Kedah La

Kedah La versi baharu. Menggerak hati nurani dan pemikiran rakyat Kedah untuk melakukan perubahan dalam PRU14 nanti.

Terkini dari Kedah La

Friday, April 20, 2012

Bawaklah kitab dengan 100 ekor unta pun untuk berbahas...





Boleh pertikai fatwa, tapi bukan di mahkamah

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin muncul dengan kenyataan meragui komitmen Pakatan Rakyat pada demokrasi, khususnya di Kedah yang memperkenal undang-undang baru bagi menghalang fatwa yang diputuskan oleh Majlis Fatwa Negeri Kedah dicabar di mahkamah.

Katanya, tindakan itu bukan sahaja "tidak demokratik", malah "mematikan intelektualisme" kerana menyamakan fatwa seperti nas dalam al-Quran dan Sunnah yang tidak boleh dipertikai.

Sedangkan, katanya, fatwa itu hanyalah panduan yang dibuat manusia dan hanya menjadi panduan kepada rakyat.

Ulasan bekas mufti dibuat ekoran kelulusan oleh Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah berhubung Rang Undang-undang Mufti dan Fatwa (Kedah) (Pindaan) 2012 yang bertujuan untuk meminda Enakmen Mufti dan Fatwa (Kedah Darul Aman) 2008 (Enakmen 10), bagi memperjelas keahlian jawatankuasa fatwa serta menjadikan fatwa diputuskan oleh mufti atau jawatankuasa fatwa sebagai muktamad.

Enakmen memperjelaskan bahawa fatwa yang diputuskan oleh mufti atau jawatankuasa fatwa, sama ada diwartakan atau tidak, tidak boleh dicabar, dirayu, disemak, dinafikan atau dipersoalkan dalam mana-mana Mahkamah Sivil atau Mahkamah Syariah. Mengikut seksyen baru 22A, fatwa tidak boleh dicabar walaupun dengan undang-undang bertulis atau rukun undang-undang yang berlawanan.

Apa maksud sebenar enakmen tersebut? Fatwa adalah melibatkan ibadah dan hukum syarak, sekiranya berlaku kekeliruan maka ia perlu dirujuk kepada jawatankuasa fatwa atau pihak yang berautoriti tentang Islam. Enakmen tidak bermaksud menghalang pandangan lain terhadap sesuatu fatwa yang telah diputuskan. Ia cuma menghalang fatwa dicabar di mahkamah serta semakan baru terhadap sesuatu fatwa diputuskan oleh mahkamah.




Bayangkan jika sesuatu fatwa itu dipertikaikan di mahkamah sivil, maka apakah seorang hakim yang bukan Muslim lebih layak memutuskan akan kebenaran fatwa tersebut atau sebaliknya. Andai kata hakimnya seorang Muslim sekalipun apakah ia lebih layak memutuskan kebenaran fatwa berbanding sekelompok ulamak majlis fatwa yang lebih berwibawa ilmu Islamnya?

Begitu juga di mahkamah syariah sekalipun. Tugas hakim di mahkamah syariah ialah mentafsir enakmen dan membuat keputusan berasaskan peruntukan yang ada. Bukannya memimpin muzakarah ulamak di mahkamah untuk mengesahkan kebenaran fatwa.

Pihak yang mempertikaikan fatwa masih mempunyai saluran yang sewajarnya untuk meminta semakan fatwa. Apakah salurannya? Ia sangat mudah, tiada kerenah birokrasi mahupun prosedur yang menyusahkan. Ketuk saja pintu pejabat mufti untuk mengemukakan pandangan kedua, ketiga, keempat dan sebagainya. Atau apa-apa tindakan orang berakal yang boleh mendorong fatwa yang telah dibuat disemak semula.

Majlis Fatwa Negeri Kedah dalam fatwa pertama memutuskan bahawa haram meroboh Madrasah Salihiah Kanchut. Apabila pihak pemaju berjumpa Majlis Fatwa untuk mengemukakan fakta sebenar isu madrasah tersebut, maka Majlis Fatwa mengubah keputusan mengatakan 'boleh roboh dengan syarat berlaku istibdal (ganti wakaf)' dan syarat-syarat tertentu. Mereka tidak mengeluarkan fatwa sewenang-wenangnya melainkan setelah meneliti realiti dan suasana, dengan merujuk pelbagai sumber ilmu Islam.

Dakwaan bahawa pindaan terhadap enakmen tersebut sebagai mematikan intelektualisme juga tidak berasas sama sekali, kerana semua ilmuwan Islam boleh berhujah dengan mufti atau ulamak majlis fatwa 40 hari 40 malam sekalipun tanpa ada peraturan yang menghalangnya, bawaklah kitab dengan 100 ekor unta sekalipun untuk berbahas tiada enakmen yang melarang.

Dalam isu fatwa Madrasah Salihiah tempohari Mufti Kedah telah menjemput sesiapa saja yang mahu mempersoalkan keputusan fatwa supaya bertemunya untuk bermuzakarah. Malangnya badan bertindak yang menentang fatwa tersebut 'dengan angkuh' memberitahu, biar mereka bertemu mufti di mahkamah.

Dr. MAZA mengungkap istilah 'tidak demokratik' terhadap tindakan menyekat isu fatwa dibawa ke mahkamah. Janggal benar bunyinya jika seorang ilmuan Islam memperjuangkan pendemokrasian fatwa.

Sewaktu pembentangan pindaan terhadap Enakmen tersebut, wakil BN dari MCA dan Gerakan bangun menentang. Mereka boleh dianggap tiada locus standi untuk mencampuri urusan Islam namun dalam Sidang DUN mereka masing-masing mempunyai hak menyokong atau menentang sesuatu Enakmen. Tak apalah pendemokrasian terhadap persoalan Islam ini berlaku dalam Sidang DUN yang ditegakkan pun atas prinsip demokrasi. Tetapi jika orang seagama mereka yang membuat keputusan di mahkamah sivil berhubung pertikaian fatwa maka haru biru perlaksanaan Islam jadinya. Semuanya gara-gara 'pendemokrasian'.

Hari ini mahkamah seolah-olah sudah menjadi tempat yang 'Maha Tepat' dalam membuat keputusan. Jika suatu hari nanti persoalan Syiah, Suni dan Wahabi pun diseret dan diputuskan di mahkamah maka apakah Malaysia boleh dianggap telah melakukan pendemokrasian yang sangat sempurna?

Warta Darul Aman

Arkib