Kedah La

Kedah La versi baharu. Menggerak hati nurani dan pemikiran rakyat Kedah untuk melakukan perubahan dalam PRU14 nanti.

Terkini dari Kedah La

Friday, April 6, 2012

Tahap kebebasan media Malaysia lebih teruk dari Myanmar








Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) kecewa dengan laporan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Penambahbaikan Proses Pilihan Raya yang mengabaikan tuntutan rakyat mengenai akses media yang bebas dan adil, sekali gus menyifatkan PSC tidak mempunyai keazaman politik yang tinggi bagi membuat pembaharuan menyeluruh.

Laporan PSC yang diedarkan kepada ahli-ahli Parlimen pada 2 April lalu telah mencetuskan kontroversi dan perbalahan dalam sidang Dewan Rakyat, terutama apabila "laporan minoriti" tidak disertakan.

Pengerusi KAMI, Ahmad Lutfi Othman, turut kesal apabila gesaan tempoh kempen minimum selama 21 hari hanya dipersetujui setakat sepuluh hari, iaitu satu tempoh yang tidak mencukupi untuk calon-calon dan parti-parti yang bertanding menjelaskan manifesto masing-masing.

"Pilihan Raya Umum Ke-13 merupakan pilihan raya paling sengit. Justeru, setiap pemilih berhak untuk mendapat maklumat yang tepat dan komprehensif, serta mudah dicapai dengan cepat. Malangnya, isu akses media yang bebas dan saksama ini seperti tidak dipandang penting oleh PSC," tambah Ahmad Lutfi, dalam sidang media, di Hotel Vistana, dekat sini, 3 Mei lalu.

KAMI merupakan sebuah NGO yang prihatin dengan isu-isu hak asasi manusia khususnya kebebasan media, dan ditubuhkan lebih sepuluh tahun lalu, secara tepat, selepas Pilihan Raya Umum 1999, membabitkan lebih 25 penggerak asal. Inisiatif penubuhan KAMI lahir selepas pentadbiran Mahathir Mohamad - yang dikejutkan dengan keputusan PRU10 - yang mengharamkan dua penerbitan bahasa Melayu, majalah dua kali sebulan, Detik dan tabloid mingguan, Eksklusif, serta pengurangan kekerapan Harakah, daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan.

Dalam sidang media itu, Ahmad Lutfi (gambar kanan, kanan) turut menekankan kepentingan kebebasan media dalam sebuah negara demokratik, apatah lagi semasa kempen pilihan raya umum. Katanya, peruntukan dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 19 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 tidak membawa makna apa-apa jika pelbagai akta dan peraturan yang mengongkong kebebasan bersuara masih berjalan di Malaysia.

"Isu akses media seperti dibayangi dengan persoalan lebih mendesak, misalnya berkaitan senarai daftar pemilih yang masih bercelaru. Justeru, KAMI, sebagai NGO media yang ditubuhkan lebih 10 tahun lalu, terpanggil untuk menangani agenda penting ini, bukan hanya terbatas semasa kempen pilihan raya, tetapi juga secara berterusan," tambah Ahmad Lutfi.

"Mungkin BERSIH (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil) sendiri kurang memberi penekanan tentang akses media yang adil dan bebas ini. KAMI berasa tekanan lebih serius dan agresif perlu digerakkan bagi memastikan setiap pemilih berdaftar memperolehi maklumat secukupnya, dengan mudah dan cepat, daripada semua parti yang bertanding, sebelum mereka membuang undi," tegasnya.

Mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, Ahmad Lutfi berkata, sepatutnya laporan PSC membuat cadangan yang lebih menyeluruh dan menyentuh isu-isu kritikal kebebasan media, termasuk mencadangkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Hasutan serta Akta Rahsia Rasmi dimansuhkan segera.

"Amat memalukan apabila negara-negara jiran yang dikuasai pemerintahan autoritarian, seperti Myanmar dan Singapura, pun turut memberi ruang kepada parti-parti pembangkang untuk berkempen dalam media kerajaan, khususnya televisyen," ujarnya.

"Mungkin ada eloknya jika PSC bukan sahaja melawat negara-negara yang maju daripada segi amalan demokrasinya, tetapi juga meninjau perkembangan baru situasi kebebasan media negara Asean semasa kempen pilihan raya, termasuk Indonesia," tegas beliau.

"Pemimpin prodemokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi, yang mengetuai parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD), musuh utama kerajaan, dibenarkan untuk berkempen dalam TV kerajaan selama 15 minit. Takkan Malaysia bersedia berada di belakang Myanmar dari segi kebebasan media?" soal Ahmad Lutfi.

Selain 13 mesyuarat dan empat sesi pendengaran awam, anggota PSC telah mengadakan lawatan kerja ke London, United Kingdom, juga Frankfurt dan Berlin, Jerman, serta Copenhagen, Denmark.

Sedangkan, tambah Ahmad Lutfi, selama lebih 50 tahun merdeka, media utama di negara ini memberikan layanan tidak adil kepada parti-parti saingan UMNO-BN - dahulunya Perikatan - malah lebih buruk, membuat laporan yang tidak betul dengan memutarbelitkan fakta.

Beliau menarik perhatian isu salahguna atau penyelewengan dana awam apabila media yang dibiayai wang pembayar cukai seperti RTM telah diperalatkan oleh parti pemerintah, dengan berselindung atas nama penjelasan dasar-dasar kerajaan.

"Lebih dikesali lagi apabila pihak berkuasa juga tidak membenarkan parti-parti pembangkang menyalurkan maklumat, termasuk pembelian iklan berbayar semasa kempen bagi membolehkan calon-calon pembangkang menjelaskan manifesto dan dasar masing-masing kepada rakyat," ujarnya.

Beliau turut membentangkan rumusan kajian oleh Transparency International Malaysia bahawa dalam PRU12, parti-parti pembangkang seperti PAS, DAP dan KeADILan, langsung tidak diberi akses untuk muncul dalam radio dan televisyen, termasuk dihalang membeli iklan berbayar.

"Dalam pilihan raya umum di Singapura tahun lalu, setiap parti yang bertanding diberi slot berkempen melalui televisyen dan masa yang dibenarkan berkadaran dengan jumlah calon yang bertanding. Malah, transkrip ucapan itu kemudiannya disiarkan pula dalam akhbar utama, yang dikuasai kerajaan," jelas Ahmad Lutfi lagi.

Beliau juga kesal dengan sikap pemilik media utama negara ini yang tidak memberi peluang menjawab kepada pihak yang terkilan dengan laporan tidak tepat. "Hak untuk menjawab, terutama bagi memperbetulkan kesilapan fakta mesti diberikan. Menjadi amalan biasa dalam media tertentu untuk berterusan melakukan serangan terhadap seteru politik BN, walaupun di atas fakta yang jelas salah," ujarnya.

Sehubungan itu, tegas beliau, KAMI telah memutuskan untuk mengambil tiga tindakan segera yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Tindakan pertama berupa usaha yang akan dilakukan bagi membentuk gabungan NGO yang berminat untuk memastikan kempen akses media yang adil dan bebas ini berjalan lebih sistematik dan berkesan.

Kedua, mengatur perbincangan dengan jawatankuasa BERSIH agar isu kebebasan media ditangani secara lebih serius. Tuntutan akses media merupakan salah satu daripada lapan tuntutan utama Bersih 2.0.

Manakala tindakan ketiga, tambah Ahmad Lutfi, adalah penganjuran Konvensyen Media Bebas dan PRU13, yang dijadual pada awal Mei depan, sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, yang dirayakan setiap tahun pada 3 Mei.

"Selain itu, KAMI juga akan turut menghantar memorandum kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) agar lesen radio dan televisyen dipermudahkan untuk mana-mana pihak yang berminat, termasuk kerajaan negeri Pakatan Rakyat," katanya.

"Jika RTM tidak bersedia berlaku adil kepada kerajaan negeri Selangor, Kelantan, Pulau Pinang dan Kedah, harap sekurang-kurangnya dapat diberi lesen radio kepada mereka," tegas Ahmad Lutfi.

Bersikap terbuka dengan membenarkan semua parti dapat akses kepada media utama, katanya, menyebabkan Malaysia akan lebih dihormati oleh dunia.

Manakala pemilik media swasta, terutama televisyen, seperti Media Prima dan Astro Awani, tambah Ahmad Lutfi, yang memberi slot kepada pembangkang, akan menaikkan lagi rating stesen TV berkenaan dan ini akan membawa kesan baik daripada segi perniagaan.

Antara yang hadir pada sidang media itu adalah Setiausaha Anak-Anak Terengganu di Perantauan (Perantau), Mohd Suhaimi Embong dan Setiausaha Seniman Paksi Rakyat (Paksi), Hasni Abas.

Kedua-dua NGO itu telah menyatakan kesediaan untuk bersama KAMI bagi menggerakkan kempen akses media yang adil dan saksama dalam PRU13 nanti.



- Posted using BlogPress from my iPad

Warta Darul Aman

Arkib