Kedah La

Kedah La versi baharu. Menggerak hati nurani dan pemikiran rakyat Kedah untuk melakukan perubahan dalam PRU14 nanti.

Terkini dari Kedah La

Wednesday, June 22, 2011

'Ada tak kena' di sebalik pertukaran pengarah JKR



Oleh: Harakahdaily

Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) membayangkan "ada benda tidak kena" di sebalik konflik pertukaran Datuk Seri Dr. Judin Abdul Karim dari jawatan Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

Sambil mendakwa ianya seperti menurunkan gred Dr. Judin yang bergred Turus 3 kepada Jusa C, beliau berkata kerajaan cuba menyembunyikan alasan pertukaran itu.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata demikian sebagai mempersoal jawapan bertulis dari JKR yang disentuh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz semasa sesi penggulungan.

"Saya merasakan bahawa ada benda yang tidak kena (dengan pertukaran itu).

"Apakah dia (Dr. Judin) ini jenis yang bukan yes man kepada menteri?" soalnya.

Sebelum ini beliau juga mendakwa pertukaran itu ada kaitan dengan beberapa keputusan projek termasuk pembinaan Istana Negara.

Datuk Seri Dr. Judin Abdul Karim, yang memegang jawatan ketua pengarah JKR sejak Mei 2007 ditukar ke jawatan Ketua Pengarah CIDB berkuatkuasa 1Mei lalu.

Jawatan yang dikosongkan itu kemudiannya diisi oleh Datuk Mohd. Noor Yaacob iaitu Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya II sebelum ini.

Pelantikan Mohd. Noor sebagai sebagai Ketua Pengarah Kerja Raya berkuat kuasa pada tarikh sama diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSU), Tan Sri Mohd Sidek Hassan akhir April lalu.

Bagaimanapun menurut Mahfuz, Dr. Judin "tidak menerima" arahan surat pertukaran oleh Ketua Setiausaha Negara itu dan masih datang ke pejabatnya di JKR.

Akibat dari itu, jawatan itu katanya seolah-olah kini disandang dua orang dan tidak dapat diselesaikan oleh pihak kementerian.

Tambahnya lagi, Jabatan Perkhidmatan Awam juga difahamkan tidak tahu pertukaran tersebut.

Turut mencelah, Saifudin Nasution (PKR-Machang) yang mempersoal kenapa surat pertukaran kepada Dr. Judin diberikan secara tergesa-gesa.

"KSU serah surat hari Jumaat, pertukaran kuatkuasa hari Sabtu. Kenapa keadaan tergesa-gesa itu berlaku?" soalnya.

Menjawab persoalan itu, Nazri berkata pertukaran Dr. Judin itu bukanlah penurunan jawatan tetapi kerana kepakaran beliau dan diperlukan untuk menguruskan CIDB.

Bagaimanapun, berhubung isu konflik wujud dua ketua pengarah, dan perlantikan dibuat tergesa-gesa, beliau akan meminta pihak kementerian kerja raya menjelaskan perkara itu kemudian.

"Tak apa, saya akan maklumkan kepada pihak kementerian bahawa jawapan bertulis yang diberikan tidak memuaskan," katanya.

Warta Darul Aman

Arkib