Kedah La

Kedah La versi baharu. Menggerak hati nurani dan pemikiran rakyat Kedah untuk melakukan perubahan dalam PRU14 nanti.

Terkini dari Kedah La

Saturday, June 18, 2011

UMNO sedang berada di puncak KETAKUTAN

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA
(Ehsan Kedah Lanie)


Puas Umno melalui semua media mereka menjolok PAS berhubung isu negara Islam, namun tiada seorang pun pemimpin PAS dari atas hingga ke bawah yang melatah. Umno benar-benar kebingungan.

Tindakan PAS mengutarakan negara berkebajikan dalam muktamar parti yang ke 57 tidak membawa sebarang perubahan terhadap dasar parti. Antara negara berkebajikan dan negara Islam, bukan dua konsep yang eksklusif antara satu sama lain. Ia bukan antara Islam dan kafir, di mana hanya salah satu pegangan mesti dipatuhi.

Negara berkebajikan adalah intipati negara Islam tetapi rakyat lebih mudah mentafsir negara berkebajikan dari mereka mentafsir mengenai negara Islam. Rakyat bebas memberi apa sahaja maksud mengenai negara berkebajikan kerana maksud ‘kebajikan’ tiada yang negatif. Sedangkan negara Islam, sekalipun Islam itu mulia tetapi tafsiran mengenainya bermacam-macam.

Dengan manipulasi oleh pihak Barat, dibantu oleh momokan jahat jentera propaganda BN dalam negara, istilah negara Islam menjadi fobia kepada sesetengah pihak. Hudud misalnya cuma satu aspek dalam negara Islam yang mewakili tidak sampai satu peratus dari keseluruhan Islam yang syumul tetapi hudud dimomokkan oleh jentera propaganda BN sebagai tunggak utama negara Islam yang mesti ditakuti terutama oleh bukan Islam.

BN menguasai media, justeru mereka boleh meyakinkan rakyat bahawa ‘ubat makjun itu taik kambing dan taik kambing itu sebagai makjun’. Ini dilakukan BN sudah separuh abad dalam negara yang majoriti rakyatnya Melayu Islam, tetapi keyakinan yang kental terhadap Islam tidak menjadi suara majoriti di kalangan Melayu Islam.

Isu PAS menolak negara Islam bukanlah baru. Pada pilihanraya umum 1990 sewaktu PAS bertahalluf dengan Parti Melayu Semangat 46, PAS menggunakan frasa ‘menjadikan Islam sebagai addin’ dalam manifesto Angkatan Perpaduan Ummah. Wartawan menjolok Ketua Penerangan PAS Pusat, Haji Subky Latiff mengapa dalam manifesto tidak disebut istilah negara Islam?

Subky menjelaskan bahawa sejak sekian lama pun, istilah negara Islam tidak pernah disebut dalam manifesto PAS. Besoknya semua media melaporkan bahawa PAS telah menggugurkan matlamat menegakkan negara Islam. Jika isu negara Islam dimainkan semula hari ini, maka ianya cuma ulang tayang filem lama untuk generasi baru. Bezanya dahulu filem hitam putih, sekarang warna.

Bezanya juga sekarang para pemimpin serta ahli-ahli PAS matang dan tidak melatah. 20 tahun lalu terdapat juga segelintir yang melatah sehingga mewujudkan kumpulan Islah. Peliknya sebahagian anggota Islah yang tertipu dengan manipulasi Umno itu akhirnya berada atas pentas UMNO menyerang PAS, walhal Umno bukan setakat pada istilah, dalam angan-angan pun hasrat untuk Islam didaulatkan.

Sekarang apabila konsep negara berkebajikan difokuskan oleh PAS, ia mendapat sokongan dari kalangan ulamak non partisan, NGO hinggalah masyarakat bukan Melayu. Semua maklum bahawa pengundi bukan Melayu berpihak kepada pembangkang atau Pakatan Rakyat bermula Mac 2008. Tetapi episod demi episod ledakan perkauman yang berlaku dalam negara, sama ada oleh Umno atau rakan kongsi mereka Perkasa, sekonyong-konyong muncul pula penegasan PAS terhadap negara berkebajikan, maka sokongan bukan Melayu menjadi bertambah-tambah. Ada yang menganggarkan sudah melebihi 70 peratus berbanding sekitar 60 peratus pada PRU ke 12.

Umno berhempas pulas mengacah PAS, melakukan provokasi kononnya PAS sudah meninggalkan perjuangan Islam demi mengikut telunjuk DAP tetapi yang termakan dakyah Umno itu hanyalah penganut Umno yang tanpa manipulasi isu negara Islam pun mereka tidak pernah mengundi PAS selama ini. Pemimpin PAS sedar, tujuan provokasi itu ialah supaya PAS mengeluarkan kenyataan yang boleh menjarakkan sokongan bukan Melayu.

Jika Umno benar-benar ikhlas untuk menegakkan negara Islam mengapa mereka tidak lakukan sekarang, sewaktu mereka di persada kuasa? Mengapa sibuk mencanang kononnya PAS tidak mahu buat, sedangkan mereka juga tidak buat? Dalam waktu yang sama Umno memberitahu bahawa mereka sendiri sudah pun mewujudkan negara Islam. Habis, kalau Umno dah tegakkan negara Islam nak tunggu PAS buat apa lagi? Umno kelu untuk menjawab. Semua serangan kembali membelit leher mereka.

Di saat Umno tenggelam punca menghadapi kebangkitan imej PAS, imej Anwar gagal dilenyapkan. Mereka melakukan apa sahaja, menayangkan video lucah kepada tok-tok imam, mengedarkan video lucah kepada kanak-kanak dan menggunakan cawangan Khas untuk memusnahkan imej Anwar dalam ceramah terbuka tetapi hasilnya setiap ceramah Anwar didatangi lautan manusia.

Himpunan 300 ribu rakyat untuk Bersih 2.0 jika berjaya diadakan menepati sasaran akan meletakkan Najib berada pada kedudukan Hosni Mubarak. Ia bukan mustahil. Kebangkitan rakyat akan berlarutan dan diterjemahkan hingga ke peti undi. Segala kekayaan mereka serta kroni akan runtuh dalam sekelip mata. Rakyat akan berpusu-pusu ke mahligai Perdana Menteri di Putrajaya untuk membilang beg tangan berjenama milik Rosmah Mansor. Igauan seperti ini membuatkan UMNO sekarang sedang berada di puncak ketakutan.

Secara kebetulan sewaktu PAS memberi penekanan terhadap negara berkebajikan, Parti Kebajikan (AK) di Turki mencatat kemenangan paling besar sepanjang tiga penggal pilihanraya. Pemimpin AK ialah Reccep Taib Erdogan yang namanya dijadikan simbol kumpulan Erdogan (kononnya) yang menguasai PAS sekarang. Semuanya memberi imej positif terhadap PAS.

Bila sampai masa Umno akan tumbang, segala yang mereka buat serba tak kena termasuk tuduhan buruk yang dicipta untuk pihak lain pun akan jadi positif.

Warta Darul Aman

Arkib