Kedah La

Kedah La versi baharu. Menggerak hati nurani dan pemikiran rakyat Kedah untuk melakukan perubahan dalam PRU14 nanti.

Terkini dari Kedah La

Wednesday, February 8, 2012

Lagi debat Saiburi Sudin lawan Kedah Times... UMNO makin celaru isu Salihiah



Oleh: SAIBURI SUDIN

Panjang lebar Kedah Times menjawab tulisan Saiburi Sudin (SS) yang siarkan oleh Kedah La serta dipetik oleh Teranungkite serta beberapa lagi blog pro kebenaran. Setelah dibaca dan diamati SS percaya ia bukan ditulis oleh ‘Anak Didik KUIN’ (ADK) yang menggunakan bahasa ala-ala Sobri Sudin. Tulisannya lebih lunak (dari aspek bahasa) tetapi cetek dari aspek hujah dan fakta. Jadi SS kena jawab baliklah bertujuan untuk beri penjelasan terhadap kekeliruan yang ditimbulkan. SS percaya jika Kedah Times (KT) baca akan penjelasan ini maka insyaAllah hatinya terbuka untuk menerima kebenaran..amiiin.

KT: Untuk pengetahuan Saiburi Sudin, Saiburi membawa maksud negeri Melayu Kedah yang dikembalikan kepada Thailand pada pemerintahan Jepun. Rakyat yang dilahirkan dinegeri-negeri ini layak membeli tanah atau menetap di Thai. Jangan sewenang-wenangnya guna Saiburi (syburi) tanpa tahu maksudnya.

SS: Terima kasih atas info. Nama Syburi itulah juga disemadikan dalam sebuah syarikat pelancongan milik proksi bekas DO Kuala Muda. Syarikat pelancongan Syburi ini telah menerima banyak kontrak dari Seri Temin di zaman BN. Nama ini juga diguna sebagai address URL blog KT. Tak penting pembaca nak tau siapakah mereka ini, biar SS dan Kedah La yang tau cukuplah.


KT: Untuk pengetahuan Tranungkite dan Saiburi Sudin, Anak Didik KUIN bukan Sobri Sudin atau Kedah Times sendiri. Tak elok sangatlah kalau dok samakan Sobri Sudin dengan penulis-penulis lain. Nayaa Sobri Sudin kerana apa saja yang didedahkan dikaitkan dengan beliau walhal beliau tidak terlibatpun dalam artikel tersebut. Kalau kita tengok gaya penulisan pun agak berbeza.

SS: SS tak kata pun ADK adalah Sobri Sudin, cuma gaya bahasa dan ideanya yang sama. Begitu juga bahasa penulis Mao Tze Tong, Watan Bercinta, Abang Bingai dan beberapa lagi nama, gaya bahasa dan idea macam Sobri Sudin, mungkin kerana mereka terlalu taksub dengan ideanya yang banyak menulis untuk ‘melepas geram’. Lagipun SS tertarik dengan Sobri Sudin ni sebab dialah orang luar yang duduk dalam jawatankuasa BBSMS tu, dialah paling intelek dari kalangan kumpulan tu dan dialah seorang penulis.. takkanlah pulak Cot atau Bet Taman Wira yang bagi idea...


KT: Kan dulu PAS yang membawa ajaran memaki hamun musuh demi mempertahankan perjuangan? Dah lupa ka Saiburi Sudin atau buat-buat lupa? Dalam pemilihan perkataan Kedah Times hanya lihat perkataan penyangak, bahalo, barua dan hipokrit saja yang agak kasar. Itupun belum sampai tahap makian. Cuma yang lebih-lebih untuk kata makian ialah Saiburi Sudin saja. Kita faham kerana inilah sikap puak-puak PAS yang bergurukan Anwar Ibrahim. Yang tiada cuba diadakan supaya orang lain nampak tidak elok.

SS: Ajaran memaki hamun orang tiada dalam Islam dan tiada pula dalam PAS. Tidak nafikan ada segelintir pemimpin PAS dulu yang kuat maki hamun, tetapi sekarang hampir kesemuanya telah menyertai UMNO. Kini UMNOlah juara memfitnah dan memaki hamun. Rakyat makin bijak sekarang..bukalah blog UMNO dan PAS, dengarlah ceramah UMNO dan PAS, lihatlah posting FB penyokong UMNO dan PAS.. maka anda akan mendapat jawapan yang tetap antara UMNO dan PAS siapakah juara maki hamun? Jawapannya ialah UMNO!!!


KT: Bangunan Madrasah Salihiah ialah Madrasah atau surau itu sendiri. Jadi apa orang buat di Madrasah atau surau? Tentulah beribadah? Jangan Saiburi Sudin hadkan ibadah itu sebagai sembahyang saja tau .. Jika tempat beribadah apakah kita tidak boleh mengatakan ianya rumah Allah. Yang pentingnya tanah wakaf itu diwakafkan untuk tujuan ibadah.


Saiburi Sudin sekali cuba mengelirukan pembaca dengan menyamakan Wisma Darul Aman, Kompleks Sahab Perdana sebagai Rumah Allah kerana ada surau didalamnya. Perlu diingatkan Bangunan Utama Salihiah ini ialah Madrasah atau Surau. Bangunan ini tujuannya dibina adalah untuk orangramai beribadah bukannya membeli-belah atau tempat mentadbir negeri. Itu sebab ianya dinamakan Madrasah atau Surau. Yang berada disampingnya hanyalah aktiviti sampingan lain seperti pejabat perniagaan serta tandas. Asas pembinaan bangunan adalah 'IBADAH' bukan pusat membeli belah atau stesen bas atau pejabat pentadbiran.


Bukan macam bangunan Wisma Darul Aman atau Kompleks Shahab Perdana atau Pekan Rabu. Semua bangunan ini tidak dibina sebagai surau atau Madrasah, sebaliknya pusat komersial atau pentadbiran dan kemudahan yang disertakan ialah surau. Jauh bezanya antara bangunan surau dengan bangunan Shahab Perdana atau Wisma Darul Aman atau Pekan Rabu.


Jika Madrasah Salihiah adalah bangunan yang dibina untuk solat dan ibadah yang lain, maka adakah ianya tidak layak dipanggil rumah Allah? Tak tahulah jika ajaran PAS memang boleh disamakan MAdrasah Salihiah dengan Aman Central atau Shahab Perdana. Satu dibina untuk tempat ibadah, aman central untuk komersial dan Shahab Perdana untuk setesen BAS. Ada sama ka?

SS: Panjang lebar dan berhempas pulas KT nak pertahankan BANGUNAN Madrasah Salihiah sebagai Rumah Allah. Isu asal YB Ghani nak kemukakan ialah jangan sebut bila runtuh bangunan Salihiah tu sebagai runtuh Rumah Allah. Bukan keseluruhan bangunan tu surau, yang utama di situ ialah pejabat insuran, surau jatuh tempat kedua. Sebab tu bila waktu pejabat insuran tamat operasi, pintu pejabat berkunci dan pagar bangunan pun berantai. Tiada aktiviti solat jamaah Maghrib, Isya dan Subuh. Cuma sekarang baru ada jemaah kadang-kadang sangat, itu pun bila ada program anjuran Perkasa. Memang muamalat pun ibadah, macam Wisma Darul Aman pusat pentadbiran negeri juga satu ibadah, bukan tempat maksiat. Tapi masih tak boleh kata keseluruhan bangunan itu sebagai Rumah Allah hanya kerana tempat ibadah. Semua masjid di dunia ini adalah Rumah Allah, tetapi majoriti mazhab bersepakat binaan tandas tidak boleh disekalikan dengan musolla, sebab Rumah Allah tidak termasuk tandas. Tak tahulah pulak kalau ada Mazhab Umnowiyah nak iktiraf tandas pun Rumah Allah? Ini sudah biadab namanya.


KT: Ada orang setuju dengan pembinaan Aman Central terutama pemulihan Bangunan Tunku Yaacob tetapi apabila Kedah Times terangkan pasal isu tanah wakaf, beliau terus berubah. Jadi pembaca perlu faham yang isu utama ialah tanah wakaf yang bakal dijadikan tapak Aman Central yang mana mungkin tandas atau pusat karaoke berada di atasnya. Apa akan terjadi kepada niat asal pewakaf tersebut? Itu Saiburi Sudin kena terangkan.

SS: KT masih tak faham kaedah istibdal. Jenuh kena terang balik dari a,b,c.. Istibdal ialah pindah wakaf ke tempat lain yang lebih besar manfaatnya. Dalam kes ni 10 orang ahli Majlis fatwa putuskan boleh dibuat. Bila berlaku istibdal maknanya tanah wakaf asal tu bukan lagi berstatus wakaf sebaliknya berpindah ke tempat lain. Tapak wakaf asal tu akan jadi tangga jejantas dan kawasan lapang. Tidak ada tandas atau karaoke yang akan dibina di atas tapak itu.

Niat pewakaf ialah mahukan ganjaran dan keredhaan Allah dari wakafnya. Jika di tempat wakaf baharu ia lebih dimakmurkan berbanding tempat asal sudah tentulah pewakaf pilih tempat baharu kerana ganjaran yang mengalir lebih besar. Cuma pewakaf yang sudah mati tiada hak berbuat demikian maka kita yang masih hidup inilah kena bantu mereka mendapat ganjaran yang lebih.


KT: Fatwa pertama juga hasil perbincangan Mufti dengan 9 lagi ahli majlis fatwa. Tidak boleh ambil alih selepas dipersembahkan kepada Sultan. Tetapi selepas perjumpaan Amirudin dengan mufti, fatwa kedua keluar tanpa dipersembahkan kepada Sultan. Kita tidak tahu apa yang dibawa atau diterangkan oleh Amirudin. Hanya Allah dan mereka saja yang tahu. Peliknya kenapa belum dipersembahkan kepada Ketua Agama, tanah sudah dijual. Tak pelik ka Saiburi Sudin?

SS: Tanah itu tidak pernah dijual dan tidak akan dijual, kerana proses yang berlaku ialah istibdal iaitu pindahwakaf. Duit pampasan diterima untuk dapatkan wakaf baharu, bukannya pampasan hasil jualan tanah. Kalau proses pengambilan tanah nak ditakrifkan sebagai ‘jual beli’ tanah PUN hingga setakat ini ia belum berlaku. Baca baik-baik penjelasan berikut:

Mai kita ikuti pulak kronologi sebenar isu tanah wakaf Salihiah di bawah ini:


Ada pihak tertentu mendakwa dokumen di bawah ini adalah dokumen pengambilalihan tanah dari pemaju. Kononnya 9 Jun itu adalah tarikh penjualan Tanah Wakaf kepada pemaju.


Sebenarnya dokumen bertarikh 9 Jun itu adalah dokumen mewartakan pengambilan tanah BUKAN dokumen jual beli tanah. Ia adalah prosedur biasa mengikut Akta Tanah sebelum proses pengambilalihan tanah berlaku. Untuk maklumat, sehingga kinipun (31 Januari 2011) tanah wakaf Salihiah belum TERJUAL kepada sesiapa.


Bagaimana kerajaan mewartakan pengambilan tanah sebelum surat rasmi pejabat Mufti dikeluarkan?

Taklimat dan perbincangan antara kerajaan negeri, PKNK dan Majlis Fatwa Negeri Kedah berlaku pada 30 Mei 2011 di Hotel Regency. Hasil perbincangan itu Majlis Fatwa bersetuju pada dasarnya tanah wakaf Salihiah itu ditukar mengikut kaedah Istibdal. Bagaimanapun keharusan tersebut akan diperhalusi lagi oleh mesyuarat rasmi Majlis Fatwa.


Berdasarkan keharusan mengikut kaedah istibdal itu, maka kerajaan mewartakan pengambilan tanah pada 9 Jun 2011 kerana proses pengambilan tanah memerlukan masa yang panjang kerana melibatkan langkah yang banyak. Jadi ia kena dibuat lebih awal. Kerajaan melantik PKNK sebagai ejen pengambilan tanah. SEANDAINYA keputusan Majlis Fatwa berubah selepas itu pun, tanah masih selamat berada di tangan kerajaan. Proses pindahmilik hanya akan dipastikan berlaku apabila Majlis Fatwa mengeluarkan surat rasmi.

(Stop sat..kena buat contoh bagi faham. 30 Mei 2011 tu ialah baru majlis merisik, bapak budak pompuan kata setuju. Jadi pada 9 Jun 2011 tu baru keluarga budak jantan tu umumkan nak buat majlis pertunangan. Baru umum nak bertunang, tak bertunang lagi. Kalau ada orang kata, 9 hb tu budak jantan dak pi prakk.. opss, dah pi menikah dgn pompuan tu, itu tuduhan jahat. Tak betoi tuu.)

Seterusnya warta pengambilan tanah disiapkan pada 16 Jun 2011 dan dipamerkan pada papan kenyataan pejabat tanah dan galian dan pejabat daerah pada 3 Julai 2011.


Perbicaraan yang melibatkan pengambilan tanah wakaf Salihiah berlaku pada 17 Ogos 2011 dengan pihak MAIK bersetuju menerima pampasan dengan jumlah tertentu.


Ia berlaku selepas Mufti mengeluarkan surat rasmi keputusan Majlis Fatwa pada 3 Ogos 2011.


Di sini JELAS bahawa proses pengambilan tanah hanya berlaku setelah pejabat Mufti keluarkan surat rasmi berhubung keputusan fatwa kepada PKNK!


Perbicaran pengambilan tanah sepatutnya berlaku pada 25/26 Julai 2011 melibatkan pemegang amanah tanah wakaf (MAIK) tetapi tidak ada apa-apa keputusan dibuat pada hari itu ataupun perbicaraan pada hari itu ditangguh untuk menunggu surat rasmi Majlis Fatwa. Kerajaan pun reti hukum hakam, depa tak buat sewenang-wenangnya.


Sekarang pengambilan tanah telah berlaku, pampasan dibayar tetapi HAKMILIK sementara sekarang ini sehingga selesai proses..ialah PKNK. Semua sekali tanah yang terbabit dengan projek Aman Central itu pun masih ditangan PKNK sebagai ejen pengambilan, belum lagi berpindah ke tangan pemaju.


Mokalu KT tu kata tanah wakaf Salihiah sudah dijual pada pemaju, maka ia pembohongan besaq!


KT: Hahah yang ini memang Saiburi Sudin tak jawab pun. Selepas ditanya bertalu-talu Mufti cakap belum dipersembahkan kepada Sultan lagi tetap sahnya tanah sudah dijual. Bila mufti mengadap Sultan, Sultan hanya menyuruh 'ianya diselesaikan di mahkamah'. Apa maknanya ini? Sultan tak perkenan fatwa kedua ka?

SS: SS tak boleh jawab bagi pihak Mufti atas perkara teknikal, sebab maklumat itu hanya ada pada Mufti. Mungkin kelemahan mereka tidak menyegerakan pemakluman atau ada sebab-sebab lain. Isu besarnya ialah ‘keputusan’ Majlis Fatwa itu memihak kepada kerajaan negeri, maka keputusan berdasarkan muzakarah para ulamak besar itu lebih tinggi nilainya dari mana-mana manusia pun yang bukan ulamak. Tidak betul mendakwa Tuanku Sultan titahkan supaya isu diselesaikan di mahkamah. Mufti yang maklumkan kepada Tuanku bahawa pihak tertentu (puak2 tuulah) dah bawa isu tersebut ke mahkamah. Titah Tuanku, kalau dah jadi kes mahkamah biar mahkamahlah buat keputusan. Memang tepat sekali sikap Tuanku tu! Bukan kerana Tuanku tak berkenan keputusan fatwa.. itu sangkaan jahat terhadap seorang raja dari pihak yang berhati jahat.


KT: Kenapa tanah sudah dijual sebelumpun fatwa kedua tidak dipersembah kepada Sultan? Maka benarlah telahan Anak Didik KUIN. Fatwa kedua tidak diwartakan oleh Sultan pun tapi tanah sudah dijual kepada kafirin. Islamik ka Saiburi Sudin?

SS: Isu ‘tanah sudah terjual kepada kafirin’ telah dijawab panjang lebar di atas. Hakikatnya tanah wakaf itu tidak pernah terjual!


KT: Mungkin duit komisien telah diambil sebab tu cepat-cepat tanah diserahkan kepada kafir.

SS: Seorang pencuri kalau terjumpa duit di atas jalan akan mengambil duit itu kerana dalam fikirannya “Kalau aku tak curi, orang lain akan curi jugak.” Sebab dalam fikiran orang jahat, semua orang jahat macam dia juga. Dalam fikiran orang UMNO yang jadi penguasa meluluskan projek, setiap projek aku mesti sapu komisyen. Itu amalan mereka sewaktu berkuasa di peringkat Pusat mahupun negeri. Mereka silap kalau fikir orang PAS yang kenal halal haram, dok sapu komisyen projek macam depa jugak. Orang PAS berpegang kepada pesan Rasulullah SAW, “Daging yang tumbuh subur dari perkara yang haram, maka api neraka adalah lebih layak untuknya.”

KT: Kedah Times cuma nak beritahu yang Madrasah tersebut berada di atas tanah wakaf. Apa salahnya dikekalkan, kenapa nak dirobohkan? Lagipun tak perlu la bina surau baru dalam kompleks Aman Central. Orang ramai boleh datang solat dan imarahkan Madrasah ini. Betul tak Saiburi Sudin? Kedah Times nak minta supaya Saiburi Sudin pi melawat mana-mana surau di Kedah. Ada yang diletak pad lock pagarnya kerana kepala paip dan sejadah pun sudah dicuri sekarang ni. Bukan ka PAS memerintah, Kedah sepatutnya lebih sejahtera!

SS: Surau nak dibuat lebih besar, lebih luas, ada menara, ada kubah, lebih gah dan terserlah. Madrasah Salihiah tu orang tak perasan kata surau, takdak rekabentuk surau pun, kubah pun tak ada. Satu lagi, surau Salihiah cuma boleh isi 50 orang, surau baru dicadangkan sampai 400 orang dalam satu masa. Pad lock kat surau laa ni bukan kerana nak jaga barang-barang surau tapi kerana nak jaga reta meredak pejabat insuran. Pencuri wujud sejak zaman Nabi Adam lagi, masa tu PAS belum ditubuhkan. Memang Kedah Sejahtera kerana PAS perintah, cuma masalahnya Kedah juga turut diperintah oleh BN sebagai Kerajaan Pusat. Itu pasai sekerat sejahtera (di bawah PAS), sekerat tak sejahtera (di bawah BN). InsyaAllah bila PAS perintah Pusat dan Negeri esok, semua jadi sejahtera.


KT: Soal sembahyang Maghrib, Asar ka itu adalah tugas JK dan penduduk sekitar tersebut. Yang penting kenapa dijual tanah wakaf. RM1.48 juta tu memang dah konform ka nak bina surau?

SS: Tanah tidak dijual cuma istibdal. RM1.48 juta akan diguna sepenuhnya untuk bina wakaf baharu tak kiralah surau ka, sekolah agama ka, masjid ka... yang penting manfaatnya lebih besar dari yang ada sekarang.


KT: 4 Tahun PAS memerintah kedah, sudah berapa masjid atau surau dibina? Markaz Pas ada la!

SS: Semua khariah di Kedah sudah ada masjid masing-masing. Tak perlu ada dua masjid dalam satu khariah kerana boleh memecahbelahkan ahli khariah. Kerajaan Negeri BN dulupun tak bina sebuah pun masjid dengan duit negeri, semuanya peruntukan Pusat. Kenapa Kerajaan Pusat PAS tak bina masjid? PAS belum perintah kerajaan Pusat abang oii.. nanti bila perintah kita akan naiktaraf semua masjid yang agak uzur berbanding kerajaan Pusat BN laa yang lebih utamakan projek lembu dari baiki masjid.
Bagimanapun sepanjang 4 tahun memerintah Kedah sudah berpuluh buat surau yang dibina menggunakan peruntukan negeri, disalurkan melalui UPEN atau Pejabat Daerah.


KT: Kita pun hairan kenapa perlu tanah diserahkan kepada kafir untuk dijadikan sebahagian tapak kompleks komersial. Apa salahnya istibdal dengan memperbesarkan lagi surau Salihiah tersebut atau perelokkan lagi supaya pengunjung kompleks boleh tumpang berjemaah. Kenapa nak korbankan tanah wakaf tersebut?

SS: SS pulak hairan kenapa di zaman BN dulu tanah wakaf di Jalan Putra dibangunkan Menara Sentosa diserahkan kepada kafir berniaga hampir 100 peratus, sampai laa ni cuba pi tengok. Zaman BN dulu ada jualan arak kat shopping kompleks tu. Yang paling SS hairan ialah kenapa orang UMNO tak lawan hangit macam depa lawan isu salihiah laa ni? Mokalau UMNO..bela babi dalam masjid pun boleh? Lu halam wa halal..Macam tuu ka?
Memang surau baru yang akan dibuat di kompleks tu lebih besar, elok dan gagah..tak larat nak habag dah aih..!


KT: UMNO berjuang berprinsipkan Aliff Baa Taa - agama, bangsa dan tanahair. Perkasa berprinsipkan Melayu dan Islam. Hassan Ali dengan IMRnya. Cuma kita tak tahu PAS berjuang berdasarkan apa? Nak tau jugak. Dulu katanya Islam matlamat kami, tapi kenapa kini timbul pula negara berkebajikan. Islam dah hilang kemana? Herrmmm baru Kedah Times faham kenapa Saiburi Sudin dan PAS sanggup jual tanah wakaf yang ada madrasah di atasnya. Perjuangan PAS adalah berdasarkan arahan DAP dan PKR!

SS: Ni dah merawit isu lain pulak.. tak apa SS tetap akan jawab. Tunggu selepas ini...

Warta Darul Aman

Arkib