Kedah La

Kedah La versi baharu. Menggerak hati nurani dan pemikiran rakyat Kedah untuk melakukan perubahan dalam PRU14 nanti.

Terkini dari Kedah La

Tuesday, June 14, 2011

Mat Sabu: Zaman sekolah pun orang akan ungkit

Oleh: Malaysiakini

Tanpa disangka, individu yang melangkah keluar daripada kenderaan Proton Savvy berwarna hijau muda itu merupakan timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu.Walau tidak berkereta mewah, beliau tetap kelihatan segak dengan jaket gelap dan rambut tersikat rapi serta senyum yang jarang lekang dari bibirnya.



“Ini sebab nak jumpa duta Syria, kalau tidak saya pakai T-shirt saja,” kata bekas ahli parlimen itu yang kelihatan agak malu-malu dengan pakaiannya hari itu.

Temubual dengan Malaysiakini dijalankan di ruang restoran sebuah hotel di Petaling Jaya – lokasi pertemuan yang difikirkannya sebagai tempat paling "adil" bagi wartawan yang datang dari arah Kuala Lumpur dan beliau sendiri dari Shah Alam.

Isu keadilan merupakan topik utama perbualan pada pagi itu, malah ditegaskannya sebagai satu sebab utama beliau menyertai PAS pada tahun 1982.

Mohamad membuat kesimpulan itu berdasarkan pemerhatiannya ketika berkempen untuk PAS ketika masih bersama pertubuhan Angkatan Belia Islam pada 1978.

Timbalan perdana menteri pada masa itu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengehadkan ceramah oleh parti pembangkang dalam kempen pilihan raya pada tahun berkenaan, kata Mohamad lagi dalam temubual pada Rabu lalu.



"(Mahathir) bebas bersyarah di sekolah, padang sekolah dan PAS tak boleh. Waktu itu hanya boleh berceramah dalam rumah. Saya nampak terlalu tak adil. Kalau itu demokrasi di Malaysia maka sangat teruk.

Demi 'demokrasi'

"Jadi saya balik lepas PAS kalah teruk, tinggal dua kerusi sahaja. Saya terus ke pejabat PAS ambil borang jadi ahli pas. Jadi saya sertai PAS bukan sebab dasar Islam atau bukan Umno – atas demokrasi.

"Waktu itu (saya) tak tahu hal-hal dasar (PAS) dan sebagainya, dan perjuangan (untuk) demokrasi dari dulu sampai sekarang," katanya yang popular dengan nama gelaran Mat Sabu.

Atas dasar itulah juga Mohamad meletakkan dirinya sebagai penggerak utama kepada perhimpunan 40,000 rakyat pada November 2007 bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil.

Dalam kedudukannya kini sebagai timbalan presiden, Mohamad Sabu kembali sebagai teraju utama bagi perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai yang telah diluluskan PAS sebagai acara wajib untuk disertai oleh anggota parti itu.



Ketika ditanya, Mohamad berkata beliau yakin untuk terus mendapat sokongan dalam parti walau memegang pendirian yang berbeza dengan pemimpin lain dalam parti itu.

"Tak apa. Pandangan berbeza (anggota parti) suka tapi nak ikut dia payah," katanya sambil tersenyum.

Begitu juga halnya apabila beliau terpaksa menjelaskan pendiriannya untuk tidak menerima gelaran 'Datuk' daripada Istana.

"Orang biasa kalau jumpa selalu kata 'kami doa Abang Mat dapat (gelaran) Datuk'. Saya cuma senyum. Itu adalah pandangan umum sebab mursyidul am (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) pun (terima gelaran) itu, jadi saya berdiam sajalah.

"Kalau bercakap benda ini… ini dah bercakap dah ni, nanti dimarah oleh semua orang," katanya lagi sambil ketawa.

Candu agama

Mohamad sedar pandangannya itu akan menimbulkan kemarahan orang dalam partinya sendiri, namun beliau tetap menjelaskan bahawa kalangan pemimpin dalam PAS yang "mengejar" pangkat berkenaan berbuat demikian kerana melihat gelaran tersebut sebagai satu keperluan.


"Mereka ingat ini perlu, bila ini perlu maknanya kita amalkan sistem kasta... Ini pandangan yang berbeza dengan orang lain.

"Tapi saya tak paksa pandangan saya pada orang lain. Ini hal peribadi saya," katanya yang turut mengaitkan penganugerahan pingat seperti itu dengan sistem kelas dan "pemujaan feudalisme."

Mohamad berkata beliau menyetujui petikan dalam satu teks tersohor oleh pengasas sosialisme moden – Karl Marx – bahawa agama merupakan candu bagi rakyat.

"Saya beri ulasan bahawa paderi-paderi menyokong Tsar zalim (sedangkan) upah pekerja tak dipedulikan. Maknanya kalau mahukan perubahan sosial kena tolak agama, dalam pengertian masa itu, yang menyokong kezaliman," katanya lagi.

Katanya, perkara tersebut ditimbulkan dalam satu perbincangan dengan seorang sarjana Jerman dan beliau kemudiannya dijemput ke negara berkenaan untuk memberikan syarahan dan berdialog dengan ahli akademik di situ.



"Benda macam ini yang (buat) orang tuduh saya aliran lain. Ini yang saya tengok ugama disalah guna, salah erti," katanya lagi yang pernah dilabel sebagai pengikut Syiah.

Tambahnya, beliau begitu kagum dengan Ayatollah Khomeini yang memimpin revolusi Iran pada 1979 – peristiwa yang banyak membentuk pemikirannya.

"Kenapa saya sokong Khomeini? Sebab dia menggunakan agama untuk menggerak perubahan melawan Shah. Tapi sekarang di Malaysia, di Negara arab, lebih seperti candu. Ini cukup kontroversi jika saya bawa pandangan macam ini.

"(Kalau) golongan raja atau orang besar buat kesalahan, ada ulama yang cuba lindungi kesalahan ini. Kalau orang bawah buat?," soalnya.

Pengalamannya ditahan bawah ISA, kali pertama pada 1984 dan kali kedua pada 1987, mengukuhkan lagi pandangannya ke atas aspek keadilan sosial.

'Adinda' Lim Guan Eng

Ketika ditahan kali kedua dalam Ops Lalang, beliau mengambil peluang berkenaan untuk mengukuhkan hubungan dengan pemimpin yang turut ditahan pada waktu itu – terutamanya Lim Guan Eng yang sering dibahasakannya sebagai 'adinda'.



Katanya, beliau sering berbual dengan Lim ketika dalam tahanan dan mendapati beliau mempunyai banyak persamaan idea dengan bekas ahli parlimen Kota Melaka itu.

Bagaimanapun, hubungannya dengan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pula nampaknya tidaklah sebaik hubungannya dengan Lim.

Mohamad mengakui bahawa tindakan Anwar yang meninggalkan Abim untuk menyertai Umno pada 1982 telah "memakan hati" anggota pertubuhan berkenaan.

Malah Mohamad turut meninggalkan pertubuhan tersebut sebagai tanda protes ke atas tindakan Anwar menyertai Umno dan kemudiannya menjadi musuh politik "nombor satu" Anwar termasuk bertanding dalam pilihan raya 1986 bagi mencabar Anwar di kerusi parlimen Permatang Pauh.



Hinggakan, beliau sanggup memanggil Anwar yang merupakan timbalan perdana menteri pada masa itu dengan gelaran "Anwar Al-Juburi" dalam satu sidang Dewan Rakyat, ketika isu skandal liwat tersebut memuncak.

Beliau kemudiannya tidak lagi menyerang Anwar yang juga timbalan presiden Umno pada masa itu apabila Anwar dipecat daripada parti dan menubuhkan Parti Keadilan Nasional bagi membentuk kerjasama dengan PAS.

"Dalam Islam, kata yang benar di depan pemerintah yang zalim, bukan yang pencen. Kalau kita serang Mahathir saja tak guna, kita kena serang Najib, Hishammuddin.

Pasca-'Anwar Al-Juburi'

"Serang orang tak berkuasa tak guna sebab dia tak boleh ubah polisi," katanya lagi ketika diminta menjelaskan pendiriannya terhadap Anwar pada masa itu.

Mohamad berkata, walaupun telah kembali bekerjasama dengan Anwar, beliau sendiri tidak pernah mengadakan pertemuan dengan ketua umum PKR itu melainkan di "pentas-pentas ceramah"



Mohamad bagaimanapun mengakui bahawa beliau pernah berjumpa Ummi Hafilda Ali yang kemudiannya menjadi saksi utama dalam kes perbicaraan kes liwat melibatkan Anwar.

"(Itu) dulu, saya ada dengar (Ummi Hafilda) bercakap, saya tak bercakap. Dalam Islam, tuduhan begitu kita mesti jaga. Itu sebab dalam ceramah saya tak bercakap isu itu, banyak isu lain," katanya.

Mengulas mengenai dakwaan terbaru melibatkan rakaman video lucah yang dilemparkan terhadap Anwar, Mohamad berkata bukti terhadap tuduhan berkenaan perlu dikemukakan oleh pihak yang membuat dakwaan itu sendiri.



"Anwar tak mengaku maka pembuktian pada orang menuduh. Pembuktian (kini masih) di awang-awangan. Anwar tak mengaku jadi macam mana nak kata dia (dalam video lucah itu)?," soalnya.

Menyentuh isu khalwat yang dihadapinya pada 1995, Mohamad berkata, isu berkenaan telahpun berlalu dan mahkamah juga telah membebaskan beliau daripada tuduhan berkenaan.

Cerita lama

"Saya tak cakap dah cerita itu. Walaupun Umno bangkitkan cerita itu, ia dah berlalu... Mahkamah dah buat keputusan, saya tak mahu cerita balik.

"Biasalah dalam politik ini, walaupun kejadian di sekolah tingkatan lima akan ditimbulkan, tapi saya anggap perkara berlalu," katanya lagi.



Jelasnya, isu berkenaan juga tidak menjejaskan kredibilitinya pada waktu itu memandangkan beliau tetap berjaya memenangi pertandingan bagi kerusi anggota jawatankuasa pusat PAS pada tahun yang sama.

Ketika dakwaan skandal itu dihangatkan pada 1995, beliau juga berjaya memenangi kerusi parlimen Kubang Kerian dengan lebih 10,000 majoriti undi.

Bekas ahli parlimen Nilam Puri itu turut memenangi kerusi naib presiden pada 2007 dan kini dipilih sebagai timbalan presiden parti.

"Perkara ini, (kalau) betul-betul kita lakukan kesalahan, ahli (PAS) dan rakyat akan hukum. Kalau kita cakap pasal rasuah dan bila memerintah buat rasuah lebih berat, rakyat akan hukum," katanya lagi.

Warta Darul Aman

Arkib