Kedah La

Kedah La versi baharu. Menggerak hati nurani dan pemikiran rakyat Kedah untuk melakukan perubahan dalam PRU14 nanti.

Terkini dari Kedah La

Monday, June 27, 2011

MB Kedah tunggu buku jawapan dari UMNO


ALOR SETAR - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak bersedia
menanti kemunculan buku jawapan daripada UMNO Kedah berhubung
ketidakpuasan hati mereka terhadap buku 'Pencapaian Kedah Sejahtera'.
Katanya, sekiranya pemimpin UMNO tidak berpuas hati dengan penjelasan
dalam buku berkenaan, mereka boleh menerbitkan buku jawapan untuk
menidakkan kesahihan fakta dalam buku terbitan Kerajaan Negeri itu.

"Tidak mengapa jika ada pihak tidak puas hati tentang penjelasan
kejayaan manifesto itu, yang penting mesej kepada rakyat sampai. Saya
sedia tunggu pemimpin UMNO buat kajian semula terhadap penjelasan buku
itu dan jawab semula berdasarkan penilaian mereka," katanya.

Azizan mengulas kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah,
Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, yang mempertikai kesahihan fakta buku
'Pencapaian Kedah Sejahtera' yang memperjelas pencapaian Kedah
berdasarkan janji manifesto Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12). UMNO
Kedah turut bercadang menerbitkan sebuah buku bagi menjawab segala
penjelasan dalam buku berkenaan dalam masa terdekat.

Azizan berkata, pihaknya pelik dengan sikap pemimpin UMNO yang
'ghairah' sebelum ini mahu kejayaan manifesto PRU12 diedarkan untuk
tatapan umum, namun apabila diedarkan, timbul pula persepsi lain.
"Dulu mereka juga yang beriya-iya minta pencapaian itu diedarkan pada
semua orang, bila kita hebahkan, timbul pula cerita lain dakwa ianya
pembohongan. Jika mereka tidak puas hati kemukakan hujah mereka,"
katanya.

Mengulas mengenai hasrat pemimpin UMNO yang akan membangkitkan semula isu manifesto dalam Sidang DUN akan datang, Azizan berkata, pihaknya
tiada masalah untuk menjawab segala persoalan yang dibangkitkan."Itu
hak mereka untuk bangkitkan apa jua soalan dalam Sidang DUN. Saya
tiada masalah untuk buat penjelasan isu berkenaan walaupun ianya telah
ditulis secara jelas dalam buku itu," katanya.

Azizan berkata, pandangan parti pembangkang mengenai pencapaian
manifesto itu seperti yang dipaparkan dalam buku berkenaan tidak
penting, kerana penilaian rakyat adalah lebih utama."Yang penting
rakyat tahu apa kita buat di Kedah. Biarlah rakyat buat penilaian,
buku itu sekadar jadi rujukan. Malah saya andaikan kebanyakan daripada
kejayaan manifesto turut melibatkan rakyat secara tidak langsung,"
katanya.

Secara sinis, Azizan berkata, hanya ahli Pas yang tahu apa janji-janji
manifesto dan bukannya pihak luar, terutama parti lawan.

Menurutnya, apa yang dipaparkan dalam buku itu semuanya berlandaskan
fakta sebenar dan Kerajaan Negeri telus dalam perinciannya, ini
dibuktikan apabila beberapa perkara yang belum dicapai dan dalam
perancangan turut disertakan.

"Kita telus dan nyatakan apa yang telah dicapai termasuk tujuh perkara dalam manifesto yang belum dilaksanakan. Kita tidak berselindung dalam perkara ini," katanya. (Sinar Harian)

Warta Darul Aman

Arkib