membelasah. Buktinya perhimpunan Bersih 3.0 juga turut diadakan  di Pulau
pinang, Kota Kinabalu, Kuching dll.. tapi tak ada pula kecoh-kecoh sebab 'provokasi' tembak gas tidak berlaku.

Itu pengalaman saya dan pandangan saya. Semua orang berhak untuk bersetuju atau tidak, menerima atau menolak, menyokong atau membangkang. Itulah kebebasan bersuara namanya tapi kebebasan itu tidak ada dalam sistem demokrasi kerajaan BN. Itu antaranya tujuan Bersih 3.0 diadakan.



Bersama ini saya sertakan foto-foto yang sempat saya rakam sendiri dalam ruangan pergerakan saya yang sangat terhad di tengah himpunan manusia yang padat. Terima kasih Kedah La jika sudi menyiarkan koleksi ini.





(Sampai di sini memory full... tukaq pakai camera cap ayam pulak, so gambag tak sharp kena click2 utk kejelasan foto. Suasana selepas tembakan gas bertalu2 kepada orang ramai)






















Terima kasih kerana sudi membaca dan menatap...

Warta Darul Aman

Arkib