Kedah La

Kedah La versi baharu. Menggerak hati nurani dan pemikiran rakyat Kedah untuk melakukan perubahan dalam PRU14 nanti.

Terkini dari Kedah La

Tuesday, June 14, 2011

Mengapa BN menggigil ketakutan dengar Negara Kebajikan?

Oleh: SERIKANDI MUJAHIDAH

Serupa satu trauma kepada UMNO/BN bila mendengar PAS menawarkan konsep negara berkebajikan kepada rakyat Malaysia sekiranya Pakatan Rakyat menang dalam pilihanraya ke-13 ini.


Pelbagai andaian yang direka-reka mengikut pandangan mereka melaung-laung, menjerit-jerit samada di televisyen mahu pun di akhbar-akhbar.Takutnya bagaikan seekor harimau ganas sedang berhadapan dengan mereka sekaligus ingin membaham kepala mereka hidup-hidup.

Maka berkatalah orang nombor satu di Malaysia bahawa konsep kebajikan telah lama diamalkan oleh kerajaan UMNO/BN. Terharu Serikandi mendengarnya hinggakan meleleh air liur.. (al-maklum terlalu terharu). Maka seperti biasa, pengikut-pengikut setia orang nombor satu tersebut turut mengiya-iyakan butiran mutiara yang keluar dari mulutnya. Bak lirik sebuah lagu ‘angguk-angguk, geleng-geleng, iya-iya, saya-saya..’, lebih kurang begitulah.

Serikandi ni tidak la pandai sangat tapi seingat Serikandi apa kebajikan yang telah dibuat oleh kerajaan UMNO/BN kepada rakyat selama ini. Kemudahan asas rakyat, tidak ada yang percuma malah semakin lama semakin naik dan mahal harganya. Negara pengeluar minyak tapi rakyat terpaksa membayar nilai yang tinggi untuk menggunakannya. Sudahlah harga minyak naik, harga makanan juga turut naik. Tol juga naik, servis perkhidmatan juga naik.

Kita lihat kepada pendidikan pula, nama saja sekolah kerajaan tapi bayaran untuk awal tahun membebankan ibu bapa. Dari sekolah rendah hingga menengah, masuk pula universiti, PTPTN pula. Gagal bayar, disenarai hitamkan. Dimana kebajikan yang dilaungkan oleh kerajaan UMNO/BN?

OKU, ibu tunggal, orang-orang tua yang uzur dan tidak berkemampuan, dapat bantuan dari JKM tapi tidak setimpal dengan ekonomi sekarang. Sedangkan Mem besar isteri solehah orang nombor satu Malaysia, harga sebuah beg tangannya sahaja boleh mendirikan beratus buah rumah kos rendah. Itu tidak termasuk harga sewa bilik hotelnya yang boleh menampung pengajian beribu-ribu pelajar-pelajar kita. Belum lagi pakaian, alat solek entahkan kos-kos tersebut boleh biayai perbelanjaan beribu orang ibu tunggal dan orang miskin dalam setahun.

Bila PAS menawarkan konsep negara berkebajikan mereka mula mengelabah. Penganalisa politik, Dr Zainal Kling mengeluarkan kenyataan di dalam akhbar Sinar bertarikh 14 Jun 2011 mengatakan konsep negara berkebajikan itu sudah lama diamalkan di negara-negara barat seperti New Zealand dan Australia dan natijahnya negara tersebut gagal.

Beliau juga mengatakan idea negara berkebajikan ini merupakan idea lapuk dan ketinggalan zaman. Katanya lagi, sedangkan dua negara tersebut yang telah lama memerintah turut gagal, inikan pula PAS yang tidak mempunyai pengalaman.

Yang menarik minat Serikandi, katanya kerajaan akan jatuh miskin dan rakyat akan susah. Kemudian dia tuduh pula apa yang PAS laungkan itu merupakan cita rasa Pakatan Rakyat (PR) dan menjurus kepada usaha memenuhi kehendak DAP.

Mungkin dia terlupa bahawa kebajikan itu merupakan ajaran Islam. Islam mengajar penganutnya membuat kebajikan sesama manusia, lebih-lebih lagi bernegara. Di mana rasionalnya sesebuah negara yang mengamalkan konsep berkebajikan akan jatuh miskin dan rakyat akan susah.

Bagi Serikandi, semuanya itu berbalik kepada urusan pentadbiran sesebuah negeri atau negara. Sekiranya pemimpinnya bersifat telus dan mengamalkan sifar rasuah, tidak akan wujud istilah negara atau negeri yang akan jatuh miskin. Yang menjadi masalah sekiranya dalam pentadbiran negara atau negeri wujudnya sistem ‘satu untuk kau, dua untuk aku, tiga untuk kau, empat untuk aku…akhirnya…kosong untuk rakyat’.

Pendapatan negara/negeri bukan masuk ke kantung negara/negeri tapi masuk ke kantung peribadi. Pemimpin kaya, rakyat merana. Pemimpin bermewah-mewah, bina rumah seperti mahligai, belanja duit rakyat untuk kepentingan diri sendiri, bila negara/negeri semakin bangkrap, rakyat terima padah, naik harga barang, naik itu naik ini.

Kita ambil contoh Negeri Kedah (sebab Serikandi tinggal di Kedah), dalam usia pemerintahannya baru tiga tahun, pelbagai sumbangan dan bantuan kepada rakyat dapat dihulurkan. Skim Kafalah, sumbangan guru-guru Al-Quran dan bidan-bidan, wang saku kepada pelajar IPT dalam dan luar negara, pembangunan sekolah agama rakyat, naik taraf guru-guru sandaran kepada guru tetap, sumbangan kepada sekolah dan hal ehwal bukan melayu dan lain-lain kebajikan yang dihulurkan.

Pendapatan balak semakin meningkat. Penebangan keluasan yang sama iaitu 4323 hektar semasa pemerintah UMNO/BN dulu pendapatan berbeza. Tahun 2007 hanya RM8 juta sahaja sedangkan pada tahun 2008 meningkat kepada RM32 juta, 2009 RM35 juta, 2010 melambung kepada RM56 juta. Anak-anak syarikat kerajaan negeri membawa pulangan RM300 juta kepada negeri. Benda-benda ini semua tidak diperolehi pada masa UMNO/BN memerintah dulu. Bila kantung negara/negeri penuh, maka rakyat akan terima nikmatnya. Nak susah kat mana, nak miskin kat mana.


Selangor contohnya, negeri yang kaya dapat memberi perkhidmatan air percuma kepada rakyatnya. Ini dinamakan nikmat kebajikan oleh rakyat.

Serikandi rasa UMNO/BN ini sebenarnya takut kepada konsep tersebut yang terang dan nyata tidak dapat dilaksanakan oleh mereka walau pun sudah 50 tahun memerintah Malaysia.

Apa lagi, wahai semua pengundi budiman, apa lagi yang ditunggu. PAS atau Pakatan Rakyat tidak menjual janji kosong kepada rakyat. 4 negeri boleh dicontohi….tunggu apa lagi..kasi tumbang UMNO/BN menyungkur bumi…tika itu mungkin keinsafan menjelma di hatimu.

Warta Darul Aman

Arkib