Kedah La

Kedah La versi baharu. Menggerak hati nurani dan pemikiran rakyat Kedah untuk melakukan perubahan dalam PRU14 nanti.

Terkini dari Kedah La

Friday, June 17, 2011

PAS nak ganti UMNO, UMNO pula dalam proses mengganti PAS

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA (Nota Utara)

Masihkah kalian ingat zaman di mana PAS menjadi pembangkang sewaktu UMNO dan BN sangat kuat? Hampir keseluruhan isu ceramah politik diisi dengan pendedahan penyelewengan atau apa saja cerita kebobrokan dalam BN dan oleh BN. Penghodohan imej para pemimpin BN dibuat dengan bersungguh-sungguh. Semua isu dalaman BN dikorek dan didedahkan semahunya, sehingga ada orang bertanya, “Pembangkang asyik dedah keburukan BN, pembangkang buat apa?”

Dulu dalam ceramah PAS seolah-olah begitu berminat tentang isu dalaman UMNO, kisah rumahtangga UMNO yang berantakan serta kem-kem yang wujud.

Dahulu juga setiap dasar yang diperkenalkan kerajaan BN akan menerima ulasan negatif berserta huraiannya yang bertali temali. Dasar Pandang Ke Timur, pengswastaan, Wawasan 2020, Islam hadhari; semuanya menjadi bahan persendaan yang dihuraikan sehingga ke kekupasan yang professional daan akademik. BN yang memerintah pula tidak sangat memperdulikan akan segala kritikan PAS. Bagi mereka PAS tidak mampu mempengaruhi pemikiran sebahagian besar rakyat, justeru tidak perlu dilayan.

Kini, selepas Pakatan Rakyat menawan lima negeri pada PRU ke 12, pengisian ceramah PAS sudah berubah. Sebahagian untuk menceritakan kejayaan pentadbiran negeri yang dikuasai dan sebahagian lagi perihal kebobrokan BN.

Apabila PAS menoleh ke belakang, rupanya apa yang ditinggalkan berdekad lalu itu kini menyelinap masuk ke jiwa para pemimpin UMNO.

Apa tidaknya, kini PAS mendapat perhatian yang sangat istimewa dari UMNO. Setiap ‘pergolakan’ yang berlaku dalam PAS mendapat liputan luar biasa dari media-media UMNO. Setiap program anjuran PAS juga diberi perhatian.

Media-media UMNO kini mengulas isu ‘negara berkebajikan’ sepertimana PAS mengulas Wawasan 2020 suatu masa dulu. Bersungguh-sunguh sekali mencari fakta untuk dikritik.

Tumpuan yang diberikan pada pemilihan PAS dalam Muktamar Tahunan ke 57 lalu, mengingatkan kita kepada perhatian yang diberikan terhadap pemilihan UMNO tahun 80an; pertembungan Mahathir-Ku Li. Meskipun ‘perebutan’ dalam PAS hanya manipulasi dan pembikinan persepsi oleh media-media UMNO tetapi akibatnya ia menarik tumpuan seluruh rakyat Malaysia terhadap PAS.

Penulis mula menjejakkan kaki ke Harakah sebagai wartawan sewaktu pertembungan Mahathir-Ku Li dan dapat menyaksikan keghairahan lidah rasmi PAS ini memanipulasi isu dalaman UMNO waktu itu. Meskipun tengah bergolak tetapi realitinya waktu itu UMNO jauh lebih kuat dari PAS.

Sebagai pembangkang dahulu, khususnya sewaktu Dato’ Mahfuz Omar memimpin pemuda, PAS selalu bertandang ke balai polis. Laporan demi laporan dibuat terhadap pelbagai isu yang berlaku dalam kerajaan pimpinan BN. Sekarang pun PAS tidak pernah terpisah dari membuat laporan polis, namun tidak seghairah dulu.

UMNO pula kini bersama NGO seperjuangan mereka yang tidak habis-habis berkunjung ke palai polis membuat laporan demi laporan. Sejak Mac 2008 hingga kini sudah beribu laporan polis yang dibuat berhubung pelbagai isu. Terbaru isu perhimpunan Bersih 2.0 yang dijadual 9 Julai nanti mendapat liputan, perhatian dan laporan polis oleh UMNO dan konco-conco mereka. Sehingga rencana ini ditulis kira-kira 500 laoran polis dibuat berhubung isu tersebut.

Begitu juga dengan perhimpunan kecil-kecilan mengangkat sepanduk, membuat bantahan dalam pelbagai isu. BN dan rangkaian mereka yang kini menjuarainya sehingtga PR tertinggal ke belakang dalam kerja-kerja ‘mengangkat sepanduk’. Kini PAS dan PR lebih bertumpu kepada perhimpunan yang lebih besar, himpunan kecil-kecilan diserahkan kepada BN, Perkasa serta rakan kongsi mereka yang lain.

Dahulu PAS tidak memilih isu. Membujur lalu melintang patah, dari sekecil-kecil itu hingga sebesar-besarnya, semua isu dieksploit. Bungkusan sampah pun dihempas ke meja Datuk Bandar kerana memprotes. Kini PAS semacam tidak berminat lagi terhadap isu remeh temeh, kalau ada pun dimainkan ala kadar. Isu besar yang lebih diberi perhatian.

Namun kini, BN pula yang mengambilalih kerja PAS dulu, menyelongkar setiap tong sampah mencari modal menyerang lawan. Baru-baru ini hampir semua media maya BN di Kedah menyerang Senator Mohd Yusof Husin (PAS) kerana membeli selori batu dari BINAK sebuah anak syarikat kerajaan negeri. Beliau didakwa menyalahgunakan GLC kerana membawa selori batu dan meratakannya di halaman rumahnya. Pening juga mencari apa ‘penyelewengannya’ tetapi itulah hakikatnya UMNO kini sudah tidak kenal lagi yang mana satu isu. Senyumlah sikit, kerana PAS dulu pun begitu.

Ikutilah semua media utama dalam negara kini, perhatian BN terhadap PR sangat luar biasa. Mendengar siaran berita TV3 seolah-olah mendengar ceramah politik BN. Ceramah-ceramah politik BN tidak lagi bercerita tentang kejayaan BN, tetapi dari A sampai Z mengutuk PR.

Semua yang dilakukan BN serta rangkaian mereka kini adalah apa yang telah dilakukan dengan penuh kesungguhan sewaktu PAS menjadi pembangkang tanpa negeri dahulu. Nampaknya kini, bukan setakat berlaku proses PAS mengganti UMNO tetapi UMNO juga sedang bergerak menggantikan PAS sebagai pembangkang. UMNO sedang perlahan-lahan menjiwai watak pembangkang. UMNO sedang membiasakan diri untuk menjadi pembangkang dan ia bakal jadi kenyataan.

Warta Darul Aman

Arkib